Memahami perlembagaan PAS dan Fungsi Majlis Syura Ulama berdasarkan perlembagaan

Memahami perlembagaan PAS dan Fungsi Majlis Syura Ulama berdasarkan perlembagaan..

FASAL 7. Hukum dan Kekuasaan

Adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah KITABULLAH dan SUNNAH RASUL serta IJMAK „ULAMAK dan QIAS yang terang dan nyata, dengan tertakluk kepada hukum yang tertinggi itu, kekuasaan PAS adalah dipegang oleh Muktamar Tahunan.

Dengan tertakluk kepada hukum-hukum dalam ceraian (1) itu segala gerakan dan pentadbiran PAS adalah dijalankan di bawah perintah dan kekuasaan Muktamar, akan tetapi Muktamar itu sendiri tertakluk di bawah syarat-syarat yang terkandung dalam Perlembagaan PAS dan aturan peraturan Muktamar atau Mesyuarat Agung PAS.

FASAL 8. Majlis Syura ‘Ulamak

Bagi menjamin kekuasaan PAS yang diperuntukan dalam Fasal 7(2) di atas dan badan-badan yang diberikan kepadanya kuasa oleh Muktamar Tahunan PAS dan oleh mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan ini, tidak terkeluar daripada kehendak-kehendak yang diperuntukan dalam Fasal 7 (1) dan tidak berlawanan dengan dasar PAS seperti yang diperuntukan dalam Fasal 3 Perlembagaan ini, maka hendaklah ditubuhkan sebuah majlis yang dinamakan "Majlis Syura 'Ulamak" dan diberi kepadanya kuasa-kuasa seperti berikut:

Menghurai, menjelas dan mentafsirkan dasar PAS dan mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan ini yang menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya dan membuat ketetapan mengenainya.

Mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan itu dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasi serta memelihara supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak dalam Perlembagaan ini dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS.

Mendengar dan memutuskan semua rayuan semula tatatertib yang dikemukakan oleh ahli PAS mengikut Fasal 83 Perlembagaan ini.

Ahli-ahli Majlis Syura ‘Ulamak hendaklah terdiri daripada tidak lebih tujuh belas orang iaitu:

Seorang Mursyidul ‘Am

Seorang Timbalan Mursyidul ‘Am

Seorang Setiausaha Majlis Syura ‘Ulamak, dan

Tidak lebih empat belas orang Ahli Majlis Syura ‘Ulamak

Seseorang yang hendak dilantik menjadi Ahli Majlis Syura ‘Ulamak itu hendaklah seseorang yang mengetahui masalah-masalah pokok (AL-USUL) dalam syariat Islam dan hukum-hukumnya atau/dan dapat merujuk masalah-masalah itu kepada al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias dengan faham akan maksud dan maknanya yang muktabar dan hendaklah seorang yang adil yakni tidak melakukan dosa besar atau terus menerus melakukan dosa kecil dan hendaklah terpelihara maruahnya serta hendaklah seorang ahli PAS.

Empat orang daripada ahli Majlis Syura 'Ulamak itu hendaklah dipilih dan dilantik oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan empat orang yang dipilih dan dilantik oleh Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Pusat dan masing-masing dua orang yang dipilih dan dilantik oleh Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat dan Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat dan tidak lebih lima orang yang baki itu dipilih dan dilantik oleh Majlis Syura 'Ulamak itu sendiri. Keahlian seseorang ahli majlis itu boleh diperbaharui oleh pihak yang memilih/melantiknya setelah tamat tempoh tersebut.

Ahli-ahli Majlis Syura 'Ulamak itu hendaklah memegang jawatannya selama lima tahun. Walau bagaimanapun ahli-ahli majlis ini boleh berhenti sebelum cukup tempoh lima tahun dan boleh diberhentikan oleh Majlis Syura 'Ulamak yang mempunyai kuasa menentukan kelayakan seseorang ahli mengikut peruntukan Ceraian (3) Fasal ini dan sebab-sebab seseorang ahli itu patut diberhentikan.

