TUNTUTAN PALSU: PENGURUS CAWANGAN DIPENJARA 18 BULAN DAN DENDA RM200,000



SEORANG pengurus cawangan sebuah syarikat pengawal keselamatan dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM200,106.20 oleh hakim Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Ipoh, Indra Nehru Savandiah atas kesalahan membuat tuntutan palsu berjumlah RM40,000 sejak tahun 2012.

Agu Salim Saibi, 55, didakwa tiga pertuduhan membuat tuntutan palsu bagi mengelirukan syarikat Cisco (M) Sdn Bhd berjumlah RM40,021.24 melibatkan tuntutan bayaran gaji di atas nama Roslan Abu Hassan bagi tempoh 29 bulan sedangkan Roslan tidak bekerja di syarikat berkenaan.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara Januari 2012 sehingga Mei 2014 di No. 54A, Tingkat 1, Medan Istana, Ipoh, Perak

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi.

Indra turut menetapkan enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Pendakwaan bagi pihak SPRM dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Nurul Wahida Jalaluddin.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

22 September 2016

No comments

Powered by Blogger.