Catatan Khas 1: Intipati Muqaddimah Syarahan Perdana Asia Barat yang Bergolak, Ke Mana Kita?



Catatan Khas 1: Intipati Muqaddimah Syarahan Perdana Asia Barat yang Bergolak, Ke Mana Kita.?

1. Pada Sabtu lepas, Tuan Guru Presiden PAS telah menyampaikan Syarahan Perdana di Auditorium MBSA, Shah Alam.
Ucapan beliau selama 1 jam diikuti dengan sesi soal jawab sebanyak 15 soalan.
Berikut adalah intipati bahagian Muqaddimah syarahan tersebut yang begitu penting untuk kita dalami terlebih dahulu;

2. Tuan Guru memulakan ucapan dengan membaca Al Quran, ayat 102-105 Surah Ali Imran yang bermaksud;

"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu nkepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan jangan kamu mati melainkan dalam keadaan Islam sebenarnya.
Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu berpecah-belah, dan ingatlah akan nikmat Allah berikan kepada kamu, dahulu kamu bermusuh antara satu sama lain, lalu Allah menjinakkan hati-hati kamu, lalu kamu menjadi bersaudara; dan dahulunya berada di tepi gaung api neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dengan nikmat Islam.
Begitulah Allah menyatakan ayat-ayatNya supaya kamu mengambil petunjuk.
Dan hendaklah ada di kalangan kamu ummah yang berdakwah mengajak kepada kebajikan Islam yang menyeluruh, mengajak kepada perkara yang baik dan mencegah kemungkaran; merekalah orang-orang yang mendapat kemenangan.
Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang berpecah-belah dan bertelingkah antara satu sama lain setelah datang keterangan daripada Allah. Mereka itulah orang-orang yang mendapat azab yang besar dan dahsyat."

3. Perbincangan mengenai Asia Barat memerlukan terlebih dahulu kita mengambil perhatian terhadap:

A) Sejarah Perkembangan Politik Islam setelah kewafatan Rasulullah S.A.W
B) Perkembangan Ilmu yang melahirkan Mazhab dan Kumpulan yang berbeza dalam bidang Akidah, Feqah dan Tasawwuf
C) Perkembangan Politik Antarabangsa dan Tempatan terkini

4. Bahagian A:Sejarah Perkembangan Politik Islam
Para Sahabat berkhilaf untuk memilih siapa pengganti memimpin ummat setelah wafatnya Rasulullah S.A.W kerana tidak ada nas yang sahih.
Golongan Ansar mencalonkan pemimpin mereka, Saad bin Ubadah.
Kalangan Ahlil Bait mencalonkan Saidina Ali bin Abi Tholib.
Kekecohan berlaku di tempat perhimpunan di Tsaqifah Bani Saidah, (sekarang ia menjadi kompleks percetakan Al Quran)
Lalu, Saidina Abu Bakar As-Siddiq berjaya menenangkan keadaan, menyampaikan ucapan antaranya menyebut pemimpin daripada Quraisy.
Ibnu Khaldun dalam Kitab Al Muqaddimah menegaskan bahawa maksud Quraisy ialah kaum yang paling berpengaruh, besar kedudukan dalam masyarakat, dan mempunyai kehebatan.

Akhirnya, kesemua mereka bersepakat memilih Saidina Abu Bakar sebagai Khalifah dan mereka menjadi wazir (Menteri) bagi membantu Khalifah.
Adapun pendapat yang mengatakan Saidina Ali bertaqiyyah dalam melantik Khalifah pertama ini adalah tidak tepat dan bohong kerana Saidina Ali merupakan seorang yang gagah dan berani.

Selepas pemerintahan Khalifah Abu Bakar As Siddiq, Saidina Umar Al Khattab pula dilantik sebagai Khalifah Kedua dan diikuti oleh Saidina Uthman bin Affan sebagai Khalifah Ketiga.
Ketika pemerintahan Saidina Uthman, berlakunya fitnah bencana yang pertama.
Walaupun ada kitab yang menulis kononnya Saidina Uthman adalah pemimpin yang lemah, hakikatnya adalah ummat yang lemah.
Ramai yang baru memeluk Islam setelah kejatuhan Kerajaan Parsi dan Rom menyebabkan lemahnya amanah dan iman.
Ini keadaan yang dihadapi oleh Saidina Uthman.

Tidak wajar menuduh Saidina Uthman pemimpin yang lemah, sedangkan Nabi Muhammad S.A.W pernah menyebut "adakah aku tidak malu kepada orang yang malaikat malu kepadanya..?"
Ketika Perang Tabuk, Saidina Uthman adalah orang yang paling banyak menderma kerana dia kaya. Nabi Muhammad S.A.W berdoa daripada waktu Isyak sehingga Subuh, baginda memohon kepada Allah agar meredhai Saidina Uthman .
Beliau adalah menantu kepada Rasulluh S.A.W melalui perkahwinan dengan 2 orang puteri Nabi. Jelas menunjukkan penghormatan baginda kepada Saidina Uthman.

