Pulang dan undi PAS, pesan Nik Aziz pada anak-anak Kelantan

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan anak-anak Kelantan yang berada di perantauan supaya pulang pada hari mengundi pada 8 Mac nanti untuk menunaikan kewajiban memilih pemerintah yang menjamin keselesaan dan keamanan rakyat. "Bila mengundi kena balik, nak balik tak kira siapa yang suruh balik sama ada PAS ke Umno ke tapi yang penting mesti balik dan pangkah PAS," katanya ketika berucap dalam program 'Temu mata anak Kelate 2008' anjuran persatuan anak-anak Kelantan (Perakan) di dewan utama Masjid Wilayah, Jalan Duta, di sini, petang tadi.
Dalam ucapan itu beliau turut membidas tindakan pimpinan Umno yang besungguh-sungguh mahu merawat Kelantan.
Beliau berkata, apa penyakit yang telah menyerang rakyat Kelantan sehingga seluruh pimpinan Umno berusaha bersungguh-sungguh mahu merawat Kelantan.
Katanya, kalau rakyat Kelantan diserang sakit, kulit, jantung atau sakit fizikal sudah lama hospital membuat rawatan tersebut.
Menurut beliau jika pimpinan Umno mahu merawat penyakit fizikal kerajaan Kelantan sudah lama menyediakan pelbagai kemudahan di hospital dengan kepakaran doktor untuk mengubati penyakit.
Sebaliknya tambah beliau, jika penyakit rohani tidak ada manusia yang boleh mengubatinya kecuali dengan hikmah al-Quran.
Beliau melahirkan kebimbangan dengan kehidupan manusia yang semakin hari terdedah dengan pelbagai gejala sosial.
Katanya, rohani manusia sekarang sedang sakit sebab itu timbul masalah rogol, penculikan kanak-kanak, dadah dan sebagainya.
"Hendak merawat penyakit manusia, kami tahu nak merawatnya. Orang Umno yang sakit bukan orang PAS. Dia sakit kulit hendak jual ubat kulit, mana boleh," katanya.
Beliau turut mengingatkan seluruh ahli Perakan bahawa Allah kempen kepada umat-Nya supaya beragama untuk memudahkan menguruskan hawa nafsu.
Ini kerana katanya, nafsu itu menjadi punca melakukan kejahatan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Tambah beliau, orang yang cerdik adalah orang yang memaksa hidupnya untuk menghalang nafsu jahat daripada menguasai kehidupan bagi menjamin kebahagiaan hidup selepas mati. - mks.

No comments

Powered by Blogger.