Temuramah UTUSAN sempena ulangtahun ke 83 TG Nik Aziz Nik Mat
Bersama 'beg plastik', 60 cucu
Nik Abdul Aziz Nik Mat masih bersemangat ketika diwawancara wartawan Mingguan Malaysia, Zaain Zin di rumahnya baru-baru ini.
SEBAIK-baik sahaja menamatkan perkhidmatan sebagai Menteri Besar
Kelantan, DATUK NIK ABDUL AZIZ NIK MAT yang juga Mursyidul Am Pas
kelihatan agak ‘diam’ dan tidak lagi berada di bawah ‘radar’ media
massa.
Lebih 20 tahun, tokoh politik negara itu menjadi perhatian rakyat.
Setiap kata dan gerak-gerinya menjadi perbualan hangat tambahan pula
kenyataan beliau sering menongkah harus. Namun tidak ramai yang
mengetahui kisah hidupnya selepas tidak lagi bergelar orang nombor satu
di Kelantan.
Justeru, wartawan Mingguan Malaysia, ZAAIN ZIN bersama jurugambar,
ROSNI MASRI menjejaki beliau yang menyambut ulang tahun ke 83 pada 10
Januari lalu, untuk mendapatkan kisah kehidupannya hari ini.
Usaha menjejaki tokoh yang sinonim dengan panggilan ‘Tok Guru’ itu
bermula pada awal pagi Khamis lepas di pejabatnya di Institut Pemikiran
Tok Guru di Kota Darul Naim, Kota Bharu kerana berdasarkan maklumat
beliau sering ke pejabat, namun gagal.
Kemudian, usaha tersebut diteruskan ke Masjid Pulau Melaka kerana di
sanalah lokasi yang paling mudah untuk bertemu dengan beliau terutama
ketika waktu solat.
Ketika itu solat Zohor, pada mulanya agak hampa kerana tidak
kelihatan kelibatnya biarpun solat jemaah telah bermula tetapi
sebaik-baik sahaja solat selesai, beliau kelihatan keluar dari pintu
sebelah kanan dan dipimpin oleh anaknya, Nik Abduh yang juga Ahli
Parlimen Pasir Mas.
Ketika dipimpin beliau memegang ‘beg plastik putih’ yang mempunyai
saluran kecil ke tubuhnya. Difahamkan beg yang disediakan oleh pihak
hospital itu untuk menyalurkan air kencing.
Beliau menyambut kunjungan Mingguan Malaysia dengan penuh berhemah
walaupun pada mulanya beliau agak keberatan untuk ditemu bual tetapi
akhirnya mempelawa masuk ke dalam rumah.
Sepanjang tempoh 30 minit berada di rumahnya, beliau menceritakan
mengenai keadaan kesihatannya yang tidak pernah diketahui umum seperti
masalah prostat, bateri untuk menguatkan jantung dan petua menjaga
kesihatan.
Malah Tok Guru turut mendedahkan tentang aktiviti mingguan keluarga
yang menghimpunkan 10 orang anak dan 60 cucu termasuk cicitnya pada
setiap malam Ahad.
Beliau juga menceritakan secara terperinci kehidupannya yang ‘tenang’
selepas bebas daripada jawatan utama dalam Kerajaan Negeri Kelantan dan
pandangannya terhadap kerajaan pimpinan Datuk Ahmad Yakob serta sikap
malas membaca dalam kalangan orang Melayu.
MINGGUAN: Apa khabar Tok Guru, nampak ceria.
NIK AZIZ: Ceria sebab ada tetamu. Saya sebenarnya letih. Sekarang mudah letih. Kalau berbual pun letih, tak boleh lama.
Bagaimana keadaan kesihatan Tok Guru secara keseluruhan?
NIK AZIZ: Alhamdulillah. Untuk jantung, baterinya doktor kata buat masa
ini, tidak perlu tukar lagi kerana masih molek. Bateri ini kurang
bekerja kerana tidak begitu diperlukan memandangkan jantung saya masih
gagah. Masalah saya sekarang ini adalah prostat. Masalah prostat ini
menyebabkan saya kena bawa ‘beg’ (untuk menyalurkan air kencing) pergi
ke mana-mana. Pada mulanya, doktor mahu memberi beg yang tak perlu bawa
ke sana ke sini tetapi saya tidak mahu terima. Payah kalau hendak
bergerak. Cuma beg ini saya perlu tukar, caranya sama ada saya pergi ke
hospital buat pemeriksaan atau pihak hospital sendiri bawa ke mari
seminggu sekali. Kalau hendak sembahyang, susah sikit tetapi tak perlu
tukar cuma kena cuci dulu. Tidaklah sampai perlu cuci lima kali sehari.
