Tema Hari Kebangsaan ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ Seru Rakyat Bersatu

SHAH ALAM 3 OGOS: Tema Hari Kebangsaan ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ yang diumumkan Pakatan Rakyat(PR) merupakan sebuah tema yang mengajak semua rakyat bersatu dalam sebuah negara merdeka.

Demikian menurut Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang medianya di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya semalam.

Selain itu beliau turut menganggap pengumuman tema Hari Kebangsaan oleh PR itu sebagai satu cabaran kepada pemimpin negara yang menggunakan pendekatan kepartisan mereka.

“Bagaimana kamu katakan moto kami yang menggesa ke arah satu negara, satu jiwa sebagai memecahbelahkan?

“Ini cabaran kepada pimpinan Umno-BN untuk mempertimbangkan kembali pendekatan partisan mereka,” kata beliau.

Beliau juga berkata, bahawa beliau bersedia menasihati negeri di bawah pentadbiran PR agar menggunakan tema baru sekiranya kerajaan pusat memindanya.

Selain itu, Timbalan Presiden, Mohammad Sabu pula memberitahu TVS bahawa tema yang diumumkan oleh pengerusi bersama BERSIH, Datuk A Samad Said sebagai tema yang mampu dijiwai oleh rakyat negara ini.

“Saya dapat lihat, slogan baru yang diperkenalkan ini memiliki jiwa seperti mana usia 55 tahun kemerdekaan.

“Ia gambaran jelas menunjukan kemahuan rakyat kita yang mahu kekal bersama antara satu sama lain.

“Jauh lebih baik, slogan ini tak mencerminkan kempen mana-mana parti politik, tetapi kempen cintai negara,” ujar beliau ketika dihubungi.

Sementara itu, Pengarah Publisiti DAP, Tony Pua pula mengiktiraf slogan yang diperkenalkan Pakatan Rakyat itu berbanding ‘Janji Ditepati’ yang dimumkan sebelum ini.

Bagaimanapun slogan tersebut mendapat reaksi kecaman dari pelbagai pihak yang mendakwa slogan tersebut juga merupakan slogan kempen pilihan raya BN.

“Tema yang diberikan ini baru betul menggambarkan sambutan Hari Kemerdekaan.

“Tema ‘Janji Ditepati’ bermakna bukanlah sambut Hari Kebangsaan tetapi BN mahu rakyat menyambut Hari BN,” ujar Tony.

No comments

Powered by Blogger.