PR dan BN: Sama Tapi Berbeza
Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional mempunyai persamaan pada perkara-perkara pokok kenegaraan.
Perbezaan yang wujud adalah mengenai pendekatan prinsip pemerintahan dan soal demokrasi.
Secara ringkasnya “Ada lima yang sama dan ada lima yang berbeza di antara PR dan BN.”
Lima Persamaan Pokok
Lima persamaan yang wujud adalah dimana kedua-dua gagasan politik ini sama pendirian di dalam tiang-tiang kenegaraan iaitu: Perlembagaan Persekutuan menjadi teras demokrasi;
Institusi Raja-raja Melayu sebagai Ketua Negara;
Islam sebagai agama rasmi;
Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan;
dan Kedudukan Istimewa orang-orang Melayu dan penduduk bumiputera.
Rakyat harus sedar bahawa kelima-lima tiang-tiang ini terpelihara dan tidak berubah tidak kira siapa yang memerintah di Putrajaya.
Oleh demikian, tidak perlu lagi mana-mana pihak cuba menimbulkan sengketa melalui media, ceramah atau tulisan yang mahu melagakan kedua-dua gagasan politik ini mengenai lima perkara pokok yang menjadi persamaan.
Malah tumpuan sebarang perbincangan atau perdebatan hendaklah berkisar kepada lima perbezaan yang memisahkan Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional.
Lima Perbezaan Dasar
Justeru itu, perbezaan yang wujud di antara PR dan BN adalah mengenai prinsip dan pendekatan pemerintahan.
Perbezaan utama adalah prinsip pemerintahan Negara atau mengenai dimana letaknya ‘kuasa memerintah’ – iaitu samada kuasa di tangan rakyat atau kuasa di tangan Elit – di dalam bentuk Demokrasi atau Otokrasi.
Lima perbezaan prinsip dan pendekatan pemerintahan itu atau ‘5P’- adalah mengenai Pentadbiran pro-Rakyat; peranan Parlimen; proses Pilihanraya; isu Perkauman dan halatuju Pembangunan Ekonomi.
Dengan melihat setiap satu unsur-unsur dengan teliti akan memberikan rakyat peluang untuk menilai dan memilih apakah arah tuju dan rupa bentuk aspirasi masa depan Negara yang dimahukan.
Tumpuan Perbincangan Nasional
Perbincangan Nasional atau ‘National Discourse’ hendaklah mencari jalan terbaik untuk menjadikan negara kita sebuah negara membangun lagi berdaya-saing dalam dunia tanpa sempadan.
Negara semakin merosot di dalam prestasi tangga daya-saing, aliran wang haram, penarikan pelaburan asing, kualiti pendidikan, jurang pendapatan melebar dan peningkatan kos sara hidup.
Tumpuan perbincangan nasional semestinya berkisar kepada lima perbezaan pokok diantara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional dan tidak dikalihkan pandangan kepada lima persamaan yang tidak perlu lagi didebatkan.
Sekiranya mahu ada perdebatan diantara kedua-dua pemimpin ia hendaklah menjawab mengapa wujudnya lima perbezaaan pokok tadi.
Mengapa Pentadbiran negara pro-elit dan bukan pro-rakyat sehingga rasuah dan ketirisan ekonomi sebanyak RM1 trillion dibenarkan mengalir kepada golongan elit selama ini – atau apabila perundangan gagal melindungi hak rakyat seperti di dalam kes-kes rogol bawah umur – jentera dan agensi kerajaan digunakan untuk kepentigan elit dan menindas rakyat dengan mudah – salah-guna statistik indeks jenayah yang tidak berpijak ke bumi nyata – tiada ketelusan di dalam pembelian aset negara seperti kapal selam – tiada kawal-selia mengenai projek-projek inftrastruktur yang tinngi harganya seperti MRT yang pada awalnya dikatakan hanya berharga RM36 billion sudah pun dijangkakan akan melebihi RM100 billion sehinggakan Dewan Perniagaan Melayu mendakwa tiada satu pun syarikat ahli bumiputera diberikan kerja-kerja MRT – atau pendek kata kenapa orang-orang yang sama mendapat keuntungan daripada pentadbiran kerajaan sahaja ?