Saya cuci bila perlu, sekurang-sekurangnya sekali sehari. Alhamdulillah,
tidak menganggu saya beribadat.
Bagaimana pula dari segi pengambilan makanan?
NIK AZIZ: Petua saya, ikut kata doktor. Dia kata minuman paling baik
ialah air kosong, bukan campur macam-macam. Memandangkan saya ada
masalah prostat, saya usaha sungguh-sungguh minum sebanyak mungkin air
kosong. Tapi kadang-kadang, saya curi-curi minum teh dan kopi. Sebab ada
masalah jantung, saya tak boleh makan daging, lemak dan santan. Saya
cuma curi-curi makan kuah. Lauk saya biasanya sayur dan ikan bakar
sahaja. Sekarang ini, saya hendak sangat makan ubi kayu, saya minta
orang rumah tolong cari ubi kayu. Apa boleh buat, mengidam.
Boleh kongsi serba sedikit kehidupan Tok Guru selepas tidak lagi menjadi Menteri Besar?
NIK AZIZ: Tenang sahaja macam biasa. Tidak sibuk, namun kerajaan negeri
beri satu institusi untuk saya urus yang dipanggil Institut Pemikiran
Tok Guru di Kota Darul Naim, Kota Bharu. Saya ke sana setiap hari.
Tetapi kalau kesihatan tidak mengizinkan, saya pergi dua atau tiga hari
sekali. Kalau ada temu bual dengan wartawan pun saya akan pergi ke sana.
Bagaimana Tok Guru mengisi masa lapang jika tidak sibuk dengan tugas hakiki?
NIK AZIZ: Saya membaca. Buku saya banyak. Malah, rakan-rakan yang duduk
luar negara pun turut kirim macam-macam buku. Masa saya di luar negara,
contohnya Kaherah, saya tengok rakyat di sana gemar membaca. Dalam
masjid pun orang bawa akhbar. Berbeza dengan orang Melayu, pemalas.
Kesedaran untuk membaca tiada. Kita tidak dididik untuk membaca.
Anak-anak kecil contohnya, sibuk dengan Internet. Tak pasti salah siapa,
ibu bapa atau kementerian, wallahuallam.
Waktu saya mula-mula balik ke Tanah Melayu dulu, kad pengenalan saya
hilang di India, jadi saya pergi buat yang baharu, ketika itu di Pejabat
Tanah.
Sementara menunggu, saya membaca. Datang seorang rakan, tegur dan kata
membaca buat apa? Patut dia bagi semangat, tapi dia perlekeh pula.
Masya-Allah, berbeza benar pemikiran kita dengan orang luar. Wartawan
sekarang ini, saya fikir perlu buat artikel-artikel yang boleh
menimbulkan semangat untuk orang ramai membaca, tidak kiralah macam
mana, Internet, Twitter atau Facebook.
Saya juga mengikuti perkembangan semasa menerusi surat khabar, Internet
dan lain-lain. Kalau Internet, selalunya anak cuculah. Tak boleh banyak
sangat tengok Internet, jadi khayal sampai habis masa saya.
Terbongkok-bongkok duduk tengok Internet, bahaya.
Jadi, sekarang Tok Guru ada banyak masa bersama keluarga dan bermain dengan cucu dan cicit?
NIK AZIZ: Cucu ada 60 orang nak main macam mana. Sebenarnya setiap Sabtu
malam Ahad, selepas Isyak, saya kerah semua anak cucu datang makan
malam. Ini usaha saya untuk mengeratkan hubungan sesama mereka, terutama
yang cucu-cucu ini. Dia hendak bertumbuk atau bergomol, itu dia punya
pasal tetapi seronok juga sebab rumah jadi riuh.
Setiap dua atau tiga tahun, kami berkumpul ramai-ramai. Macam bulan
lepas, kami berkumpul di Pantai Cahaya Bulan (PCB). Masa itu, ada lebih
kurang 500 ahli keluarga sebelah arwah ayah saya dari seluruh negara
datang.
Apa pendapat Tok Guru tentang kerajaan negeri sekarang yang dipimpin
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob? Ramai yang kurang yakin dengan
kebolehannya untuk mentadbir?
NIK AZIZ: Saya minta semua orang Pas sokong beliau kerana beliau jadi
timbalan saya sudah bertahun-tahun, semua masalah atau urusan saya
khususnya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dia yang jawab. Beliau
merupakan anak murid saya yang sejati. Segala gerak-geri saya sudah
disalin kepada dia. Maka dia tahu apa yang dia buat.