Seorang Ketua Majlis Syura 'Ulamak yang dikenali sebagai Mursyidul 'Am dan seorang Timbalannya yang dikenali sebagai Timbalan Mursyidul 'Am hendaklah dipilih di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak tersebut dari kalangan ahli-ahlinya dan akan memegang jawatan itu selama lima tahun dengan syarat dia boleh berhenti sebelum cukup tempoh tersebut dan boleh diberhentikan dengan persetujuan dua pertiga daripada ahli-ahli Majlis Syura 'Ulamak itu dan boleh diperbaharui perlantikannya setelah tamat tempoh dia memegang jawatan itu.

Seorang Setiausaha Majlis Syura ‘Ulamak hendaklah dilantik oleh Mursyidul „Am di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura ‘Ulamak dari kalangan ahli-ahlinya, dan hendaklah memegang jawatan itu selama lima tahun dengan syarat dia boleh berhenti sebelum cukup tempoh tersebut dan boleh diberhentikan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak dan boleh diperbaharui perlantikannya setelah tamat tempoh dia memegang jawatan itu.

Mursyidul 'Am hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat-mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak. Sekiranya ketiadaan Mursyidul 'Am dengan apa-apa sebab sekalipun, tugas mempengerusikan mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak itu hendaklah dijalankan oleh Timbalan Mursyidul 'Am. Jika kedua-duanya berhalangan atas apa-apa sebab, maka mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak hendaklah melantik salah seorang dari kalangan ahli-ahlinya untuk mempengerusikan mesyuarat itu.

Majlis Syura 'Ulamak hendaklah mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam masa tiga bulan, atau pada sebarang masa yang lain yang dikehendaki oleh Mursyidul 'Am. Notis mesyuarat hendaklah dihantar kepada tiap-tiap ahli Majlis Syura 'Ulamak tidak kurang 14 hari daripada tarikh yang ditetapkan untuk bermesyuarat.

Cukup bilang bagi mengadakan mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak itu ialah sembilan orang daripada ahli-ahlinya yang hadir.

Adapun seseorang Ahli Majlis Syura ‘Ulamak itu bolehlah dilucutkan jawatannya dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura ‘Ulamak jika gagal hadir mesyuarat sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa sebarang makluman kepada Setiausaha Majlis Syura ‘Ulamak.

Majlis Syura 'Ulamak boleh, mengikut budi bicaranya, membuat apa-apa peraturan bagi melicinkan pelaksanaan tugas dan kuasa-kuasa yang diberikan kepadanya dan menjaga serta memelihara keutuhan dan kehormatan serta kewibawaan Majlis Syura 'Ulamak tersebut.

FASAL 9. Tugas-tugas Majlis Syura ‘Ulamak

Mursyidul 'Am

Bertanggungjawab sebagai ketua Majlis Syura 'Ulamak bagi melaksanakan kuasa-kuasa yang diperuntukan dalam Fasal 8 (1)(a), (b) dan (c) Perlembagaan ini.

Menetap dan mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak.

Mengambil apa-apa jua langkah yang perlu bagi mengawasi dan memelihara Perlembagaan, dasar dan hukum PAS dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS.

Timbalan Mursyidul 'Am

Membantu tugas-tugas Mursyidul ‘Am

Mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak apabila Mursyidul 'Am berhalangan atau tidak hadir.

Setiausaha Majlis Syura 'Ulamak

Bertanggungjawab secara langsung kepada Mursyidul 'Am dan Majlis Syura 'Ulamak.

Bertanggungjawab melaporkan kepada Mursyidul 'Am dan Majlis Syura 'Ulamak atas segala tindakan yang dijalankan berhubung dengan pentadbiran Pejabat Majlis Syura 'Ulamak.

Bertanggungjawab di atas kesempurnaan semua mesyuarat dan muzakarah Majlis Syura 'Ulamak.

Menerima permohonan rayuan semula tatatertib mengikut Fasal 83 Perlembagaan ini dan permohonan pentafsiran Perlembagaan PAS mengikut Fasal 88(1) Perlembagaan ini daripada mana-mana ahli PAS.

Ahli-ahli Majlis Syura 'Ulamak

Melaksanakan dan mengambil langkah-langkah yang perlu bagi menjalankan kuasa-kuasa yang diperuntukan oleh Fasal 8(1) (a), (b) dan (c).

Mendengar dan mempertimbangkan rayuan semula tatatertib menurut Fasal 83.

Menyediakan peraturan pemilih calon pilihan raya menurut Fasal 26(9)(f).

No comments

Powered by Blogger.