DAP kata mereka tidak terburu-buru

KUALA LUMPUR: DAP tidak pernah buat sebarang keputusan terburu-buru, kata penasihat veteran DAP Lim Kit Siang.

Tegasan itu sekaligus membidas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menganggap tindakan PAS dan DAP dilakukan dengan tergesa-gesa.

Ujar Kit Siang, DAP kini cuba untuk membentuk pakatan politik baharu yang lebih kukuh.

Ini kerana, beliau melihat harapan dan mandat rakyat yang diberi semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu perlu diteruskan sekaligus dilaksanakan pada PRU14 yang dijangka berlangsung pada 2017.

"Kami (DAP) cuba membentuk pakatan politik baharu kerana apa yang penting adalah harapan rakyat yang diberikan semasa PRU13 untuk melakukan perubahan perlu diteruskan dan dilaksanakan pada PRU14.

"Untuk merealisasikannya, kita perlukan satu pakatan bahar.

"Kami tidak mahu pakatan politik yang hanya mahu duduk di pejabat, sepatutnya pakatan yang berteraskan prinsip dan harapan rakyat.

"Di mana itu adalah polisi kerangka asas Pakatan Rakyat," ulas Kit Siang ketika ditemui di perkarangan lobi Parlimen pada Khamis.

Tambahnya, DAP kini mahu parti politik yang boleh memberi komitmen yang jitu untuk membawa perubahan seperti yang diharapkan oleh rakyat.

Ditanya berkenaan bagaimana kerajaan campuran di Selangor berfungsi jika DAP dan PAS tidak boleh duduk semeja, Kit Siang berpandangan, pimpinan Pakatan Rakyat perlu membuat keputusan.

"Itu terpulang kepada perkembangan yang akan berlaku. Lebih baik pemimpin-pemimpin di peringkat negeri Selangor untuk buat ulasan.

"Saya tiada nasihat apa-apa dan tidak menjadi penasihat kepada sesiapa," ujar Kit Siang.

Ditanya berkenaan sokongan DAP terhadap negeri-negeri yang dinaungi pakatan pembangkang, Kit Siang berpandangan kenyataan sokongan itu adalah hanya pada pentadbiran negeri Selangor dan bukan semua negeri.

"DAP masih memberi sokongan serta sedang bekerjasama dengan PKR di Selangor dan Pulau Pinang," tambahnya.

No comments

Powered by Blogger.