Catatan Parlimen: Ahli Parlimen PAN Pertikai RUU 355
Catatan Parlimen: Ahli Parlimen PAN Pertikai RUU 355
1. Semalam, berakhirnya sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja. Jabatan Perdana Menteri menjadi Kementerian terakhir yang menjawab segala persoalan yang telah dibangkitkan oleh para Ahli Parlimen dalam sesi perbahasan pada minggu sebelum itu.
2. Sesi penggulungan merupakan giliran Menteri untuk menjawab dan sekiranya ada yang ingin mencelah bertanya, terserah kepada Menteri samada ingin memberi izin ataupun tidak. Hal ini kerana ada kalanya pencelahan dibuat bukan untuk bertanya tetapi berbahas panjang dan provokasi pula.
Contohnya, seperti yang dibuat oleh ADUN PAN Kuasa 10 di DUN Kelantan ketika MB membuat penggulungan.
Dewan ada peraturan yang perlu dipatuhi, bukannya boleh bangun bercakap sesuka hati seolah dalam rumah sendiri.
Bukanlah menjadi indikator perlu dihalau keluar dari Dewan baru diiktiraf sebagai pejuang sejati.
3. Sebelum itu, kecoh dalam dewan apabila mereka bising ketika Noh Omar enggan memanggil nama "Amanah" terhadap mereka.
Wah, begitu melenting apabila digelar PAN dalam Dewan.
Lawak bukan.?
Amanah apa bertanding atas nama PAS, menang atas nama PAS, tiba-tiba keluar PAS, bawa lari kerusi PAS, khianat kepada PAS kemudian mewajibkan semua orang panggil mereka Amanah.
4. Ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi hal ehwal agama Islam, Dato' Seri Jamil Khir membuat penggulungan, antara isu yang dijawab ialah RUU 355. Beliau menjawab persoalan RUU 355 yang turut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen PAS Bukit Gantang dan Rantau Panjang ketika sesi perbahasan dulu.
Lalu, Ahli Parlimen PAN pun bangun bersilih ganti khususnya Shah Alam, Sepang dan Parit Buntar.
5. Ahli Parlimen PAN yang bangun ini bukannya mahu menyokong RUU 355, mereka lebih sibuk mencari 1001 dalih dan mempertikaikan cadangan pindaan Akta 355 oleh YB Tuan Guru Presiden PAS.
Antara yang disebut oleh mereka ialah;
a) YB PAN Parit Buntar kata sebatan syariah belum pun lagi dilaksana di Malaysia kerana tidak ada kepakaran.
Dia juga mahu aspek pentadbiran Mahkamah diutamakan berbanding peningkatan hukuman.
Dia mendakwa Islam membenarkan kita berbeza pandangan dalam hal pelaksanaan syariat.
b) YB PAN Sepang kata sebatan syariah sekarang belum layak dipanggil syariah kerana tidak dilaksanakan di hadapan khalayak awam
c) YB PAN Shah Alam kata sekiranya pindaan Akta 355 berjaya diluluskan, ia akan menyebabkan ketidakseragaman hukum Islam di setiap negeri.
Dia juga mendakwa RUU 355 ini tidak berpelembagaan kerana tidak mendapat restu Majlis Raja-Raja Melayu.
RUU 355 ini dikatakan melalui 'pintu belakang' apabila PAS berpakat dengan Kerajaan Pusat.
RUU Persendirian tidak pernah dalam sejarah berjaya dibawa oleh Ahli Parlimen Pembangkang.
Dia mahu persoalan ini mendapat persetujuan Ketua Hakim Mahkamah Syariah di setiap negeri.
d) YB PAN Kuala Terengganu pula berkata RUU 355 ini akan menjadi precedent kerana ianya tidak melalui Majlis Raja-Raja Melayu
6. Menteri JPM pun menjawab;
a) Sebatan syariah ini sudah pun dilaksanakan di Malaysia bahkan pernah pesalah disebat di dalam Mahkamah Tawau Sabah.
Masalahnya, orang ramai tidak tahu pun bagaimana pelaksanaannya.? Ada yang menyangka seperti dibuat oleh Taliban di Afghanistan, Syria, dan Iraq.
