Khabar dari Parlimen- Harapan dan Terus Berdoa

[Khabar dari Parlimen- Harapan dan Terus Berdoa]

1. Mungkin ramai yang sedang menanti pembentangan Rang Undang-Undang Persendirian oleh Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Untuk makluman, setakat hari ini giliran pembentangan masih yang terakhir, iaitu nombor 24. Pada kebiasaannya urusan kerajaan seperti Rang Undang-Undang dan Usul mestilah didahulukan namun, Peraturan Tetap Dewan ada menyatakan perlunya seorang Menteri mencadang untuk urusan usul tertentu didahulukan. Ini bermakna, pihak Kerajaan boleh memohon usul pada no 24 itu diawalkan gilirannya.

2. Esok,merupakan hari terakhir Sidang Dewan Rakyat sesi kali ini. Jikalau, diizinkan Rang Undang-Undang Persendirian untuk meluaskan kuasa Mahkamah Syariah di dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 akan dibentangkan oleh Tuan Guru Presiden PAS. Situasi luar biasa dan sejarah akan berlaku jika undian dibuat kerana ia akan merentasi sempadan parti politik dan menguji sejauhmana kesediaan Ahli Parlimen Muslim daripada PAS, UMNO, PKR dan DAP untuk menyokong usul ini.?

3. Perlu diingat, Rang Undang-Undang Persendirian ini bukanlah berkenaan Hudud secara langsung tetapi ia ada kaitan untuk membuka jalan ke arah pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (Pindaan 2015) yang lebih dikenali sebagai Hukum Hudud. Ia tidaklah berkait dengan orang bukan Islam kerana selama ini pun sememangnya orang Islam sahaja yang dibicarakan di Mahkamah Syariah. Jadi, Ahli Parlimen bukan Islam tidak perlulah terkejut mahupun takut.. 

Seandainya Tuan Guru belum diberi keizinan untuk dibentangkan usul tersebut pada esok, insyaAllah kita usahakan lagi pada sidang Mei akan datang.
Kepada Allah kita berdoa dan berserah..

Oleh: Syed Ahmad Fadhli, Pegawai Penyelidik PPP

No comments

Powered by Blogger.