Apa pilihan untuk DAP ? Oleh : Mazir Ibrahim
Struktur sosial di Malaysia ini dipecah-pecahkan mengikut bangsa, agama dan status ekonominya. Tiga elemen ini tidak ada uniknya berbanding dengan mana-mana negara di dunia, apatah lagi jika hendak dibandingkan dengan negara-negara serumpun seperti Indonesia dan Singapura.
Hegemoni
Di Indonesia hegemoni ‘Jawa’nya cukup hebat, sama seperti di Malaysia yang hegemoni ‘Melayu’nya juga hebat. Segelintir kaum kaya di Indonesia yang menguasai sebilangan besar punca-punca ekonominya adalah menerusi jalan kronisme, ini fakta sejarah yang sama dengan keluarga elit UMNO di Malaysia.
Di Singapura juga begitu, parti yang terlalu selesa memerintah adalah PAP sebagaimana UMNO di Malaysia sejak merdeka lagi. Malah, dasar politik PAP tetap sama dengan UMNO iaitu dengan menggunakan ISA dan segala undang-undang yang mengekang kebebasan bersuara dan berpolitik sebagai senjata politik mereka.
Semua ini menjadi latar struktur sosial yang terbentuk oleh tiga elemen itu tadi iaitu bangsa, agama dan status ekonominya.
Krisis budaya
Pertama, dalam aspek pembudayaan bangsa dan agama, populasi Malaysia ini terlalu kecil berbanding dengan Indonesia, maka di Malaysia apa jua persepsi itu dibentuk menerusi jalan politik atau dengan kata lain – persepsi sosial kita dibentuk oleh politikus. Dan kini semua telah tahu, bagaimana kualiti rata-rata politikus kita.
Di Malaysia, politikus (baca:UMNO BN) dilihat begitu besar, begitu penting, begitu hebat hingga munculnya persepsi bahawa mereka sentiasa benar. Ayat-ayat yang keluar dari mulut mereka tidak boleh dipersoal. Tanpa sedar, kita telah meletakkan satu taraf penghormatan (budaya) dalam struktur sosial kita yang terlalu tinggi kepada politikus UMNO BN yang mana kita juga tahu status intelek mereka-mereka itu.
Maka muncullah hagemoni UMNO BN dalam semua aspek kehidupan kita – budaya. Seterusnya, membiaklah satu jenis budaya iaitu mengampu, membodek dan hipokrit.
Contohnya, hal kesenian, fahamnya mesti ‘ada mesej yang murni-murni’, hal filem pula, mestilah yang berunsur ‘nasihat dan pengajaran’, hal muzik pula, mestilah ‘berpakaian sopan dan santun’ yang difahami sebagai molek-molek.
Begitu juga dengan hal ekonominya, fahamnya mesti berpayung dengan kontrak kerajaan atau bantuan kerajaan, hal berpersatuan mesti ketuanya orang politik, hal sukan mesti ada orang kuat politik sebagai penaung, hal kenduri-kendara mesti jemput orang politik untuk bagi ucapan, hal buat poster pun mesti letak muka-muka pemimpin hinggalah kepada hal anak nak ke sekolah pun mesti dapat endorsement dari ketua bahagian UMNO.
Melihat senario ini, tanpa sedar, politikus sudah diangkat setaraf berhala. Amalan tanpa sedar ini berjalan puluhan tahun, sejak merdeka lagi. Malah krisis ini semakin meruncing selepas zaman Tun Mahathir melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia. Maka kini, rakyat mula dapat melihat kesan ke atas struktur sosial kita.
Krisis nilai
Kedua, dalam aspek ekonomi. Propaganda ‘belilah barangan buatan Malaysia’ suatu waktu dahulu dilihat sangat bejaya, kini telah pecah berderai segala hipokrasinya. Sungguhpun niatnya baik tetapi niat politik itulah yang menyebabkan dasar ekonomi negara menemui kegagalan.
Dasar penswastaan di Malaysia adalah atas niat politik, bukan atas keperluan untuk memperkukuh jaringan industri swasta atau pasaran terbuka. Alasan penswastaan ini hanyalah ‘gula-gula’ untuk menghalalkan perompak elit mencuri harta rakyat. Dan rakyat pula diminta mengguna dan membayar (belilah barangan buatan Malaysia) barangan tersebut. Beginilah politikus kita merancang dan memutar idea demi terus berkuasa.
Maka, rakyat mula berlumba-lumba untuk berusaha memiliki apa yang disarankan oleh ahli politik kita iaitu menerusi ‘paksaan’ dalam aspek pendidikan dan pemilikan harta (status hidup). Akhirnya, pelajar-pelajar kita menjadi ‘produk’ perniagaan bagi dua industri iaitu industri pendidikan untuk memenuhi profesion sebagai ‘konsumer’ tetap produk Malaysia.
Jika ada diantara kita yang menyelar dasar pendidikan negara, maka kita akan dituduh sebagai khianat. Inilah krisis dalam struktur sosial kita.
Harapan demokrasi
Dalam kemelut krisis-krisis ini, apakah peranan DAP hanya untuk menang pilihanraya? Untuk itu, kita harus kembali melihat dasar dan fungsi entiti bernama parti politik ini.
Krisis-krisis yag sedang kita hadapi ini tidak terjadi hanya bermula semalam, dan untuk mengatasinya juga bukan kerja satu pihak atau satu tahun. Maka, tanggungjawab sebuah parti ( selain berkempen tentang dasar perjuangannya ), haruslah tuntas untuk melabur dalam pendidikan ke atas masyarakat.
Politikus dalam dunia demokrasi adalah seorang manusia biasa yang bekerja untuk mengurus keperluan rakyat termasuk pihak swasta. Politikus atau menteri hanyalah pengadil, bukan pemilik sumber ekonomi negara. Mereka tidak perlu didewakan hingga mereka menjadi angkuh dan akhirnya menjadi diktator. Jangan lupa bahawa, diktator juga lahir dari sistem demokrasi iaitu menerusi pilihanraya.
Jika asas ini dapat diajar, dididik, didedah dan difahami oleh rakyat, maka tidak mustahil suatu masa nanti tidak akan ada politikus yang sanggup menggunakan atau memperalatkan hal bangsa dan agama untuk meraih sokongan rakyat. Ini sudah memadai bagi sebuah bangsa yang muda seperti kita – Malaysia.
Pelaburan untuk sebuah demokrasi bukanlah kecil dan sekejap. Maka hanya satu pilihan bagi DAP iaitu beristiqamah (fokus dan konsisten) membuka ruang mendidik rakyat tentang apa makna demokrasi.-roketkini.com
No comments
Post a Comment