News Update :

Kenyataan Media: Penjelasan Menteri Dalam Negeri Masih Dinanti

January 13, 2015

Dato’ Mahfuz Omar

1. PAS masih menanti penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkenaan surat yang ditulis beliau kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat dalam kes warganegara Malaysia Paul Phua, yang didakwa seorang raja judi. Sehingga ke hari ini, beliau masih belum memperjelaskan kepada umum berkenaan tindakan mengutus surat kepada FBI itu.

2. Sungguh memusykilkan kita lagi apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bahawa kabinet sendiri tidak tahu menahu berkenaan surat tersebut. Timbul persoalan besar di sini, adakah tindakan berani Menteri Dalam Negeri itu masih berada di dalam ruang lingkup kuasanya sehingga mengatasi Wisma Putra, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun Peguam Negara sendiri..?

3. Teka-teki ini sungguh membingungkan masyarakat umum yang risau akan integriti dan ketelusan pemimpin kerajaan kerana perbuatan sebegitu boleh diibaratkan seperti bersekongkol dalam melindungi penjenayah besar yang berkepentingan.

4. PAS juga menuntut Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah perkhidmatan keselamatan yang telah diberikan oleh Paul Phua kepada kerajaan sepertimana yang dinyatakan di dalam surat menteri tersebut. Rakyat berhak untuk mendapatkan penjelasan tersebut kerana ia melibatkan isu keselamatan negara. Sesungguhnya suatu malapetaka dan musibah yang besar sekiranya benar pihak kerajaan sanggup berurusan dengan penjenayah kongsi gelap dalam hal membabitkan keselamatan negara.

5. Jikalau Menteri punya keberanian dalam mengutus surat kepada FBI maka, keberanian yang sama juga ditagih dalam memperjelaskan letakduduknya isu ini secara terang dan nyata kepada rakyat yang menantikan penjelasan beliau.


Dato’ Mahfuz Omar
Ketua Penerangan PAS
13 Januari 2015

Artikel berkaitan PENDAPAT

Share this Article on :

0 comments:

 

© Copyright Kerabu Bersuara 2007 -2013 | Design by Kerabu Bersuara | Published by Kerabu Bersuara Group | Powered by Blogger.com.