KELANTAN DI MATA AMERIKA



Menurut Dr Azhar Abdullah, Panel Sekretariat Perlaksanaan Undang-undang Jenayah Syariah Kelantan, sejak Dr Jamil Khir Baharom menyatakan di Parlimen pada 15 Mei 2014 bahawa kerajaan persekutuan bersedia membantu Kelantan melaksanakan rang undang-undang jenayah syariah, sudah dua kali wakil kedutaan Amerika datang meminta ditangguhkan hasrat tersebut.

Menurutnya lagi, bulan depan Obama sendiri dijadualkan hadir bertemu kerajaan negeri atas hasrat yang sama. Nampaknya barat mengikuti perkembangan Islam di rantau kita selama ini..

Dalam perkembangan lain, Eric Paulsen, pengasas Lawyers For Liberty (LFL) yang mendapat dana khas dari kongres Amerika melalui National Endowment for Democracy (NED) turut terlibat mengucar kacirkan kefahaman masyarakat terhadap kanun jenayah Islam. Beliau pernah melontar 20 soalan terbuka terhadap PAS berkenaan hudud. Terbaru, beliau menimbulkan kecurigaan apabila mendakwa JAKIM mempromosikan ekstremisme pada setiap jumaat melalui laman twitternya.

Sebelum PRU13 lalu lagi, duta Amerika sendiri berjumpa Presiden PAS untuk mengetahui hasrat PAS jika menang pilihanraya. Waktu itu umum menjangkakan PR bakal memerintah selepas PRU13.

Ringkasnya, perlaksanaan undang-undang Islam terutama di Kelantan bukan sekadar mendapat tentangan dalaman sahaja, malah kini melibatkan campur tangan asing yang begitu fobia dengan Islam. Barat tidak takut kepada kumpulan Islam yang sekadar memperjuangkan dari sudut-sudut lain, tetapi yang mereka bimbang ialah kumpulan yang bercita-cita menjalankan undang-undang Islam.

Kuasa dunia terpaksa dilibatkan kerana tembok perundangan yang barat tinggalkan kepada Malaysia sejak merdeka dahulu tidak mampu lagi menahan kemaraan Islam. Fasal 3 perlembagaan digunakan semaksimanya oleh PAS hingga akhirnya kerajaan terpaksa akur di Dewan Rakyat. Private bill dari Kelantan benar-benar merimaskan penguasa.

Persoalannya, apa kena mengena Kelantan, Malaysia dengan Amerika? Kenapa sampai begitu sekali takutnya dunia terhadap Islam?

Allah telah menjawab lama dalam Al-Quran:
وَلَنْ تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ
Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan sekali-kali redha terhadap kamu (umat Islam) sehinggalah kamu mengikut ajaran mereka.
[Al-Baqarah:120]

Bukan kerana Islam ini zalim. Bukan kerana undang-undang syariah menindas. Bukan sebab kolot atau tidak sah di sisi undang-undang. Tetapi hakikatnya kerana kebencian dalam diri mereka yang tidak akan padam selama-lamanya. Bawalah 1001 hujah kebenaran sekalipun kepada musuh Islam, pendirian mereka tidak akan berubah terhadap Islam dan perjuangannya. Mereka akan sentiasa cuba padamkan cahaya Islam, tetapi Allah telah menjamin, cahayanya akan terus bersinar di sebalik kesumat kuffar.

Oleh itu, Allah ajarkan umat Islam menangani karenah musuh dengan sambungan ayat yang sama:
قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَى
Katakanlah (umat Islam), sesungguhnya ajaran Allah adalah satu-satunya ajaran yang tepat.
[Al-Baqarah:120]

Bukan dengan memperlahankan kemaraan Islam. Bukan membelakangkan ajaranNya atas nama keadilan atau integriti. Bukan jua menyembunyikan Islam sehingga ke waktu yang entah bila. Tetapi dengan menyatakan, Islam tetap Islam. Jangan gentar walau digertak seribu. Jangan malu dan takut mendabik dada untuk mengaku, 'inilah ajaran Islam'.

Allah sambung ayat itu lagi, amaran kepada yang tidak bertegas dengan Islam:
وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ
Dan jika kamu mengikut hawa nafsu mereka walaupun selepas kamu tahu akan kebenaran, maka tiadalah lagi bagimu pertolongan dan perlindungan oleh Allah SWT.
[Al-Baqarah:120]

Justeru, disaat musuh sedang menyeringai terhadap Islam ini, dengan seluruh jenteranya diaktifkan bagi membatalkan hasrat Kelantan, maka sudah sampai masanya umat Islam bersolidariti menjunjung hukum Allah dengan segala semangat dan keringat. Walaupun negerinya Kelantan, mobilisasi muslim Malaysia perlu berlaku di segenap pelusuk. Dokongan terhadapnya mungkin mendesak kepada perhimpunan mega seperti siri-siri bersih di Kuala Lumpur. Anda dimana pada waktu itu?

Nahnu Ansarullah! Kitalah pejuang Allah!

No comments

Powered by Blogger.