IJTIMAK TARBAWI 5.0: CATATAN PERIBADI SEORANG MAHASISWA

IJTIMAK TARBAWI 5.0: CATATAN PERIBADI SEORANG MAHASISWA

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) atau pernah dikenali sebagai Parti Islam Se-Tanah Melayu pada awal penubuhannya telah lama menegaskan bahawa parti tersebut mempunyai pelbagai fungsi (multi-functional) bertujuan mencerap Islam sebagai satu agama yang tidak kaku dan beku sebaliknya cuba menggarap Islam sebagai agama yang praktikal dan realistik.

Berbeza dengan agama lain yang telah dirombak definisi-definisi asas mereka dan telah diletakkan di tempat yang terlalu suci seperti agama selain Islam, tidak praktikal dalam ruang kehidupan manusia selain daripada segmen ritual untuk mengekalkan nilai spiritual manusia. Itupun mereka gagal mengekalkan nilai spiritual yang dicanang mereka kerana tempias sekularisasi yang pertama kali digerakkan secara efektif oleh Martin Luther King.

PAS sering dicanang oleh pemimpin mereka bahawa PAS merupakan parti yang mampu berfungsi dalam berbagai ruang hidup masyarakat termasuk aspek politik, pendidikan dan PAS juga terus menerus meletakkan diri mereka secara serius sebagai parti yang mempelopori agenda menyeru manusia kembali kepada Allah swt. Seringkali terma-terma yang disisip bersama dengan PAS adalah TARBIYAH, DAKWAH, SIYASAH. Pernah ditegaskan oleh al Marhum al Ustaz Tuan Guru Harun Taib yang pernah menjawat sebagai Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat bahawa PAS bergerak secara beriringan dalam tiga jalur iaitu dakwah, tarbiyah dan siyasah.

PAS membuktikan kepada umum bahawa ia akan terus serius menggalas 3 tugasan utama ini. Dan beberapa hari lepas, PAS telah berjaya mengadakan program Ijtimak Tarbawi 5.0 dengan kehadiran secara keseluruhan mencecah hampir 8000 ke 9000 orang yang merangkumi segenap lapisan masyarakat antaranya anak muda, para mahasiswa, orang tua yang telah mencecah umur emas dan kaum wanita dengan anak-anak kecil mereka.

Apa Yang Menarik Secara Umumnya Dalam Setiap Program PAS?

Pertama, kita semua hairan dan pelik dengan kesungguhan ahli-ahli PAS untuk menyertai program ini. Mereka tidak dibayar wang ringgit untuk datang. Tetapi mereka mesti membayar yuran RM15 untuk sebuah buku teks. Tidak disediakan penginapan yang selesa kerana saya mendapati rata-rata mereka hanya menumpang di masjid, surau, PASTI dan bangunan-bangunan pejabat PAS yang tidak selesa sebagaimana rumah mereka.

Berbeza dengan program parti lain sudah tentu mereka akan mendapat imbuhan tertentu dan penginapan dan pengangkutan yang kondusif telah disediakan pihak penganjur. Peserta ijtimak sering berpanas dan duduk di atas padang sahaja kerana ruang di bawah khemah tidak cukup. Mereka datang dengan senyuman dan semangat. Saya sempat bertegur sapa dengan beberapa pakcik tua. Mereka boleh dianggap sebagai warga veteran dengan pakaian yang ala kadar serta tidak kemas bagi kita. Akan tetapi, mereka tetap datang berbekalkan semangat dan keikhlasan mereka.

Ada yang berkongsi kurma biji kepada saya untuk makan dan semasa slot pengisian yang memerlukan teks perbincangan sempat seorang pakcik uzur bertanya kepada saya berapa ringgit yuran pendaftaran untuk mendapatkan teks nota tersebut. Saya menilai daripada pakaian pakcik tersebut mungkin pakcik tersebut tidak mampu untuk mendaftar.