Sebatan syariah tidak boleh melukakan seperti sebatan sivil, bahkan pesalah tidak pun dibuka auratnya.
b) Kerajaan sememangnya sedang berusaha memperkasa Mahkamah Syariah termasuk dari sudut perjawatan dan gaji hakim, 3 peringkat kepada 5 peringkat Mahkamah.
c) RUU 355 ini sekiranya diluluskan ia bukannya automatik terlaksana sepertimana Akta Parlimen yang lain. Akta Mahkamah Syariah ini hanya memberi punca kuasa kepada pelaksanaan di peringkat negeri. Terserahlah kepada Kerajaan Negeri yang mahu meminda atau pun tidak enakmen Mahkamah Syariah di negeri masing-masing dan juga tertakluk kepada perkenan Sultan yang merupakan Ketua Agama Negeri.
d) Menteri menyeru kesemua Ahli Parlimen Islam tidak kira parti mana bersatu dalam hal melibatkan agama Islam sepertimana kita puasa, solat dan haji tetap pelaksanaannya sama walaupun berbeza parti.
7. Kasihan melihat gelagat Ahli Parlimen PAN ini, demi mempertikai RUU 355 bermacam alasan dan dalih diguna untuk menolaknya. Tiba-tiba hendak menjadi wira kononnya membela Majlis Raja-Raja Melayu.
Mereka ini terlupa atau buat-buat tidak tahu..?
Sejak sekian lama, Perlembagaan Malaysia sudah pun menetapkan Islam termasuk dalam Senarai Kuasa Negeri dalam Jadual Kesembilan.
Para Sultan adalah Ketua Agama bagi setiap negeri beraja manakala Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama bagi Wilayah Persekutuan dan negeri tidak beraja.
Sebab itu juga janganlah pelik di Malaysia kita ada 14 orang Mufti kerana mereka dilantik oleh Sultan di setiap negeri .
Enakmen Syariah juga berbeza antara Negeri. Sebab itu, di Kelantan dan Terengganu adanya enakmen yang mengkanunkan berkenaan Hudud, Qisos dan Takzir kerana PAS yang membuat pindaan tersebut melalui sidang DUN dan mendapat perkenan Sultan.
8. Ahli Parlimen PAN juga mungkin terlupa pindaan Akta 355 ini bukannya kita mahu pindaan Perlembagaan. Ia adalah akta biasa sepertimana akta lain yang diluluskan dalam Parlimen.
RUU Persendirian juga ada dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat. Ia adalah hak mana-mana Ahli Parlimen untuk mengemukakannya ke dalam Dewan.
Samada RUU Persendirian itu berjaya atau tidak itu bergantung kepada hasil pengundian di dalam Dewan.
Ini belum pun lagi RUU 355 dibahaskan dan dibuat pengundian, bermacam tuduhan dan dakwaan jahat dilemparkan oleh mereka terhadap Tuan Guru Presiden PAS.
Mengapa gelabah sangat ini.?
Hendak sokong atau pun tidak Akta Mahkamah Syariah yang sudah 33 tahun tidak dipinda.?
Takkanlah hal ehwal ummat Islam ini pun, PAN masih perlu mendapatkan izin restu daripada Tetuan DAP yang amat dikasihi itu..?
9. Ahli Parlimen Sepang buat posting di FB pertikai mengapa Ahli Parlimen PAS tidak bangun ketika Menteri JPM menggulung semalam.?
Jawapannya mudah sahaja.
a) Ahli Parlimen PAS sudah pun menyuarakan isu RUU 355 dalam sesi ucapan perbahasan. Penggulungan adalah sesi menjawab oleh Menteri.
b) Ahli Parlimen PAS tahu peraturan mesyuarat, bangun sekiranya mahu mendapat penjelasan lanjut bukannya berbahas panjang pula ketika penggulungan Kerajaan.
Maaf YB Sepang, usahlah samakan Ahli Parlimen PAS seperti ADUN PAN Kuasa 10 yang tidak tahu peraturan mesyuarat.
Dan mengapa pula YB mahu sibuk hal ehwal Ahli Parlimen PAS hendak bangun bertanya ataupun tidak.?
YB bukan Ahli parlimen PAS lagi kan.? Jadi, sila jaga parti sendirilah. Takkan YB mahu menjadi seperti DAP yang sibuk hendak menjadi pak Nujum penentu masa depan PAS.?
Catatan oleh,
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS
24 Mac 2017
No comments
Post a Comment