Malaysia catat pertumbuhan negatif selama 24 tahun- Anwar



(Oleh: Sidiqin Omar)

KUALA LUMPUR 24 Sept: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejak 1988 hingga 2011, belanjawan negara mencatat pertumbuhan negatif pada kadar 2.89 peratus daripada Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Anwar dalam soalan tambahannya kepada Timbalan Menteri Kewangan, Donald Lim Siang Chai menyatakan, rekod positif dicatat hanya pada tahun 1997, iaitu pada kadar 2.4 peratus.

“Gambaran ini membimbangkan. Profil kredit meningkat. Amaran ini harus diambil secara serius. Kalau kita lihat Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), unjuran tahun demi tahun tidak sampai sasaran,” katanya.

Anwar turut merujuk amaran perunding kewangan antarabangsa, Standard & Poor agar Malaysia menurunkan kadar kredit.

“Kewangan awam negara rendah secara relatif kepada persekitaran yang pelbagai. Malaysia kini setanding atau lebih tinggi kadar hutang seperti krisis yang melanda Itali,” kata Anwar memetik Fitch Ratings.

Tambah Anwar, jawapan Timbalan Menteri Kewangan tidak menjelaskan tentang kadar hutang negara yang kini berjumlah RM437 bilion, melainkan penegasan bahawa paras hutang negara kononnya masih selamat, iaitu pada kadar 53% berbanding KDNK, dua peratus dibawah paras berbahaya (55%)

Manakala menurut Donald, kerajaan turut mengadakan siri jelajah ke seluruh negara untuk menerangkan kepada rakyat berkenaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST)

“Credit Suisse menyatakan sasaran Malaysia tidak tercapai. World Economic Forum menyatakan imbangan belanja kerajaan jatuh ke tangga 96 dari 110 (negara).

“Langkah-langkah yang diambil diumumkan, tetapi bagaimana diukur keberkesanannya. Sebagai contoh melalui penilaian LKAN atau laporan Transperency International.

“Kita (Parlimen) tidak usul supaya diumumkan pemotongan perbelanjaan kerajaan, (dan) menekankan subsidi kepada golongan miskin.

“Apakah unjuran yang disebut Timbalan Menteri Kewangan akan dapat dicapai berdasar kepada kenyataan Perdana Menteri?

“Yang (hanya) ditekankan tentang pembaziran atau disebut leakage (kebocoran). Ini menuntut kita mengambil langkah serius mulai sekarang,” tegasnya.

Majlis Presiden dan pimpinan Pakatan Rakyat kini sedang bermesyuarat bagi membincangkan butiran Belanjawan Alternatif 2013 yang akan dibentangkan dalam masa terdekat.

No comments

Powered by Blogger.