Pada zamannya, diadakan 2 kali Azan waktu Solat Jumaat kerana masih tidak ramai yang hadir ketika azan pertama.
Langkah beliau seperti dalam hal pemberian 'atho' menimbulkan tidak puas hati golongan tertentu.
Atho' adalah imbuhan yang diberikan kepada orang tua, miskin dan pegawai kerajaan yang bersara termasuk orang bukan Islam yang tidak ada pendapatan.
Jumlah rakyat semakin ramai menyebabkan tidak seimbang dalam hal pengurusan dan kewangan.
Timbullah pemberontakan terhadap Saidina Uthman.
Para pemuda antaranya Saidina Hassan, Saidina Hussein, Abdullah bin Zubair datang ke rumah Saidina Uthman bagi menyatakan kesediaan mereka untuk menentang para pemberontak bersenjata. Namun, Saidina Uthman melarang mereka bertindak sedemikian kerana mahukan masalah ini diselesaikan secara damai.
Akhirnya, Saidina Uthman telah mati dibunuh syahid oleh kelompok pemberontak.

Pada ketika itu,para sahabat telah ramai yang meninggal dunia. Yang masih ada antaranya ialah Zubair, Talhah, Saad, Said, dan Saidina Ali. Lalu, mereka pun membaiahkan Saidina Ali sebagai Khalifah Keempat. Saidina Ali tidak mahu menerima jawatan tersebut, setelah didesak barulah beliau menerima pelantikan tersebut.

Negara masih dalam keadaan huru-hara, rakyat haru-biru, ada kalangan yang tidak berpuas hati terhadap Saidina Ali yang masih belum bertindak terhadap pembunuh Saidina Uthman khususnya keluarga Bani Umayyah.
Berlaku pula Perang Jamal dan Perang Siffin yang termasuk dalam kalangan Sahabat.

Dalam Perang Jamal, ia melibatkan Zubair, Talhah dan Saiyidatina Aisyah menentang Saidina Ali. Keadaan sangat sulit, mereka adalah orang yang dijamin Syurga, bagaimana Saidina Ali mahu berhadapan dengan mereka.?
Saidina Ali berjaya memujuk Zubair dan Talhah berundur, namun mereka berdua dibunuh oleh pihak lain yang tidak bertanggungjawab.
Saiyidatina Aisyah pula ditawan, dibebaskan dan dihantar semula ke Madinah.

Berlaku pula Perang Siffin, Muawiyah dan pengikutnya yang terdiri daripada keluarga Saidina Uthman telah menentang Saidina Ali.
Tuan Guru Presiden PAS menegaskan dalam hal ini, kita jangan teragak-agak untuk menyatakan Saidina Ali berada di pihak yang betul.
Ada hadis yang banyak antaranya Ammar Bin Yasir dibunuh oleh kumpulan yang derhaka. Ammar Bin Yasir berada di pihak yang menyebelahi Saidina Ali. Ini hadis sahih yang diriwat oleh Bukhari dan Muslim.
Oleh sebab itu, Saidina Ali dimasukkan sebagai Khulafa' Ar Rasyidin yang diiktiraf oleh semua termasuk Ahli Sunnah wal Jamaah, Syiah, dan Khawarij yang awal.

Selepas Saidina Ali dibunuh oleh kelompok Khawarij, orang-orang di Hijjaz telah membaiahkan Saidina Hassan sebagai Khalifah seterusnya. Namun, beliau tidak senang melihatkan kekacauan yang berlaku lalu meletakkan jawatan.
Selepas itu, tertubuhnya Kerajaan Bani Umayyah yang naik secara darurat, bukannya melalui Baiah Ihtiyari.
Dalam pemerintahan Kerajaan Bani Umayyah, hanya Saidina Umar Abdul Aziz sahaja yang naik menjadi Khalifah melalui persetujuan orang ramai.

Akhirnya, muncullah selepas itu pelbagai mazhab;
a) kumpulan yang menyokong pemerintahan Kerajaan Bani Umayyah
b) kumpulan yang menyokong Saidina Ali termasuklah antaranya Ahlil Sunnah, Syiah yang fanatik kepada Saidina Ali dan juga Ahlil Badar seramai lebih 100 orang

5. Bahagian B: Perkembangan Ilmu
Pusat Ilmu ialah di Mekah, Madinah, Taif, Yaman, Damsyik, Iraq, Basrah, dan Kufah.
Di sinilah tempat berkumpulnya para Sahabat menyebarkan ilmu.
Akibat daripada tekanan politik pada zaman pemerintahan Umayyah dan Abbasiyyah, ada kalangan mereka yang jauh berhijrah dari pusat ilmu ini.
Dalam Ahlil Sunnah Wal Jamaah adanya pelbagai mazhab dalam hal Akidah, Feqah dan Tasawwuf.
Begitu juga dalam Syiah dan Khawarij, terdapat pelbagai mazhab di dalamnya.

