Atur Strategi Gempur Kota Selatan Dan Putrajaya Dari Bangi


BBB, 28 Jamadil Awwal 1434 = 09 April 2013 (Isnin):

Memasuki pilihanraya kali ini Pakatan Rakyat melangkah lebih gagah dan lebih yakin. Keyakinan kerana percaya rakyat makin memberi sokongan dan gerakerja lebih berfokus, berstrategi dan berwawasan. Jika strategi pilihanraya sebelum ini ialah menguasai negeri-negeri yang dari segi perkiraan boleh dikuasai seperti Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak, maka strategi pada kali ini ialah mengukuh penguasaan negeri-negeri yang telah dikuasai dan memfokus negeri-negeri yang dianggap kubu dan kebal bagi parti-parti lawan. Dua dari kawasan sedemikian ialah Johor dan Putra Jaya. Memang kedua tempat dianggap benteng kebal bagi BN yang merasa amat selamat, tetapi jika metos kekukuhan ini dapat dtembus dan dipecah, maka watak sebagai legenda keyakinan akan hilang dan mereka tiada lagi sandaran sebagai asset kekuatan. Pihak pimpinan dalam Pakatan telah lama memeriksa dan meneliti peta strategi sedemikian, bahkan mengambil tindakan. Misalnya menurut Mantan YB. Salahuddin Ayob sejak setahun yang lepas beliau telah mengatur strategi bagi menggempur wilayah Kebal di Johor. ``Saya anak jati Johor, mula mengenal politik di Johor, tetapi oleh kerana kawasan tradisi Umno ini amat kebal untuk ditembusi, maka saya mengambil pendekatan berhijrah mencari pengalaman dan bekalan untuk kembali berjuang di tanah kelahiran sendiri.`` Menurutnya, ``Kepulangannya adalah dengan keyakinan dan tidak mungkin menoleh kembali ke belakang.`` Mantan YB Salahuddin berpantun,

Nyiur gading puncak mahligai
Anyam ketupat berisi inti
Pecah pending tulang berkecai
Pantang melihat ke belakang lagi.

Mantan YB Salahuddin Ayob dijangka bertanding bagi kerusi Parlimen Kulai Johor. Usaha bagi memecah benteng kekuatan BN di Johor ini secara strategi juga diambil tindakan oleh Penasihat Umum DAP Mantan YB Lim Kit Siang rela meninggalkan kawasan selesa baginya di Ipoh untuk terjun bersilat politik dengan sebarang lawan di Gelang Patah. Sudah tentulah kepulangan dan pemergian dua pahlawan Pakatan Rakyat ini menggemparkan seluruh bala tentera politik BN di Johor. Bahana kemaraan bala tentera Pakatan yang bergerak dengan penuh keyakinan ke selatan mengecut perut dan mengharubirukan pertahanan. Sejak pecah berita ini Abdul Ghani dan Chua Soi Ah Lek tidak senang duduk, Dato` Seri Najib di Putrajaya sama menerima hangat tempias, tetapi pimpinan di Johor terpaksa berlagak anak jantan mempersilakan kehadiran mereka. Kita menunggu untuk melihat titanic pertempuran agung, juga menunggu keputusan, siapa yang kalah, siapa yang menang dan siapa pula yang kecundang.

Bagai strategi yang diatur rapi dan secara bersiri ialah mencabar kekebalan BN di Putrajaya. Ianya adalah fokus puncak bagi Pakatan Rakyat. Tanpa azam dan keberanian tiada siapa berani untuk masuk ke medan pertempuran politik yang diawas rapi setiap pengundi oleh Dato` Tengku Adnan. Cabaran ini diambil oleh Mantan YB Dato` Husam Musa salah seorang Panglima dalam Pas sendiri. Sudah tentulah Tengku Adnan yang selama ini releks dan yakin tempatnya tiada siapa berani mencabar, tersentak dan mulai diserang bimbang yang kemungkinan benteng kekuatan yang selama ini dibina di Putrajaya akan terdedah, bahawa apa yang dibina adalah semata-mata istana pasir ! Dia mungkin teringat pepatah, Sekali air bah sekali pasir berubah.

Sengaja diatur di Bangi ibarat Markaz Utama Strategi. Di sini diadakan pertemuan antara Mantan YB Salahuddin, Mantan YB Dato` Husam Musa, ditambah kehadiran dengan Mantan YB Mahfuz Umar Mantan Ahli Parlimen Pokok Sena yang sengaja datang dari utara ke Bangi, maka di sini melalui Program Makan Malam yang ditaja Pas Bangi ketiga-tiga Naib Presiden Pas ini bertemu mengatur strategi bagi menggempur Kota Selatan dan Putrajaya. Pihak penganjur bernasib baik kerana berhimpunnya tiga Naib Presiden secara serentak di Bangi – sukar berlaku. Dana yang dipungut malam ini akan diagih-agih kepada beberapa pihak – termasuk Dun Bangi yang amat memerlukan kewangan bagi menggerakkan strategi seterusnya menguasai dan menawan medan perang musuh.

Sebelum dari itu Ustaz Shafie Ngah sebagai Pengerusi Majlis menjemput Mantan Adun Bangi menyampaikan kata-kata aluan dan berterima kasih di atas kehadiran semua pihak dan derma yang dihulurkan. Mantan YB Salahuddin yang menggalurkan perjungan politiknya bermula dari Johor dan kini kembali ke Johor, Mantan YB Husam yang sedia menerima arahan untuk ke Putrajaya dan mengharapkan sandaran kewangan bagi menggerakkan jentera dan tenaga parti. Mantan YB Mahfuz juga secara bergurau menyatakan, ``Kawasannya juga memerlukan dana dan jika ada lebihan, Pokok Sena mengalu-ngalukan.`` Bangi nampaknya bukan saja tempat strategic bagi mengatur pergerakan, tetapi juga menjadi tempat sumber kewangan.

Program makan malam bagi memungut dana ini bermula dari jam 8.00 malam bertempat di Restoran Asam Pedas, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi. Para tamu sampai secara berperingkat-peringkat, bermula dengan kesampaian Mantan YB Salahuddin, diikuti Mantan YB Dato` Mahfuz dan Mantan YB Dato` Husam Musa. Makan malam bermula sebaik sampai Tetamu Kehormat pertama dan makan berterusan hingga ke masa majlis dimulakan. Hadirin yang merupakan penderma dan penyokong Pas tegal itu mendekati dan merapati tempat tetamu bersalam, bercakap dan bergurau secara santai. Ruang restoran Kedai Asam Pedas yang terletak bahagian tepi yang ada ruang, tetapi tidak mampu menampung kebanjiran hadirin.

Mungkin bagi mereka yang hadir, jamuan bukan menjadi tujuan utama kehadiran mereka, tetapi lebih kepada pernyataan sokongan. Pernyataan ini perlu sebagai sokongan bagi meningkatkan semangat perjuangan. Kehadiran ketiga-tiga tokoh pimpinan Pas tertinggi yang menjadi tarikan utama kehadiran hadirin dan hadirat di samping menyampaikan derma. Kita berpendapat kiranya pada majlis pelancaran derma mereka datang, mungkin bila tiba episod-episod pertempuran, mungkin tiada masalah bagi mereka turun memikul dan masuk sama ke dalam pertentangan politik sengit bagi menentukan keputusan muktamad.

Allahu Akbar !

Sekian.


http://drshafie.blogspot.com/2013/04/atur-strategi-gempur-kota-selatan-dan.html

No comments

Powered by Blogger.