News Update :

Barcelona lakar kebangkitan luar biasa

March 9, 2017



PEMAIN Barcelona, Luis Suarez (kiri) meraikan kemenangan selepas menjaringkan gol pembukaan pada pusingan kedua 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi. - Foto AFP

BARCELONA: Gol Sergi Roberto pada minit kelima masa kecederaan melengkapkan kebangkitan sensasi Barcelona apabila menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 6-1 pada aksi pusingan kedua 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Di sebalik jaringan pembukaan Luis Suarez, gol sendiri Layvin Kurzawa dan penalti Lionel Messi, Barca yang tewas 4-0 pada aksi pusingan pertama tampak bakal tersingkir selepas rembatan Edison Cavani membolehkan PSG mendapat gol penting di laman lawan.

Bagaimanapun, Neymar menghidupkan peluang Barca dengan sepakan percuma sensasi dua minit sebelum tamat dan kemudian menyempurnakan sepakan penalti.

Roberto melengkapkan kebangkitan luar biasa dalam sejarah Liga Juara-Juara dengan menjaringkan gol kemenangan hasil hantaran Neymar yang menggamatkan Camp Nou untuk Barca menang dengan agregat 6-5.

Kemenangan itu membolehkan Barca mencatat rekod mara ke suku akhir buat kali ke-10 berturut-turut.

Sehari sebelum perlawanan berkenaan, jurulatih Barca Luis Enrique memberi amaran kepada juara Perancis itu betapa pasukan kendaliannya mampu menyumbat enam gol dan mereka membuktikannya apabila memerlukan 95 minit untuk melakar keajaiban itu.

Malah, belum ada mana-mana pasukan mampu bangkit selepas ketinggalan 4-0 dalam aksi pusingan pertama tetapi Barca mula percaya betapa mereka mampu melakukannya apabila Suarez sudah membuka tirai jaringan seawal minit ketiga lagi. - AFP

Artikel berkaitan bola sepak ,SUKAN

Share this Article on :

0 comments:

 

© Copyright Kerabu Bersuara 2007 -2013 | Design by Kerabu Bersuara | Published by Kerabu Bersuara Group | Powered by Blogger.com.