Penjelasan Isu Seluk Tangan Dalam Mulut Buaya



ISU SELUK MULUT BUAYA

Oleh: Ustaz Ikmal Zaidi Hashim

Sejak akhir-akhir ini timbul semula rakaman video dan gambar di media sosial mengenai upacara menyeluk mulut buaya ini. Isu yang telah berlaku pada 2010 ini diungkit kembali oleh manusia-manusia yang hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui niat mereka dan kepada Allah SWT jua kami serahkan mereka. Sebagai murid Tuan Guru Dato Dr. Haron Din, saya terpanggil untuk menjawab isu ini:

1- Acara menyeluk mulut buaya merupakan acara tradisional masyarakat dahulu kala apabila mereka mendapati ada manfaat yang diperolehi iaitu tangan orang yang pernah dimasukkan ke dalam mulut buaya didapati boleh menyembuhkan penyakit-penyakit tertentu khasnya penyakit kulit dan ulser dalam mulut hanya dengan menyapukannya pada tempat sakit, bukan menyapu dengan lendir buaya tersebut tetapi hanya dengan sentuhan dan usapan. Keberkesanan kaedah ini adalah semata-mata berdasarkan penelitian, pengalaman yang telah diujikaji iaitu sesuatu yang ‘mujarrabah’ . Pengalaman dan tajribah sememangnya menjadi prinsip utama para pengubat tradisional terdahulu. Oleh kerana itu terdapat pepatah Arab yang berbunyi:
اسأل المجرب ولا تسأل الطبيب
“Tanyalah kepada orang yang melakukan ujikaji (orang yang telah mencuba keberkesanan sesuatu kaedah dan ubat) dan janganlah tanya doktor (yang tidak semestinya melaluinya)”.
Maka apabila ada buaya yang ditangkap masyarakat tempatan termasuk orang Asli tidak melepaskan peluang untuk mengadakan acara tersebut beramai-ramai.

2- Acara ini diadakan di Darussyifa’ (DS) sebagai aktiviti ekstra kurikulum dan bukan sebahagian daripada pengajian mahu pun pengijazahan DS seperti yang didakwa bahkan ramai penduduk sekitar Bandar Baru Bangi yang turut serta dan mereka bukan ahli DS.

3- Acara ini sama sekali tidak berunsurkan mistik, tahayul dan khurafat. Tiada sebarang mantera atau jampi, yang ada hanyalah bacaan Basmalah sebelum menyeluk mulut buaya. Dalam video kedengaran suara orang berzikir kerana semasa itu juga sedang berlangsung kelas pengajian Kursus Pengubatan Islam Darussyifa’ di surau sebelah atas bangunan DS. Kelas tersebut biasanya didahului dengan solat Hajat, bacaan Yasin, zikir dan doa.

4- Buaya yang digunakan dalam acara ini tidak dizalimi kerana terdapat pihak Perhilitan bersama-sama memantau. Ia direhatkan secara berkala sepanjang acara ini. Buaya tersebut juga dikembalikan ke habitat asalnya dengan selamat. Isu mulut buaya yang dibuka ternganga dengan diikat adalah untuk tujuan keselamatan dan buaya sememangnya binatang yang mampu mengangakan mulutnya berjam-jam lamanya.

5- Dari segi logika pula, kita mendapati buaya merupakan haiwan reptilia karnivor yang makan pelbagai haiwan lain sama ada yang hidup mahu pun yang telah menjadi bangkai. Walau bagaimanapun buaya didapati tidak sakit disebabkan makan bangkai kerana sistem pertahanan dirinya yang kuat. Ini termasuklah air liur buaya yang mampu mengatasi pelbagai kuman dan bakteria seawal makanan itu masuk ke dalam mulutnya. Jika dilihat dengan mata kasar, mulut buaya putih bersih lebih bersih daripada mulut kita (apatah lagi mulut para pemfitnah TG).

Berikut ialah beberapa link yang berkaitan kajian saintifik mengenai buaya di Barat sehingga ada yang membuat antibiotik daripada darah buaya (kita tidak berniat sampai ke situ):

http://crocodilian.blogspot.my/2008/04/antibiotic-factors-in-crocodile-and.html
https://theglyptodon.wordpress.com/2012/12/11/super-antibiotics-from-crocodile-blood/
http://www.medscape.com/viewarticle/775470
http://www.pubfacts.com/detail/21294399/Antibacterial-and-antifungal-activities-from-Siamese-crocodile-blood

6- Kesimpulannya ialah menyeluk tangan ke dalam mulut buaya bukanlah suatu yang bertentangan dengan syarak jauh sekali boleh menjejaskan akidah. Ia hanya bersumberkan pengalaman dan ujikaji para perawat tradisional yang didapati memberi manfaat kepada masyarakat suatu ketika dahulu.

Diharapkan agar selepas ini isu ini tidak lagi dibangkitkan. Kepada para pemfitnah DS dan Tuan Guru, cubaan yang baik. Cuba lagi kalau tidak takut azab Allah..

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1077626992257945&id=100000319636123

No comments

Powered by Blogger.