News Update :

Ustaz Hashim Jasin dilantik Mursyidul Am PAS

October 9, 2016



Ustaz Hashim Jasin dilantik Mursyidul Am PAS

AZIZ MUDA | 09 Oktober 2016.

KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulamak PAS menerusi mesyuarat yang diadakan di Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, di sini, hari ini, sebulat suara memilih dan melantik Tuan Guru Hashim Jasin sebagai Mursyidul Am PAS yang baharu bagi menggantikan Allahyarham Tuan Guru Datuk Dr Haron Din.

Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Ustaz Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, menerusi mesyuarat tersebut, Ustaz Datuk Ahmad Yakob dipersetujui sebulat suara kekal sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS.

Menurutnya, faktor yang menyebabkan Datuk Ahmad Yakob dikekalkan sebagai Timbalan Murysidul Am, walaupun beliau layak untuk memegang jawatan Mursyidul Am PAS, disebabkan beliau sentiasa sibuk dengan tugas-tugasnya yang lain sebagai Menteri Besar Kelantan.

Katanya, menerusi mesyuarat tersebut, Ustaz Ahmad sendiri merayu kepada Majlis Syura supaya memilih dan melantik orang lain yang berkelayakan sebagai Mursyidul Am PAS.

"Kita pilih dan lantik Tuan Guru Haji Hashim Jasin kerana dia yang paling tua dalam Majlis Syura. Selain itu, beliau mempunyai ilmu yang mantap, di samping pandangan politiknya yang jauh dan mantap," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.

Atas faktor itulah katanya, Tuan Guru Hashim Jasin dipilih dan dilantik oleh Majlis Syura sebagai Musyidul Am PAS dan perlantikan itu juga turut dicadangkan sendiri oleh Ustaz DatukAhmad Yakob.

Beliau menjelaskan, mesyuarat tersebut berlangsung pada jam 4.00 petang, dengan dipengerusikan oleh Timbalan Mursyidul Am PAS, Ustaz Datuk Ahmad Yakob selaku Pemangku Mursyidul Am pada hari itu, setelah Allahyarham Tuan Guru Datuk Dr Haron Din kembali ke rahmatullah pada 16 September lalu, jam 10.10 pagi waktu Malaysia di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.

- HARAKAHDAILY 9/10/2016

Artikel berkaitan POLITIK

Share this Article on :

0 comments:

 

© Copyright Kerabu Bersuara 2007 -2013 | Design by Kerabu Bersuara | Published by Kerabu Bersuara Group | Powered by Blogger.com.