Dari segi dasar atau polisi mana boleh sama, kita kena ikut perkembangan
semasa. Dia cara dia, saya cara saya, namun saya beri sokongan
sepenuhnya kepada beliau.
Orang kata Menteri Besar sekarang pendiam dan kurang mesra, tak macam Tok Guru?
NIK AZIZ: Itu dia punya pasal. Tidak ada orang yang serupa di atas dunia
ini, muka tak serupa, anak saya 10 orang, cucu 60 orang mana ada
serupa. DNA, cap jari mana ada serupa, Tidak ada yang serupa, malah
Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan lain-lain pun tak serupa. Namun
kalau ada yang kurang, saya tetap tegur. Tetapi saya tegur secara
berdepan dan seorang diri, bukan ketika bercampur (ramai), kalau tegur
masa bercampur ini, orang kata boleh melukakan hati. Jadi, mesti
sama-sama seorang (secara empat mata).
Boleh komen sikit mengenai isu kalimah Allah yang masih diperkatakan serta kejadian rampasan Bible di Selangor?
NIK AZIZ: Tidak usah sebut isu kalimah Allah, perkara ini sudah lama
kita putuskan, awak rujuk balik Pas Pusat kerana saya beri sokongan
penuh apa sahaja keputusan mereka. Kejadian di Selangor (Jabatan Agama
Islam Selangor rampas Bible bahasa Melayu yang mengandungi kalimah
Allah), itu urusan dia. Urusan negeri, orang kita tidak boleh campur.
Macam urusan Kelantan, negeri lain nak campur, itu tak betul.
Akhir sekali, apa pesanan Tok Guru untuk renungan kita bersama?
NIK AZIZ: Saya pegang Kelantan selama 23 tahun, salah satu perkara yang
saya ajar kepada rakyat ialah duduk atas dunia ini, kita cari duit biar
banyak tetapi bukan setakat dunia sahaja. Di akhirat pun kena jaga.
Sembahyang biar banyak, derma biar banyak, ceramah biar banyak, kuliah
biar banyak. Biar semua seimbang dunia akhirat.
Saya nak beritahu kamu, wartawan sama macam tok guru. Kalau tok guru
mengajar di masjid, wartawan pun sebenarnya mengajar manusia. Jadi, nak
ajar macam mana? Ajarlah seperti yang Allah perintahkan, bukan ajar
sebagaimana yang sesetengah manusia inginkan sebab nanti di akhirat
kosong. Kita sama-sama pimpin manusia ke jalan yang betul. Supaya
manusia ini ke syurga, tidak ke neraka.
Tok guru, wartawan, ibu bapa, penulis dan semua pihak perlu bekerja
semua sekali supaya dapat bentuk ekonomi begini, sosial begini,
pelajaran begini. Saya sudah berapa kali sebut, Pas memerintah negeri
ini bukan dengan cara meniru orang putih, tetapi tiru Islam. Nabi
Muhammad SAW jadi ‘Perdana Menteri’ 10 tahun di Madinah. Jadi Imam
ketika sembahyang, baginda jadi panglima perang, baginda jadi menteri
kewangan, baginda jadi menteri sosial, baginda jadi menteri dalam
negeri, baginda jadi menteri luar negeri. Masyarakat dunia ketika itu
terima baginda. Kita Melayu kurang bijaklah kalau memperlekehkan
baginda.
Nama baginda kita sebut, tapi ajaran baginda kita perlekeh. Kita tolak
Islam dan ambil kebangsaan. Bukan di sini sahaja duduk berbalah, di Arab
pun berbalah juga tentang perkara ini.
Bagaimana Tok Guru melihat hubungan kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat pada masa ini?
NIK AZIZ: Negara kita ini mengamalkan demokrasi, jadi tidak ada sebab
hubungan Pusat dengan negeri renggang. Yang peliknya, 23 tahun saya jadi
Menteri Besar, saya tak pernah dapat bercakap dalam radio atau
televisyen. Rakyat kita makin cerdik, ramai yang keluar universiti
tiap-tiap tahun dan adakalanya, orang itu faham apa yang berlaku. Mana
boleh sebuah kerajaan negeri tidak boleh bercakap menerusi radio atau
televisyen dengan rakyat sendiri. Perangai Kerajaan Pusat ini, dia nak
suruh orang ikut dia sahaja, jangan dengar apa kata pembangkang
sedangkan mana boleh manusia hidup tanpa membangkang. Kita dua beradik
pun berbalah, suami isteri pun berbalah, sahabat handai pun berbalah,
begitu juga rakyat dengan kerajaan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140112/re_05/Bersama-beg-plastik-60-cucu#ixzz2qBgqnPAY
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments
Post a Comment