Pakatan Rakyat Sebenarnya “Malaikat Yang Diketahui”

SHAH ALAM, 25 AUG: Prestasi Pakatan Rakyat mentadbir empat buah negeri dengan baik  membuktikan yang ianya layak diberi mandat memerintah negara.

Dalam menyangkal dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed, pemimpin Pakatan dari Pas, DAP dan PKR berkata prestasi dan pencapaian Pakatan sudah diketahui manakala keburukan Umno-BN juga disedari umum.

Kata mereka, Dr Mahathir secara tidak langsung mengakui bahawa pentadbiran Umno-BN penuh dengan kejahatan manakala Pakatan dilihat sebagai penyelamat kepada kepincangan Umno-BN.

Mereka juga berkata melalui pentabirannya di Kelantan, Selangor, Penang dan Kedah, Pakatan sudah membuktikan yang ia mengamal dasar dan pendekatan yang lain dari Umno-BN di mana pembangkang dan rakyat diberikan hak bersuara.

MP Puchong, Gobind Singh Deo berkata, sekiranya Pakatan mentadbir Putrajaya, Ahli Parlimen dan Adun Umno-BN tetap diberikan peluang menyuarakan pendapat mereka demi kebaikan rakyat.

“Selangor yang ditadbir Pakatan sebagai contoh, memberikan peluang kepada setiap Adun Umno-BN memberikan pendapat dan pandangan mereka di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Mereka juga diberikan peluang menganggotai jawatankuasa khas DUN seperti Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan (SELCAT) serta berpeluang menjadi ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Di dalam satu kenyataan di blognya chedet.com Dr Mahathir menyeru rakyat Malaysia agar tidak memberi “mandat percubaan” kepada Pakatan walaupun untuk memerintah pada satu penggal.

Dr Mahathir juga berkata jika Pakatan berjaya menguasai Putrajaya, ia akan cuba sedaya upaya untuk mengekalkan kuasanya dengan apa cara sekalipun.

Dalam kenyataannya, Mahathir berkata :

“Rakyat hanya perlu mendesak BN untuk melakukan perubahan yang rakyat mahukan. Syaitan yang dikenali adalah lebih selamat dari malaikat yang tidak dikenali.”

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor, Khalid Samad berkata Pakatan tidak akan menjadi seperti Umno-BN jika mentadbir Putrajaya kelak.

“Pakatan mempunyai dasar menerusi Buku Jingga, ianya adalah untuk kepentingan rakyat.

“Umno-BN juga diberikan ruang di media massa untuk memberikan pandangan berkaitan dengan rakyat,” katanya yang juga MP Shah Alam.

Manakala Naib Presiden PKR Chua Tian Chang berkata kenyataan Dr Mahathir itu menunjukkan ketakutan Umno-BN dengan kehilangan kuasa pada pilihanraya umum akan datang.

“Kenyataan yang dibuat Mahathir mencerminkan Umno-BN kini semakin takut kehilangan kuasa dan kekayaan.

“Malah mereka takut kegiatan pembongkaran salah guna kuasa akan diketahui rakyat,” kata MP Batu itu yang juga dikenali sebagai  Tian Chua.

No comments

Powered by Blogger.