Hab petrokimia Pengerang: 33 keluarga Melayu diusir
PENGERANG, 11 SEPTEMBER : Rakyat di Pengerang digesa bangkit menjatuhkan UMNO-Barisan Nasional dalam pilihanraya akan datang demi memastikan masa depan mereka tidak terus tergadai.
Pelbagai masalah kini sedang membimbangkan para pemilik hampir 22,500 ekar tanah di Pengerang untuk tujuan pembanguna; jelas Pengerusi Gabungan NGO Pengerang, Anis Afida (gambar).
Dalam satu wawancara ketika di Pengerang baru-baru ini, Anis berkata bahawa jika rakyat memilih untuk berdiam diri dengan ugutan yang diberikan, beliau khuatir kerajaan UMNO Barisan Nasional akan terus bertindak tanpa memikirkan kebajikan rakyat Pengerang.
Menurut Anis lagi, kerajaan UMNO Barisan Nasional bertindak semakin tidak rasional. Mereka hanya memikirkan keuntungan untuk kroni-kroni sahaja sehingga menyebabkan tanah pusaka rakyat tergadai bagi tujuan Projek Pembangunan Bersepadu dan Petrokimia RAPID.
“Mereka bukan sahaja ingin mengambil tanah pusaka rakyat Pengerang malah tapak perkuburan juga menjadi mangsa”, jelas beliau lagi.
“Rakyat sebenarnya tidak menghalang pembangunan, tetapi rakyat mula tidak berpuas hati kerana kerajaan UMNO Barisan Nasional bukan sahaja menggunakan Pejabat Tanah Kota Tinggi untuk merampas tanah mereka tetapi tiada perbincangan dua hala antara RAPID dan penduduk, akhirnya penduduk mendapat notis untuk mengosongkan rumah mereka,” kata Anis lagi.
Jelas Anis sebanyak 33 keluarga Melayu dan 2 keluarga Cina Kampung Sungai Kapal telah diarahkan mengosongkan rumah tiga hari oleh satu rombongan yang diketuai oleh ketua kampung dan pegawai dari Pejabat Tanah Kota Tinggi sebelum Syawal baru-baru ini.
Tambah beliau lagi, beberapa keluarga yang diusir ada yang tidak menerima sebarang notis awal, mereka cuma menyedari hal ini selepas sehelai notis berwarna merah ditampalkan diluar rumah.
Beliau yang mewakili seluruh penduduk Pengerang mendesak kerajaan UMNO-BN supaya menilai semula pembangunan yang telah diaturkan agar penduduk di Pengerang tidak ditindas dan akhirnya tanah pusaka mereka tergadai. – Roketkini.com
No comments
Post a Comment