Kenapa Ada Pakej Haji Yang Mahal & Selesa ? Kan Patutnya Manusia tu Sama Sahaja.
Kenapa Ada Pakej Haji Yang Mahal & Selesa ? Kan Patutnya Manusia tu Sama Sahaja.
.
Tuan puan yang dimuliakan,
Hari ini sudah 6 Zulhijjah.
2 hari lagi masuk hari tarwiyah, kemudian hari arafah dan seterusnya hari nahar untuk mula menyembelih binatang.
Musim-musim haji ini ada komen-komen pasal haji pakej. Seperti yang kita maklum, haji pakej ini memang kena bayar lebih dari yang pergi ikut muassasah.
Pakej haji pun tidak semua sama. Ada yang pakej biasa-biasa. Lebih kurang sama sahaja dengan yang pergi haji ikut muassasah. Hotel jauh dengan masjid.
Ada yang pakej VVIP. Yang ini memang ada banyak bezalah. Dekat dengan Masjidil Haram. Tapi kalau jenis dah azan baru nak turun hotel tetap tidak dapat solat betul-betul depan Kaabah.
Pakej Haji VVIP ini memang lebih lebih lebih selesa. Sebab ada blog yang share pasal pakej haji VVIP ini dan ada yang bersuara sumbang bila tengok disajikan udang kara (lobster).
Tuan puan yang dimuliakan,
Haji ialah wukuf di Arafah.
Hari Arafah ini merupakan gambaran padang mahsyar.
Dalam hadis yang sahih ada disebut 7 golongan yang mendapat perlindungan Arasy semasa di padang Mahsyar. Sejuk. Selesa.
Pada masa yang sama, ada hadis lain yang menyebut jarak matahari nanti cuma sejengkal dari kepala. Panas. Ada dikalangan kita nanti yang tenggelam dalam peluh sendiri. Peluh ni bau busuk ke wangi ?
Apakah hadis ini berlawanan ? Tidak.
Gambaran ini memang ada di padang Arafah ketika hari wukuf. Perlindungan dari kepanasan itu berbeza-beza. Jemaah haji Malaysia walaupun pergi dengan muassasah masih tetap ada perlindungan dari terik matahari. Walaupun begitu, keadaanya berhimpit dan begitu terasa bahangnya.
Namun ada jemaah haji yang tidak mempunyai perlindungan apa-apa. Bila nak masuk menumpang khemah, ada syeikh muassasah halau mereka dari masuk dalam kawasan khemah. Dalam keadaan panas terik mereka pun terpaksa pergi dengan air minum pun tiada di tangan.
Pakej haji VVIP sudah tentu mendapat perlindungan yang lebih selesa dan berbeza dengan haji muassasah. Makanan lebih sedap. Tidak berhimpit. Bilik air / tandas lebih baik.
Keadaan bilik air / tandas di Arafah untuk muassasah dapat mengingatkan kita kepada keadaan matahari sejengkal dari kepala yang menyebabkan kita ditenggelami peluh sendiri yang busuk itu. Untuk mereka yang mahu sedar dan ambil pengajaran.
Tuan puan yang dimuliakan,
Pengajarannya adalah kalau di dunia kita dah berusaha bersungguh-sungguh cari duit, maka kita dapat beli keselesaan tersebut. Allah telah bukakan sedikit gambaran mahsyar sejak di dunia lagi melalui hari wukuf di Arafah untuk kita ambil pengajaran kepada yang mahu mengambilnya.
Di Mahsyar nanti, nak dapat keselesaan VVIP pun boleh. Maka kita bersamalah berusaha bersungguh-sungguh berbuat kebaikan di dunia ini. Mudah-mudahan kita dapat masuk dari salah satu dari 7 golongan yang dimaksudkan:
(1) Pemimpin yang adil
(2) Orang muda yang tekun beribadah
(3) Individu yang hatinya terikat dengan masjid (istiqamah solat 5 waktu di Masjid)
(4) 2 orang yang saling mencintai kerana Allah, bertemu dan berpisah kerana Allah
(5) Individu yang diajak berzina oleh seseorang yang mempunyai kedudukan, harta, cantik / hensem dan menolaknya kerana takut kepada Allah.
(6) Orang yang bersedekah sehingga tangan kiri tak tahu apa yang tangan kanan beri.
(7) Orang yang ingat Allah, zikir, tahajud sehingga mengeluarkan air mata.
No comments
Post a Comment