News Update :

Lagi pemimpin PAS tolak salam perdamaian Lim

January 25, 2017



Lagi pemimpin PAS tolak salam perdamaian Lim

Salam perdamaian yang dihulurkan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk kedua-dua parti terus menjalinkan kerjasama disambut dingin oleh pemimpin PAS.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dipetik oleh portal Utusan Malaysia Online, milik Umno sebagai berkata, walau pun pelawaan Lim itu meletakkan DAP seolah-olah cukup terbuka sehingga bersedia menjilat ludah sendiri, namun PAS tetap tidak boleh menerimanya.

Katanya, ketegasan itu perlu kerana PAS tidak mahu terperangkap dalam helah Lim seperti mana sebelum ini yang menyaksikan DAP sanggup berbuat apa sahaja termasuk bekerjasama hanya untuk mendapat undi orang Melayu.

“Lebih mengecewakan, selepas kemenangan dicapai, DAP menguar-uarkan kepada umum kononnya semua itu atas usaha mereka sendiri, sedangkan PAS yang banyak membantu.

“Sudah dua kali DAP memperkotak-katikkan PAS. Pertama apabila DAP keluar daripada gabungan pembangkang selepas PRU-12 dan kedua apabila bersekutu dengan AMANAH.

Jadi kami tidak akan termakan lagi ‘cerita’ DAP kerana tidak mustahil mereka akan bertindak lebih teruk lagi kali ini,” katanya ketika dihubungi portal Umno itu.

Ahad lalu, Lim menawarkan salam perdamaian kepada Hadi jika presiden PAS itu bersedia memberi komitmen untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi kelptokrasi global dan sebuah negara gagal.

Beliau berkata ini mungkin akan menjadi agenda negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, dan bertanya jika Abdul Hadi bersedia menyatakan komitmennya.

Tuan Ibrahim juga dipetik sebagai mengingatkan semua pihak termasuk DAP yang dasar parti itu adalah untuk menegakkan Islam selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Namun DAP mengutamakan untuk menang pilihan raya. Bagi PAS pula, pilihan raya memang penting tetapi tidak boleh lari daripada prinsip perjuangan parti,” katanya.

Utusan Online juga memetik Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Mahfodz Mohamed sebagai berkata, DAP telah berkali-kali melanggar syarat tahaluf siyasi ketika PAS bersama dengan pembangkang dahulu.

“Selepas pelbagai tindakan provokasi dan ancaman yang dilakukan DAP sebelum ini termasuk serangan atas prinsip serta dasar PAS mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan, kami sebenarnya sudah tidak boleh menerima mereka.

“Tetapi sebab kami parti yang mengamalkan prinsip terbuka, maka PAS dan DAP perlu menandatangani kertas perjanjian bersama jika ingin bekerjasama,” katanya.

Artikel berkaitan POLITIK

Share this Article on :

0 comments:

 

© Copyright Kerabu Bersuara 2007 -2013 | Design by Kerabu Bersuara | Published by Kerabu Bersuara Group | Powered by Blogger.com.