Mungkin untuk program seterusnya, PAS boleh menyediakan satu 'booth' khusus untuk ahli-ahli mereka yang benar-benar tidak mampu untuk mendaftar agar mereka boleh mendaftar secara percuma. Lebih mengejutkan semasa ijtimak, terdapat satu buku akaun Tabung Haji peserta tercicir. Daripada buku itu, saya dapati pemilik buku tersebut tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh. Kemungkinan beliau melakukan simpanan dari awal lagi untuk beliau gunakan sebagai perbelanjaan menghadiri program. Catatan akhir dalam buku tersebut mempamerkan baki tidak sampai seratus ringgit. Mungkin itulah sahaja simpanan beliau.

Padahal PAS tidak pernah memaksa mana-mana ahli mereka untuk datang. Akan tetapi, pengorbanan dan kesungguhan ahli mereka sangat tinggi dan selayaknya dipuji kerana ketulusan dan kesungguhan mereka tidak ada pada mana-mana organisasi dan pertubuhan lain. Mereka mengeluarkan duit perbelanjaan mereka sendiri untuk apa yang mereka yakin.

Kedua, PAS tidak meninggalkan aspek keilmuan dan nilai intelektual dalam ahli mereka. Parti politik boleh untuk tidak menekankan hal ini dan menumpukan kepada kerja politik semata-mata, memberi penerangan berkait isu politik semasa dan membongkar penyelewengan kuasa pemerintah sahaja. Tetapi tidak bagi PAS. Mereka mahu melahirkan generasi pelapis yang berkualiti. Seingat saya, slot yang betul-betul bertemakan agenda politik adalah slot pada malam kedua iaitu sesi Pidato Pindaan Akta 355 RUU Persendirian kerana pindaan tersebut memerlukan kehendak politik (political will).

Slot ini menjadi slot bukan kegemaran saya kerana saya tidak gemar mendengar ucapan yang tema utamanya ialah sentimen politik. Pada malam itu juga baru saya dapat mendengar ucapan pemimpin rakan parti politik yang memeterai persetujuan dengan PAS iaitu Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, pemimpin parti Ikatan.

Selain slot tersebut, pengisian spiritual seperti solat hajat dan munajat serta sesi qiamullail turut diadakan. Bahkan, malam pertama ijtimak dimulakan dengan sesi kuliah maghrib oleh al Ustaz Tuan Guru Zulkifli Ismail, yang juga merupakan Mudir Pondok Baitul Qurra' bertajuk Ancaman Sekularisme.

Selain itu, Ustaz Zaharudin Muhammad juga turut menjadi speaker dalam satu slot perbincangan Maqasid Syariah yang menjadi slot kegemaran saya. Bagi saya, beliau telah berjaya membawa topik berat ini dengan sangat ilmiah dan santai menelusuri perbincangan sekitar sejarah fiqh dan usul fiqh dan mencerap kitab ar Risalah tulisan Imam Abu Musa Ash'ari (Imam Syafie). Imam Syatibi menjadi orang pertama menggunakan terma Maqasid Syariah di dalam bukunya al Muwafaqat dan metod Imam Abu Hanifah dibukukan oleh Imam as Shaibani.

Apa yang saya boleh rumuskan ialah ilmu Maqasid Syariah merupakan satu cabang ilmu di bawah ruang perbincangan al Istihsan dan merupakan satu ilmu nazariyyat sebagai penjelasan secara generalisasi kepada objektif agama Islam yang dikonklusikan melalui batang tubuh syariah.

Maqasid Syariah bersifat tidak independen kerana ia wujud adalah berasaskan nas-nas al Quran, hadith dan praktikal para sahabat Nabi Muhammad saw. Sebelum program berakhir, slot kuliah tafsir disampaikan oleh Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan perbincangan tafsir terarah kepada surah al Kahfi bermula ayat 7. Tuan Guru membawa perbincangan tersebut lebih berfokus kepada sejarah dan penerangan bahasa Arab sesuai dengan kepakaran beliau dalam bidang sejarah dan bahasa.

