Intifada al-Quds: Panggilan kebangkitan dunia Islam?
SEMBOYAN Intifada Ketiga dengan nama Intifada Al-Quds telah ditiupkan oleh Ismail Haniyeh dan jurucakap Hamas, Mushir Al-Masri, di satu perhimpunan kebangkitan rakyat Palestin[1].
Intifadha ini adalah siri Intifada terbaru semenjak Intifada Kedua yang berakhir pada tahun 2005. Namun, Intifada kali ini menjanjikan kebangkitan umat Islam yang lebih hebat dan holistik.
Intifada merupakan titik kebangkitan umat Islam Palestin menentang penindasan dan rampasan tanah Al-Quds yang mulia semenjak tahun 1948.
Perkataan Intifada berasal daripada bahasa Arab yang bererti “kebangkitan” dan di sini dapat dilihat sebagai kebangkitan umat Islam Palestin menentang penjajahan Israel.
Intifada Pertama bermula pada tahun 1987 dan kemudian diikuti Intifada Kedua pada tahun 2000 kini Intifada memasuki fasa terbaru dengan kebangkitan hebat Hamas dan rakyat Palestin.
Peningkatan drastik kekuatan Hamas dan tentera sayap mereka, Briged Izz Ad-Din Al-Qassam didikan As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin mendatangkan kegerunan di dalam hati tentera Zionis. Tebing Barat dan Gaza menjadi medan pertempuran antara rakyat Palestin dan Israel.
Pembunuhan demi pembunuhan insan yang tidak berdosa oleh tentera Israel semakin menjadi-jadi[2], tanpa mengenal umur atau jantina[3]. Kebelakangan ini kematian rakyat Palestin meningkat dengan kelulusan pengunaan peluru hidup oleh Benjamin Netanyahu bagi menyekat kemaraan rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.[4]
Sepanjang Intifada yang pertama angka kematian rakyat Palestin seramai 2,044 orang dan ribuan lagi ditahan dan diseksa dengan kejam. Ketika Intifada Kedua pula angka kematian mencecah 3,354 orang rakyat Palestin manakala ribuan lagi ditahan.
Pada Intifada Al-Quds kali ini bagi bulan Oktober ini sahaja, seramai 27 orang rakyat Palestin telah dibunuh secara kejam oleh tentera Israel, seramai 1,400 orang cedera manakala lebih 400 yang ditahan. 7 daripada yang terbunuh adalah golongan kanak-kanak.[5]
Kekejaman Israel ini tidak sepatutnya dibiarkan berterusan namun masih disenyapkan media Barat dan prorejim Israel.
Terdapat beberapa perkara yang perlu difahami sebaiknya oleh umat Islam:
1. Retorika Rusia-Israel-AS-Iran yang membantut kebangkitan Islam
Penglibatan Rusia dan AS (yang juga sekutu rapat Israel) di Syria adalah satu retorika permainan kedua-dua belah pihak sedangkan medan utama mereka adalah bagi mengekang sebarang kemaraan atau kekuatan umat Islam di bumi Syam dan Timur Tengah.
ISIS pula boneka AS dalam peperangan ini bagi membolehkan Rusia terlibat di Timur Tengah.
Penglibatan Rusia juga sebagai helah bagi mengaut kekayaan minyak serta meningkatkan harga minyak global.[6]
Kekuatan Rusia dan Amerika menyebabkan kebanyakan negara Islam tidak mampu bertindak kerana risau akan serangan daripada kedua-dua blok besar dunia itu. Kedatangan Rusia ke Timur Tengah menutup jalan bantuan bagi mana-mana negara Islam untuk menghantar bantuan.
2. Realiti kuasa besar Islam hari ini
Turki pula masih dilanda kemelut politik dalaman yang masih tidak selesai dan gangguan oleh pihak Kurdi sekular di Turki yang sedikit sebanyak semakin memburukkan keadaan. Puak Kurdi ini mendapat sokongan kuat daripada puak Kurdi yang lain di sempadan Syria sekaligus membuatkan Turki sentiasa berjaga-jaga di dalam negara sendiri.
Semenjak kejatuhan Presiden Morsi, Al-Sisi mengambil langkah menjalinkan kembali hubungan rapat dengan Israel dan Amerika dan kini menjadi boneka mereka. Beliau juga telah menutup dan membanjirkan terowong Rafah yang menjadi pintu utama rakyat Palestin melintasi sempadan Gaza-Mesir.
Umat Islam tidak boleh tertipu dengan permainan Iran-Israel-AS kerana mereka mempunyai pakatan bagi memegang kuasa Timur Tengah dan menguasai umat Islam di seluruh dunia.[7] Iran juga boneka Israel bagi mengukuhkan kedudukan Israel di rantau Timur Tengah. Umat Islam tidak boleh tertipu dengan usaha-usaha sekutu Israel ini.
Laungan Iran bahawa mereka akan memerangi Israel hanyalah laungan penipuan oleh Iran bagi mendapatkan kepercayaan umat Islam di serata dunia dan mengaburi pakatan mereka bersama Israel.
3. Peranan Umat Islam di Malaysia
Pengunaan media sosial sepatutnya digunakan bagi manfaat umat Islam seperti menyebarkan keburukan Israel dan Amerika Syarikat di serata dunia serta mencelikkan isu akidah ini yang masih samar-samar di mata umat Islam seluruh dunia.
Perang siber adalah antara teknik perang baru yang dapat mendatangkan kerosakan kepada imej serta mendatangkan ‘colateral damage’ kepada sekutu Israel serta Amerika Syarikat.
Permainan propaganda serta social network unconventional warfare bakal memainkan peranan penting kejayaan kebangkitan umat Islam di serata dunia.
Malaysia adalah antara negara yang masih tidak berhenti memberi bantuan serta lantang menentang penjajahan Israel. Pelbagai jenis bantuan terus disalurkan kepada rakyat Palestin melalui badan NGO seperti Aman Palestin dan sebagainya.
Sokongan tidak henti rakyat Malaysia seharusnya tidak disunyikan malah sepatutnya bertambah kuat. Masyarakat Palestin memandang tinggi Malaysia dan rakyatnya dan mengharapkan Malaysia sebagai tunjang utama membantu rakyat Palestin. Rakyat Malaysia dan kerajaan perlu lebih agresif membantu rakyat Palestin.
Ayuh bersatu cakna Palestin!
Muhamad Amirul Asyraf bin Ahmad Kamal Zulkhairi
Unit Kajian Timur Tengah Quds,
Penganalisis IRIS
Artikel ini telah disiarkan di laman web focuss.my
Sumber:
[1]https://www.middleeastmonitor.com/news/middle-east/21554-al-quds-intifada-has-started-and-flames-will-not-be-quenched
[2]https://electronicintifada.net/blogs/ali-abunimah/palestinian-youth-was-unarmed-when-killed-israel-new-video-confirms
[3]https://www.middleeastmonitor.com/news/middle-east/21609-israel-arrested-560-palestinians-since-start-of-october
[4] http://www.theguardian.com/world/2015/sep/25/israel-live-ammunition-measures
[5]http://thepeninsulaqatar.com/news/middle-east/354888/27-palestinians-killed-1400-injured-and-400-arrested-in-october
[6] http://www.businessinsider.com/what-russian-intervention-in-syria-means-for-oil-2015-10
[7] http://www.informationclearinghouse.info/article18476.htm
No comments
Post a Comment