Mengapa Parlimen tidak diberi hak mewakili rakyat dengan prinsip demokrasi pemisahan kuasa (separation of powers) yang memberikan kuasa memantau kementerian-kementerian dan aspek utama pentadbiran termasuk meletakkan Petronas dibawah kawal-selia Parlimen serta diberi hak merafitikasikan semua perjanjian antarabangsa seperti MAFTA yang ada kesan terhadap industri yang merbahaya seperti Lynas dan RAGM di Raub, perjanjian penyerahan Pulau Batu Putih dan Tanah KTM Tanjung Pagar ke Singapura atau perjanjian penyerahan Blok L dan M yang kaya minyak kepada Brunei?
Mengapa proses Pilihanraya tidak telus lagi adil tanpa manipulasi dimana daftar pemilih bersih – wujudnya media bebas – menetapkan kerusi parlimen agar satu-satu kerusi tidak ada perbezaan jumlah pengundi melebihi 15% – waktu berkempen yang secukupnya – ada kerajaan penjaga (caretaker government) sewaktu kempen agar tiada salah-guna jentera kerajaan – kegemaran bermain nombor ‘11’ untuk memlih tarikh pilihanraya secara serang hendap – mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan agar kota seperti Kuala Lumpur dapat memilih Dato Bandar mereka sendiri?
Mengapa isu Perkauman dan agama menjadi pemecah-belah dan senjata diskriminasi perpaduan rakyat termasuk digunakan sebagai alat hasutan untuk kepentingan golongan Elit untuk kekalkan kuasa – kerana bukankah kita semua lahir daripada Nabi Adam dan Hawa di dalam keluarga besar kemanusian – dimana musuh sebenar insan adalah syaitan yang datang dalam berbagai rupa bentuk dengan menghasut dengan berbagai hujah indah yang tidak akan dapat digunakan oleh manusia sebagai alasan menyalahkan syaitan kerana berdosa di akhirat kelak apakan lagi ketika ini sudah ada yang mengaku jadi ‘syaitan yang dikenali’ (devil you know) telah mewajibkan kita perangi serta menjauhinya?
Mengapa Pembangunan Ekonomi menggunakan dasar-dasar pengherotan pasaran dan pemusatan kuasa ekonomi kepada beberapa individu dibenarkan sehingga – tangga gaji rakyat membeku manakala kos sara hidup meningkat – harga kereta dan rumah tinggi – kos pendidikan yang tinggi memaksa rakyat berhutang besar – harga bekalan letrik, bekalan air dan tol lebuhraya hanya menguntungkan yang Elit – penswastaan berat sebelah yang merugikan rakyat dengan ‘bailout’ besar-besaran seperti MAS, Indah Water, Star dan LRT – pemberian syarikat strategik seperti Esso yang kini bernama Petron daripada dibeli LTAT tetapi diberikan kepada syarikat arak Filipina bernama San Miguel milik anak pemimpin – atau pendek kata kenapa yang kaya bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin dengan rancangan kerajaan untuk melaksanakan GST atau cukai barang dan perkhidmatan – manakala rakyat terpaksa dibebankan dengan hutang negara yang berganda dua kali dalam tempuh tiga tahun ini kepada RM553 billion atau 53% KDNK yang bakal bangkrapkan negara? Jika ditambah dengan hutang luar jangka yang dijamin kerajaan (contingent liabilities) hutang melonjak naik kepada 65 peratus daripada KDNK!
Oleh itu apabila rakyat mendengar, membaca atau melihat sesuatu berita, hujah atau ceramah – adalah menjadi tanggung-jawab untuk menilaikannya dengan kerangka ‘Lima yang Sama dan Lima yang Beza di antara PR dan BN’ – untuk elak terpedaya dengan bisikan syaitan dan juga agar rakyat dapat membuat pilihan terbaik demi masa depan anak-anak kita – Demokrasi atau Otokrasi?
No comments
Post a Comment