Sokongan Sabah kepada Najib kukuh, kata Umno

KOTA KINABALU – Sokongan rakyat Sabah terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak sedikitpun terjejas sekalipun dua anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) melompat menyertai Pakatan Rakyat baru-baru ini, demikian tegas Timbalan Pengerusi Umno Negeri, Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini.

Beliau yakin majoriti rakyat akan terus menyokong kepimpinan Najib dalam menerajui negara untuk mencapai kejayaan lebih besar.

MP Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin dan MP Tuaran, Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing mengikrarkan sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat bulan lepas, untuk pilihan raya umum akan datang.

Bumburing dengan rasminya keluar BN tetapi Lajim kekal menjadi ahli Umno tetapi meletakkan jawatan sebagai anggota majlis tertinggi Umno, ketua Umno Bahagian Beaufort serta pengerusi BN Beaufort.

Sokongan kepada Najib kini terus meningkat, terutama di kalangan rakyat Sabah "kerana keikhlasan beliau mencari jalan menyelesaikan masalah termasuk membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang haram di negeri ini," kata Salleh, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri.

“Program transformasi Najib telah memberi manfaat kepada rakyat. Saya percaya rakyat Sabah tidak akan menyokong ahli politik yang semata-mata berusaha untuk memenuhi impian politik peribadi.

“Rakyat Sabah ingin terus menikmat kestabilan dan kemajuan, dan mereka yakin terhadap kepimpinan Perdana Menteri," kata Salleh kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah mengenai cabaran-cabaran pembangunan Sabah bersempena program anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas di 1Borneo, dekat sini hari ini.

Jumaat lepas, Perdana Menteri berkata beliau akan mengumumkan butir-butir RCI yang begitu ditunggu-tunggu, semasa lawatan beliau ke Sabah esok.

Salleh berkata kekuatan BN di Sabah juga terus kukuh di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman walaupun selepas tindakan Lajim dan Bumburing itu. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.