KEADILAN beri Najib seminggu siasat skandal balak RM400 juta


Apr 9 2012 / Keadilan Daily
(Oleh: Mohd Martin Kahar)

KUALA LUMPUR 9 April: KEADILAN memberikan masa seminggu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengambil tindakan terhadap skandal balak melibatkan penyelewengan lebih RM400 juta.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli memberi amaran itu hari ini susulan pendedahan Sarawak Report yang mendakwa Menteri Luar, Anifah Aman menerima lesen balak yang lumayan yang diberikan adiknya, Ketua Menteri Sabah, Musa Aman.

Menurut Rafizi, KEADILAN menubuhkan satu pasukan khas bagi mengumpul maklumat dan dokumen berhubung skandal itu yang turut melibatkan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail - yang enggan mengheret Anifah dan Musa Aman ke muka pengadilan berhubung kes itu.

Pasukan khas itu, menurutnya, diketuai peguam Darell Leiking yang juga merupakan Timbalan Setiausaha Agung dan Ketua Cabang Penampang, Sabah.

“Beliau (Darell) menemu ramah ramai saksi yang terbabit dan sedang mengumpulkan dokumen penuh setakat ini. Kami boleh dedahkan kepada media bahawa dokumen itu mempunyai beribu-ribu muka surat, termasuk salinan penyata bank yang menunjukkan pelbagai urusniaga dan pemindahan berlaku,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Menurut Rafizi, KEADILAN yakin bukti-bukti yang dikumpulkan itu mampu mensabitkan ketiga-tiga tokoh dalam skandal yang jumlahnya lebih besar daripada penyelewengan syarikat Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang dimiliki keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Beliau berkata, bukti-bukti itu akan didedahkan secara berperingkat sehinggalah kesemua yang bertanggungjawab diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Beberapa tahun lalu Sarawak Report melaporkan Anifah Aman merupakan pewaris rahsia lesen pembalakan lumayan yang mengeksploitasi hutan simpan di Sabah. Konsesi itu diperolehi dari saudaranya sendiri, Musa Aman.

Sarawak Report turut mendedahkan dokumen-dokumen berkenaan menunjukkan penyiasat telah membuat kesimpulan bahawa Ketua Menteri Sabah melakukan rasuah dengan menganugerahkan lesen pembalakan di negeri Sabah bernilai puluhan juta ringgit kepada saudaranya sendiri.

Namun, siasatan itu disekat pada peringkat tertinggi dan segala penemuan dalam siasatan itu dirahsiakan, sehingga kini.

Jika anda suka berita ini, sila ‘Like’ laman Facebook KeadilanDaily.

Anda juga boleh ‘follow’ Twitter KeadilanDaily.

No comments

Powered by Blogger.