Anugerah 'Datuk' kepada pengarah SPRM Pahang ditangguh



Hafiz Yatim

EKSKLUSIF Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 'menggelegak' berhubung anugerah darjah kebesaran yang membawa gelaran 'Datuk' kepada pengarah SPRM Pahang, walaupun beliau sudah dua kali dikenakan tindakan kerana dakwaan salahlaku dan kini menghadapi siasatan ketiga.

Beliau dijadual menerima anugerah 'Darjah Indera Mahkota Pahang' yang membawa gelaran 'Datuk', kata satu sumber yang ingin tahu mengapa beliau boleh terlepas proses saringan yang dibuat ke atas mereka yang dicalonkan untuk menerima anugerah darjah kebesaran.

Bagaimanapun, berikutan pertanyaan berterusan daripada Malaysiakini sejak dua hari lepas, portal berita ini telah dimaklumkan lewat semalam bahawa anugerah tersebut telah "ditangguhkan".

Menurut sumber tersebut, SPRM ditugaskan untuk menyaring semua mereka yang dicalonkan menerima darjah kebesaran di peringkat negeri dan persekutuan bagi memastikan mereka tidak terlibat - atau disyaki - melakukan salahlaku termasuk rasuah dan kegiatan jenayah.

Pada akhir tahun 1990-an, sebagai contohnya - Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebelum ia dikenali sebagai SPRM sekarang - telah mengenal pasti dua individu yang sedang disiasat berhubung kes rasuah, semasa raptai majlis istiadat pengurniaan darjah kebesaran di Melaka.

"Jadi bagaimana nama Moh Samsudin boleh terlepas saringan tersebut sedangkan namanya terdapat dalam senarai yang disiarkan dalam akhbar pada 24 Oktober dan sekali lagi pada Sabtu lepas?" kata sumber tersebut.

Apatah lagi, calon tersebut adalah dari kalangan pegawai SPRM sendiri.

Ketika dihubungi semalam, Moh Samsudin hanya berkata: "Memandangkan aduan telah dibuat kepada anda (Malaysiakini), anda perlu menyiasatnya (sendiri)."

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed, juga ketika dihubungi, telah mengarahkan Timbalan Pesuruhjaya 1, Datuk Mohd Shukri Abdull (kanan) untuk memberi respon.

Shukri berkata Moh Samsudin tidak dimasukkan dalam proses saringan kerana pencalonan untuk anugerah itu datang terus dari istana Pahang.

Bagaimanapun, satu lagi sumber yang biasa dengan proses saringan tersebut menegaskan bahawa SPRM mempunyai kuasa untuk menyaring calon-calon dan menyekat pemberian anugerah walaupun dalam keadaan sedemikian.

Pada kira-kira jam 6.30 semalam, Shukri menghantar SMS kepada Malaysiakini menyatakan bahawa beliau telah dimaklumkan bahawa kerajaan Pahang telah menangguhkan anugerah darjah kebesaran itu kepada individu berkenaan.

Satu daripada tiga tuduhan salahlaku dibuat terhadapnya ialah tiga tahun lalu ketika menjadi pengarah SPRM Selangor, selepas beliau memberikan 'nasihat' kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum merakam kenyataannya berhubung kontroversi berkaitan penggunaan kereta rasminya.

Satu sumber yang biasa dengan kes itu berkata Moh Samsudin tidak diberi kuasa untuk menawarkan 'nasihat' atau merakam kenyataan itu.

"Dia boleh telah dipecat, tetapi telah diberi amaran keras dan dipindahkan untuk menjadi pengarah (SPRM) Pahang.

"Tangga gajinya telah diturunkan daripada gred khas kepada D54, dan gajinya dan promosinya telah digantung sehingga 2014," kata sumber itu.

Tuduhan salahlaku ketiga sedang disiasat, tetapi butiran mengenainya tidak didedahkan sementara menunggu keputusan siasatan.

No comments

Powered by Blogger.