Sentuhan Boateng terus menjadi
Kota Bharu: Pengendali Kelantan, George Boateng meneruskan sentuhan magisnya apabila berjaya memacu Kelantan mencatat kemenangan kedua berturut-turut selepas mengambil alih The Red Warriors (TRW) dengan menewaskan Perak 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.
Kemenangan itu sekali gus menebus kekalahan 1-2 di tangan anak buah Abu Bakar Fadzim di laman lawan dalam pusingan pertama Liga Super.
Beraksi tanpa penyerang import barunya, Prince Tagoe, ia jelas tidak menjejaskan rentak apabila tuan rumah sudah merobek gawang lawan seawal minit kelima apabila Mohamed Shawky menanduk masuk hantaran lintang Brendan Gan.
Tebus kesilapan
Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat separuh masa tetapi menyedari kedudukan itu belum menjamin kemenangan, barisan TRW terus mengasak The Bos Gaurus.
Usaha mereka akhirnya berhasil apabila Khairul Izuan yang dua kali menghampakan peluang untuk menjaringkan gol pada minit ke-70 dan 75 akhirnya menebus kesilapannya pada minit ke-77 dengan membolosi gawang yang dikawal Mohamad Nor Haziq Mohd Aris.
Namun, jaringan itu tidak mematahkan semangat The Bos Gaurus yang bangkit merapatkan jurang dua minit kemudian apabila hantaran lintang Mohamad Ridzuan Azly Hussham berjaya disambut baik oleh Mohd Norhakim Isa untuk menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.
No comments
Post a Comment