Kitab yang paling terperinci mengenai kepelbagaian mazhab ini ialah Maqalatul Islamiyyin karangan Imam Mazhab Ahlil Sunnah Wal Jamaah, Abu Hassan Assyaari, zuriat daripada Sahabat Abu Musa Assyaari. Kitab ini lebih terperinci berbanding Kitab Al Milal wal Nihal karangan al-Shahrastani, Kitab Al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa' wa al-Nihal karangan Ibnu Hazmin.
Hal ini kerana Abu Hassan Assyaari tinggal di Iraq, tempat lahirnya mazhab feqah dan politik Islam.

Asalnya, kumpulan Syiah dan Khawarij termasuk dalam Mazhab Politik Ahlil Sunnah.
Kemudian, tercetusnya kepelbagaian Mazhab Feqah dan Mazhab Akidah yang menyebabkan ia bercampur-aduk dengan Mazhab Politik.
Dalam Mazhab Akidah Ahlil Sunnah ada 3 pecahan;
a) Salafi
b) As Syairah
c) Maturidiah

Dalam Mazhab Fekah Ahlil Sunnah ada 4 pecahan:
a) Hanafi
b) Maliki
c) Syafie
d) Hambali

Syiah pula ada 3 kumpulan yang besar:
a) Ghulah-pelampau Syiah ada 15 mazhab di dalamnya
b) Imamiyyah- ada 24 mazhab di dalamnya
c) Zaidiyyah- ada 6 mazhab di dalamnya

Khawarij pula ada 2 kumpulan:
a) Ibadi- ada perbahasan, ada yang mengatakan mereka masih Ahlil Sunnah, mereka keluar kerana sebab politik. Mereka ini pengikut Abdullah bin Ibad, ramai berada di Musykat, Oman.
Ada sejarahwan mengatakan mereka ini golongan Tabiin, Tabiq Tabiin. Mereka tidak berbaiah kepada Kerajaan Bani Umayyah dan Abbasiyyah.
Mereka terpecah pula kepada 4 mazhab di dalamnya.

b) Ajaridah- ada 15 mazhab di dalamnya

6. Seterusnya, Tuan Guru Presiden menasihatkan agar kita tidak begitu mudah menyesatkan antara satu sama lain. Ada ulamak yang menghuraikan hadis berkenaan ummat Nabi terpecah kepada 73 puak, hanya 1 sahaja yang masuk syurga. Nabi menggunakan kalimah "ummatnya" yang terpecah bermakna Nabi menganggap mereka itu masih ummat Islam.

Tokoh Salafi yang keras pendiriannya, Syeikh Nashiruddin Al Albani mengatakan tidak boleh mengkufurkan Ahlil Kiblah yang masih menerima Rukun Islam dan Rukun Iman yang asas kecuali bagi yang menafikan perkara nas yang nyata dalam Al Quran, Hadis dan Ijmak.
Imam Malik ada berkata tidak boleh dihukum individu itu sekiranya ada 1 keraguan walaupun sudah ada 99 hujjah.

Majmak Al Fiqh di bawah OIC dalam Sidang di Jordan pada tahun 2006 telah mengisytiharkan 8 Mazhab yang dikira termasuk dalam ummat Islam;
a) Hanafi
b) Maliki
c) Syafie
d) Hambali
e) Zahiri
f) Imamiyyah
g) Zaidiyyah
h) Ibadi

Keputusan ini turut disahkan dalam Persidangan OIC di Mekah.
Namun, apabila berlaku kekacauan sekarang habis dilupai kesemua resolusi ini.
Majma' al-Buhut al-Islamiyyah, institusi di bawah Universiti Al Azhar Mesir pernah menyenaraikan 8 mazhab ini di dalam Ensiklopedianya. Beberapa tokoh ulamak asy-Syaukani dan as-Sanani juga menyebut mazhab ini.
Begitu juga Syeikh Dr Abdul Karim Zaidan menyebut dan menaqolkan pendapat mereka di dalam kitab beliau.

Namun, keadaan yang berlaku hari ini telah dipengaruhi oleh suasana politik antarabangsa........

*Bahagian C: Perkembangan Politik Antarabangsa akan bersambung dalam Catatan Khas 2.

Catatan oleh;
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Pusat Penyelidikan PAS
9 Januari 2017

No comments

Powered by Blogger.