Himpunan #KL112: TV3, TV1, Utusan Malaysia Dan Berita Harian Akan Tipu Rakyat Esok?
Pembangkang Tak Capai Sasaran Sejuta Peserta Pada Perhimpunan Di Stadium
KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Perhimpunan parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dipanggil perhimpunan kebangkitan rakyat 2013 di Stadium Merdeka di sini berakhir petang ini dengan kehadiran peserta menyimpang jauh daripada sasaran sejuta orang yang dilaungkan oleh penganjur sebelum ini.
Mengikut anggaran pemerhati, bilangan peserta tidak melebihi 50,000 orang memandangkan stadium itu mempunyai kapasiti 30,000 orang manakala padangnya dianggarkan mampu menampung lebih 10,000 orang.
Bagaimanapun, polis menganggarkan jumlah kehadiran peserta pada perhimpunan selama tiga jam itu adalah 45,000 orang.
Berbeza dengan perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara, April lepas, yang berakhir dengan dengan keganasan dan rusuhan tetapi perhimpunan kali ini berlangsung dalam keadaaan sebaliknya.
Peserta disajikan dengan dengan ucapan-ucapan politik penuh retorik oleh barisan pemimpin pembangkang yang melahirkan keyakinan untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum nanti.
-- BERNAMA
Ucapan Pembangkang Sekadar Pidato Politik Pilihan Raya
Oleh Mohd Faizal Hassan
KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Perhimpunan yang didalangi pembangkang hari Sabtu lebih kepada pentas pidato politik pilihan raya yang penuh dengan tohmahan terhadap kerajaan, selain menabur janji palsu tanpa sedikitpun cuba menjelaskan kontroversi melibatkan pihak mereka.
Pemerhatian penulis mendapati semua ucapan, baik oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mahupun pemimpin pembangkang lain termasuk beberapa badan bukan kerajaan hanya berkisar isu yang diulang-ulang di seluruh negara.
Isu seperti penggunaan kalimah Allah dalam Bible Bahasa Melayu dan kontroversi pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP langsung tidak disebut di hadapan kira-kira 45,000 orang yang menunggu sejak awal pagi.
Suasana hingar-bingar dengan tiupan vuvuzela seolah-olah ketika perlawanan bola sepak juga menimbulkan persoalan apakah 'amanat' yang disampaikan pemimpin pembangkang terbabit sampai ke telinga hadirin?
Malah, ketika Anwar selaku penceramah terakhir berucap, penulis dan rakan media lain mendapati ada hadirin keluar meninggalkan Stadium Merdeka itu.
Anwar dalam ucapannya seperti biasa, meminta rakyat yang berhimpun hari ini memberi peluang kepada pakatan pembangkang mentadbir negara dengan modal basi iaitu kerajaan sekarang tidak menjaga kebajikan rakyat.
"Rakyat bangkit hari ini kerana ingin mengubah sistem rasuah di negara kita. Saya lihat sendiri semangat rakyat, saya rasa sendiri derita rakyat, saya tahu kemarahan rakyat.
"Kami dalam pakatan berikrar kami tidak akan izinkan rasuah dan rompakan kepada rakyat," katanya cuba membakar emosi hadirin.
Beliau juga membaca skrip sama ketika berceramah di tempat lain iaitu dakwaan kronisme, angan-angan Mat Jenin untuk menurunkan harga barangan serta menghapuskan pinjaman pendidikan.
Sebelum itu, dalam ucapannya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa MCA, MIC dan Gerakan "memakmumkan" Umno sejak 55 tahun lepas selain pemimpin Umno tidak menunjukkan "wajah" pemimpin Islam sebenar.
Ironinya ucapan Abdul Hadi hanya menerima reaksi hadirin ketika ada seruan "takbir" atau "bangkit", sedangkan pada kebanyakan masa tiupan vuvuzela mengiringi patah ayat yang keluar daripada mulut pemimpin PAS itu.
Menurut seorang rakan media yang berjaya melepasi kawalan keselamatan, Abdul Hadi yang kini dihambat kontroversi 'Amanat Haji Hadi' bergegas meninggalkan kawasan stadium ketika diaju pertanyaan mengapa isu semasa membabitkan pakatan tidak dibangkit.
Peluang menjelaskan kontroversi pemilihan CEC di hadapan rakyat juga tidak dimanfaat Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang menggunakan pentas hari ini untuk menghentam kerajaan Barisan Nasional (BN) termasuk mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia dan Sistem Penguatkuasaaan Automatik (AES).
Selepas tiga jam mendengar 'ceramah' daripada kira-kira 10 orang termasuk tiga pemimpin utama parti pembangkang, penulis menyimpulkan isu yang disentuh hanya membabitkan segelintir rakyat, malah itupun tidak dinyatakan bagaimanapun masalah berkenaan akan diselesaikan.
-- BERNAMA
No comments
Post a Comment