Presiden Korea Selatan dipecat
Seoul: Presiden Korea Selatan, Park Geun-Hye dipecat oleh mahkamah tertinggi negara itu, hari ini apabila ia mengekalkan pendakwaan Parlimen ke atas pemimpin itu berkait dengan skandal rasuah.
Keputusan sebulat suara itu membawa kekacauan politik yang melanda negara itu sejak beberapa bulan lalu ke kemuncaknya.
Sehubungan itu, pilihan raya untuk memilih presiden baru akan diadakan dalam masa 60 hari.
“Tindakan Park menjejaskan secara serius semangat demokrasi dan kedaulatan undang-undang. Presiden Park Geun-Hye dengan ini dipecat,” kata ketua hakim mahkamah itu, Lee Jung-Mi.
Ini bermakna Park, presiden wanita pertama negara itu juga menjadi pemimpin pertama Korea Selatan dipecat kerana didakwa di Parlimen.
Dia perlu meninggalkan Rumah Biru, kediaman rasmi presiden Korea Selatan dan hilang semua imuniti eksekutif yang menghalang dia didakwa.
Park didapati melanggar undang-undang dengan membenarkan rakannya, Choi Soon-Sil mencampuri urusan negara dan mencabuli peraturan aktiviti perkhidmatan awam.
No comments
Post a Comment