Najib : Jawatankuasa Khas ditubuh kaji isu bayaran tunai daripada hasil petroleum


KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Jawatankuasa Khas itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai oleh pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.

"Jawatankuasa Khas ini akan membuat satu kajian menyeluruh dalam tempoh masa enam bulan dari tarikh penubuhannya dengan mengambil kira semua aspek tuntutan dan akan membuat syor yang sesuai kepada kerajaan persekutuan," kata Najib dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata Jawatankuasa Khas itu akan membuat kajian berhubung mengenal pasti negeri-negeri yang layak menerima bayaran tunai daripada hasil petroleum di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

"Jawatankuasa Khas itu juga akan menentukan kaedah serta jumlah pembayaran bayaran tunai tersebut kepada negeri-negeri berkenaan," katanya sambil menambah bahawa semenjak enam bulan lepas, beberapa perbincangan dalaman dibuat berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum dan sehubungan itu kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas tersebut.

Najib berkata dengan penubuhan Jawatankuasa Khas itu, kerajaan persekutuan berharap isu-isu yang dibangkitkan oleh kerajaan-kerajaan negeri di Pantai Timur Semenanjung akan dapat diselesaikan secara adil, telus dan saksama.

Beliau berkata berdasarkan Perjanjian di antara kerajaan negeri Kelantan dengan Petronas mengenai pembayaran mengikut Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroliam 1974 yang dibuat pada 9 Mei 1975, Petronas hendaklah membayar wang tunai kepada kerajaan negeri secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan lima peratus dari nilai petroleum yang didapati dan diperoleh di Kelantan.

"Kerajaan Persekutuan mengambil pendirian bahawa dari segi perundangan, Kelantan hanya mempunyai hak untuk menuntut bayaran tunai daripada hasil petroleum yang dihasilkan dalam perairan negeri tersebut iaitu kawasan yang terletak tidak melebihi tiga batu nautika dari pesisir pantai negeri.

"Pada masa ini, tiada pengeluaran petroleum dilakukan dalam kawasan perairan negeri Kelantan. Oleh itu, dari segi perundangan, kerajaan negeri Kelantan tidak layak untuk menuntut bayaran tunai daripada hasil petroleum," katanya.

Najib berkata kerajaan persekutuan sentiasa meletakkan keutamaan kepada kehendak rakyat dengan membuka pintu rundingan tetapi pada waktu yang sama tidak boleh membelakangkan perundangan negara.

Najib berkata walaupun peruntukan perundangan ini adalah jelas, namun pada November 2009, beliau mengumumkan di Dewan Rakyat mengenai pemberian bayaran tunai kepada Kelantan meskipun pengeluaran petroleum buat masa ini terletak di luar perairan negeri tersebut.

"Keputusan ini dibuat berdasarkan keperluan untuk terus membangunkan negeri Kelantan dan meningkatkan kesejahteraan rakyatnya.

Peruntukan tersebut telah disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan," katanya.

Beliau berkata sebahagian besar peruntukan itu adalah untuk bantuan pelajar sekolah dan pelajar daripada Kelantan yang memasuki tahun pertama Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). -Bernama

No comments

Powered by Blogger.