Tiada Lesen Pembalakan di Kawasan Air Terjun Dakota : Pemuda PAS Kelantan Akan Segera Buat Laporan



Tiada Lesen Pembalakan di Kawasan Air Terjun Dakota : Pemuda PAS Kelantan Akan Segera Buat Laporan

Oleh : Nazman bin Che Iberahim, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan merasa amat terkilan dan sedih dengan laporan-laporan di media massa berkaitan kemusnahan satu kawasan air terjun yang disebut sebagai Air Terjun Dakota yang terletak di lokasi Hutan Simpan Balah, Kompartmen 121 berdekatan dengan Tanah Kerajaan di Gunung Chamah.

2. Mengikut maklumat awalan kami, TIADA LESEN PEMBALAKAN yang berkuatkuasa berdekatan kawasan air terjun ini. Perkara ini jelas mengundang kemarahan dan kesedihan yang teramat bagi anak anak negeri Kelantan yang cintakan alam sekitar serta flora dan fauna.

3. Secara asasnya, Air Terjun Dakota tersebut didapati terjejas teruk akibat banjir besar yang berlaku pada akhir tahun 2014 dan pada awal tahun 2015 yang lalu. Runtuhan tanah dan batu batuan besar boleh dilihat dengan jelas di kawasan ini sejurus selepas air bah besar surut. Tunggul dan batang kayu serta sampah sarap juga dilihat hanyut ke kawasan ini dengan saratnya. Namun gambar gambar terbaru kawasan ini, sekiranya benar ia dirakamkan di kawasan Air Terjun Dakota tersebut, maka kita merasa cukup sedih dengan kemusnahan dan kerosakan kawasan yang indah ini.

4. Kendatipun begitu, Pemuda PAS Kelantan menyarankan agar semua pihak tidak membuat tuduhan melulu bagi mengaitkan kejadian ini kononnya berpunca daripada kesalahan Kerajaan Negeri sedangkan siasatan wajib dijalankan terlebih dahulu oleh pihak yang berautoriti. Dan dalam hal ini ia merujuk kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan bagi mengesahkan punca-punca kejadian dan sebagainya. Pihak yang berautoriti harus mengesahkannya terlebih dahulu sebelum fitnah untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri disebar dan diviral sedemikian rupa.

5. Sebagai rekod, pada tahun 2013 terdapat lesen yang dikeluarkan sewaktu kawasan Gunung Chamah ini berstatus Tanah Kerajaan. Namun, setelah Kerajaan Negeri memutuskan bahawa kawasan Gunung Chamah ini wajib diwartakan semula sebagai Hutan Simpan Kekal, maka SEMUA lesen berhampiran dengan air terjun ini dan juga kawasan Gunung Chamah telah DIBATALKAN DENGAN SERTA MERTA. Inilah dia antara komitmen dan usaha keras oleh Kerajaan Negeri dalam memelihara dan memulihara alam sekitar di negeri ini.

6. Dan untuk makluman juga, bangkai kapal terbang di kawasan ini telah sebahagian besarnya hanyut akibat banjir besar dahulu, bukannya sengaja ditimbus seperti dakwaan sesetengah pihak. Beberapa bahagian yang hancur sempat dikutip semula dan dikumpulkan selepas bah surut dahulu.

7. Justeru, Pemuda PAS Kelantan akan segera melaporkan kes ini kepada pihak Polis dan juga merujuk kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan agar kes ini sekiranya benar, maka pesalah harus segera di bawa ke muka pengadilan, Insyaallah.

No comments

Powered by Blogger.