PANDANGAN UNDANG-UNDANG LAJNAH UNDANG-UNDANG DAN HAK ASASI MANUSIA KELANTAN BERKENAAN ISU PEMBUBARAN CAWANGAN PAS



PANDANGAN UNDANG-UNDANG LAJNAH UNDANG-UNDANG DAN HAK ASASI MANUSIA KELANTAN BERKENAAN ISU PEMBUBARAN CAWANGAN PAS

1. Fasal 87 Perlembagaan PAS membuat peruntukan yang cukup jelas bahawa untuk membubarkan PAS, maka satu Muktamar Khas hendaklah diadakan dengan sekurangnya-kurangnya tiga perlima kehadiran bersetuju untuk membubarkan PAS. Persetujuan Muktamar Khas itu kemudiannya dimaklumkan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari.

2. Peruntukan itu hanyalah untuk urusan memansuhkan Parti Islam Se-Malaysia secara keseluruhannya.

3. Tiada peruntukan khusus di dalam perlembagaan untuk memansuhkan PAS pada peringkat negeri, kawasan ataupun cawangan; melainkan satu peruntukan berkenaan dengan tugas-tugas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada Fasal 26(9)(j) yang memperuntukan “menyelesaikan perselisihan yang berlaku dalam parti, dan berkuasa menggantung dan membubarkan mana-mana Badan Perhubungan, PAS Negeri/wilayah Persekutuan, Kawasan-Kawasan dan Cawangan-Cawangan dengan melantik satu jawatankuasa Tadbir sementara yang akan mempunyai kuasa sebagaimana sebuah Jawatankuasa yang diambil menurut Perlembagaan ini untuk tempoh masa yang ditentukan”.

4. Berdasarkan kepada peruntukan-peruntukan tersebut saya berpendapat sesebuah kawasan atau cawangan PAS tidak akan terbubar dengan perletakan jawatan pemegang jawatan ataupun dengan semata-mata pengisytiharan dalam majlis ceramah; apatahlagi bila pembubaran itu dibuat oleh orang yang tidak berkepentingan dengan urusan PAS.

5. Kawasan atau cawangan tersebut boleh terus bergerak dengan jawatankuasa yang ada boleh bermesyuarat dan melantik ahli jawatankuasa yang layak untuk memangku jawatan-jawatan yang kosong sehingga ke mesyuarat agung pemilihan akan datang.

6. Dalam kes yang ekstrim sekalipun bilamana tidak ada jawatankuasa yang tinggal, PAS Pusat melalui kuasa yang diberi melalui Fasal 26(9)(j) akan mentadbir sementara Kawasan atau cawangan tersebut bagi tempoh tertentu.

7. Dengan demikian, tidak ada orang luarpun boleh menentukan pembubaran kawasan atau cawangan PAS. Hanya satu jenis kumpulan orang luar yang boleh membatalkan cawangan iaitu Pendaftar Pertubuhan bilamana cawangan tersebut ‘malas’ mengadakan mesyuarat agung tahunannya.


HAJI NIK BAHRUM BIN NIK ABDULLAH
PENGERUSI LUHAM KELANTAN
12 MAC 2017

No comments

Powered by Blogger.