Bagi saya, kalau benar PAS betul-betul menggunakan agama untuk politik, sesi perbincangan agama dan penyampaian ilmu Islam tidak perlu dilaksanakan mengikut disiplin ilmu yang telah digariskan oleh Islam. Namun sebaliknya, menurut pemerhatian saya, PAS sejak dahulu tidak mengeksploitasi agama untuk kepentingan mereka. Bahkan, mereka cuba untuk menyampaikan Islam dalam bentuk yang mudah difahami masyarakat dan pada masa yang sama, mereka mampu mengekalkan nilai dan warna asal disiplin ilmu.

Tidak disampaikan dengan sentimen, membabi-buta serta penyampaian yang simplistik dan secara pukal pukul rata. Dan PAS telah melalui pelbagai cabaran termasuklah diletakkan di bawah Ordinan Darurat, pemimpin mereka dipenjara dan ada yang dibunuh seperti di dalam peristiwa Memali, dan mereka sampai hari ini dicerca dan dihina sebagai golongan yang 'barbaric' ketinggalan zaman.

Kalau betul PAS lebih mementingkan agenda politiknya, sepatutnya PAS sudah lama meninggalkan agama dalam jalan politiknya kerana agama sebenarnya dilihat akan mendatangkan kesusahan dan melambatkan mereka. Tapi, PAS mendidik ahli mereka agar menjadi ahli akhirat yang sentiada berpegang kepada redha Allah dan janji Tuhan mereka, "Di sebalik kesusahan akan ada kesenangan." (94;6).

Ketiga, PAS mempunyai kekuatan pemimpin mereka sangat menjaga hubungan mereka dengan Allah swt. Sejak awal penubuhan PAS lagi, PAS mampu mementaskan pemimpin yang sangat berkualiti dari sudut spiritual dan rohani. Kebanyakan daripada mereka merupakan ulama' dan profesional yang menjaga batas-batas agama dalam urusan mereka. Hampir 2/3 daripada bilangan pemimpin PAS hari ini merupakan profesional yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama secara rasmi dan majoriti mereka mempunyai anugerah doktorat dalam bidang masing-masing.

Nilai spiritual mereka diterjemahkan dalam arena politik dan sampai hari ini, musuh politik PAS tidak mampu mengheret PAS dengan tuduhan rasuah dan penyelewengan kuasa. Hal ini juga dibuktikan melalui anugerah lima bintang ketelusan, akauntabiliti dan integriti oleh Jabatan Audit Negara kepada kerajaan negeri Kelantan walaupun dihimpit kiri dan kanan dengan tuduhan liar pecah amanah daripada musuh mereka yang prejudis dan bias sejak pentadbiran al Marhum Dato' Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Selain itu, para pemimpin PAS juga dididik agar berucap dengan apa yang berpandukan ajaran Islam termasuk menyertakan ayat al Quran di awal ucapan dan sering diselit dengan hadith Nabi sewaktu menghidangkan kepada audiens perbincangan ulama' terdahulu berkait sesuatu hal. Tidak menghamburkan kata-kata kesat dan tidak beradab.

Agama menjadi kiblat dan panduan utama PAS dalam urusan mereka. Seperti dalam pengisian ijtimak, setakat ini PAS tidak gagal mengetengahkan pemimpin yang jiwa mereka mempunyai Allah swt. Ucapan mereka tidak sunyi dengan ilmu agama dan ayat Allah swt. Ucapan mereka basah dengan disambut pendengar bersama laungan takbir bertujuan membesarkan Allah swt yang Maha Agung secara tidak langsung menjadi terjemahan semangat pendengar yang tidak surut.

Saya akhiri catatan saya dengan rangkap lagu rasmi PAS.

Selamatlah Parti Islam melangkah,
Memimpin ummah di medan siasah,
Berpedomankan al Quran dan Sunnah,
Suburlah hidupnya dan pasti berbuah
Suburlah hidupnya dan pasti berbuah
Suburlah hidupnya dan pasti berbuah..

Akhukum fil Islam,
Tuan Badiu'zzaman b Tuan Halizan
Pelajar Jurusan Undang-undang

No comments

Powered by Blogger.