HARI BERSEJARAH: KALI PERTAMA MESYUARAT PENUH AJK PAS PUSAT DIBUAT DI SARAWAK!



HARI BERSEJARAH: KALI PERTAMA MESYUARAT PENUH AJK PAS PUSAT DIBUAT DI SARAWAK!

Alhamdulillah atas segalanya. Hari ini 12 Mac 2016 = 3 Jamadil Akhir 1437H adalah hari bersejarah! Buat pertama kalinya sejak 65 tahun Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Mesyuarat Penuh Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat diadakan di Borneo dan ianya bertempat di Kuching, Sarawak Bumi Kenyalang.

Usrah dan Mesyuarat Bulanan PAS Pusat Kali Ke-10 sesi 2015-2017 ini dipengerusikan oleh Dato' Seri Presiden, Tuan Guru Sheikh Abdul Hadi Awang di Bilik Mesyuarat Orkid Norma 2, Hotel Grand Continental Kuching. Dan seperti bulan-bulan sebelumnya, keahlian PAS kian bertambah dan bulan ini PAS Pusat meluluskan 3,215 Permohonan Keahlian Baru! Allahu Akbar, Wa lillahil hamd! Teruskan perjuangan liridhalLah.

Mesyuarat ini juga diadakan di sini sempena Majlis Pelancaran Tawaran Sejahtera PAS Untukmu Sarawak menjelang Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak Kali Ke-11 yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Mesyuarat adalah tuntutan di dalam Islam dan di situlah berkatnya dalam keputusan berjamaah. Pelbagai perkara, agenda dan isu dibincangkan serta beberapa keputusan dan ketetapan telah disepakati.

Sepertimana biasa, Mesyuarat PAS Pusat telah dimulai dengan Usrah yang dipimpin sendiri oleh Tuan Guru Presiden. Usrah kali ini membincangkan tafsir Surah Al-Hadid ayat 26-27 dan kaitannya tentang kepimpinan dan perjuangan gerakan Islam.

Allah Ta'ala berfirman tentang kisah kenabian yang penuh 'ibrah dan perbezaan kedudukan orang yang beriman dan orang yang fasik:

{وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا وَإِبْرَاهِيمَ وَجَعَلْنَا فِي ذُرِّيَّتِهِمَا النُّبُوَّةَ وَالْكِتَابَ فَمِنْهُمْ مُهْتَدٍ وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ فَاسِقُونَ (26) ثُمَّ قَفَّيْنَا عَلَى آثَارِهِمْ بِرُسُلِنَا وَقَفَّيْنَا بِعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ وَآتَيْنَاهُ الإنْجِيلَ وَجَعَلْنَا فِي قُلُوبِ الَّذِينَ اتَّبَعُوهُ رَأْفَةً وَرَحْمَةً وَرَهْبَانِيَّةً ابْتَدَعُوهَا مَا كَتَبْنَاهَا عَلَيْهِمْ إِلا ابْتِغَاءَ رِضْوَانِ اللَّهِ فَمَا رَعَوْهَا حَقَّ رِعَايَتِهَا فَآتَيْنَا الَّذِينَ آمَنُوا مِنْهُمْ أَجْرَهُمْ وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ فَاسِقُونَ (27)

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh dan Ibrahim dan Kami jadikan kepada keturunan keduanya keNabian dan Al-Kitab, maka di antara mereka ada yang menerima petunjuk dan banyak di antara mereka fasik. Kemudian Kami iringkan di belakang mereka Rasul-rasul Kami dan Kami iringkan (pula) Isa putra Maryam; dan Kami berikan kepadanya Injil dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutinya rasa santun dan kasih sayang. Dan mereka mengada-adakan rahbaniyah, padahal Kami tidak mewajibkannya kepada mereka, tetapi (mereka sendirilah yang mengada-adakannya) untuk mencari keredhaan Allah, lalu mereka tidak memeliharanya dengan pemeliharaan yang semestinya. Maka Kami berikan kepada orang-orang yang beriman di antara mereka pahalanya dan banyak di antara mereka orang-orang fasik."

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu akan menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan bersabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati). Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar." (Surah al-Anfaal, ayat 46).

Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya! Islam pasti akan menang dan sungguh kemuliaan kita kerana Islam. Siiru 'ala barakatillah, teruskan perjuangan!

Catatan: Muhtar Suhaili As-Sarawaki, AJK PAS Pusat.

#TarbiyahDakwahSiyasah
#UntukmuSarawak
#SarawakSejahtera
#KamekSapotAnakSarawak
#MempersiapGenerasiKemenangan
#BeristiqamahHinggaKemenangan

No comments

Powered by Blogger.