PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK BIDAAH DALAM AMALAN MASYARAKAT




PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK
BIDAAH DALAM AMALAN MASYARAKAT

Sabda Nabi SAW:
من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد
Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu perkara dalam urusan agama kita apa yang bukan daripadanya maka ia perlu ditolak.
[HR Bukhari&Muslim]

Dalam riwayat muslim:
من عمل عملاً ليس عليه أمرنا فهو رد
Barangsiapa yang melakukan amalan (agama) yang bukan daripada urusan agama kita maka ia perlu ditolak.

Antara perkara bidaah di dalam agama ialah menokok tambah amalan yang tidak diajar oleh al-Quran dan Hadis. Bahkan terdapat kitab-kitab agama yang mengajar beberapa amalan bidaah. Ini semua perlu ditolak. Bukan semua kitab betul belaka.

Antaranya ialah amalan solat sunat nisfu Syaaban. Ini tidak ada dalam ajaran Islam. Solat tahajjud di malam tersebut tidak menjadi salah, tetapi meniatkan solat itu sebagai solat nisfu Syaaban adalah bidaah.

Begitu juga amalan solat sunat sebagai hadiah kepada si mati. Siap ada yang ambil upah pula solat untuk si mati. Perkara ini tidak dalam nas dan tidak boleh ditokok tambah. Cukuplah dengan mengamalkan apa yang diajar oleh Nabi seperti istighfar, doa dan bersedekah niat kepada si mati.

Dalam urusan pemerintahan juga begitu. Apabila Islam mensyariatkan pencuri dipotong tangan, tetapi undang-undang menghukum jel. Ini adalah bidaah yang perlu ditolak.

Tambahan penulis:
Terlintas pula di kepala laporan fatwa mufti Penang di dada akhbar dua tiga hari lepas. Dia keluarkan fatwa zikir menari adalah bidaah.

Sememangnya dia terkenal sebagai seorang pejuang bidaah tegar. Tetapi pelik dalam bab jenayah, tidak ada pula fatwa bidaah dengan amalan perundangan negara hari ini. Malah usaha memartabatkan perundangan Islam dikritik pula oleh beliau seolah-olah hukuman hari ini adalah sunnah dan syariat Islam itu bidaah.

Zikir menari itu hanya melibatkan sebahagian orang Islam sahaja dan kesan negatifnya tidak begitu besar. Ia bukan penyakit utama negara tetapi perkara itulah yang dibesar-besarkan. Sedang masalah jenayah adalah isu besar negara yang memberi kesan kepada berbagai sektor.

Apakah sebagai seorang mufti, fatwa-fatwa yang boleh dikeluarkan hanya berkait perkara yang menepati selera pemerintah sahaja?

*Minggu hadapan Ayah Chik akan buka dua kitab baru:
-kitab Beriman Kepada Hari Akhirat menggantikan kitab Beriman Kepada Malaikat yang telah tamat hari ini.
-kitab Fiqh Harakah dari sirah Nabawiyah menggantikan kitab RiyadusShalihin yang relah beberapa kali khatam.

Masjid Rusila
30/10/2015
17 Muharram 1437

(Alang Ibn Shukrimun)

No comments

Powered by Blogger.