Keluarga khuatir Ahmad di bawa menghadap Sultan Johor


Oleh Clara Chooi


KUALA LUMPUR, 4 Nov — Keluarga Ahmad Abd Jalil, remaja yang ditahan Jumaat lalu oleh pihak polis kerana didakwa menghina Sultan Johor, merayu agar anak mereka tidak di bawa kepada pihak istana untuk permohonan maaf.

Keluarga remaja berkenaan khuatir Ahmad akan di bawa menghadap Sultan untuk permohonan maaf atas kenyataannya, menyuarakan kerisauan terhadap keselamatan anak mereka yang berusi 27 tahun itu jika di bawa ke istana.

Menurut SMS daripada kakak Ahmad kepada salah seorang peguam mereka malam tadi, polis berkata kepada ibunya “jika istana panggil, mereka (polis) akan membawa Ahmad menghadap Sultan”.

“Jika mereka mahu permohonan maaf, bawa dia ke mahkamah,” kata bapa Ahmad, Abd Jalil Abd Rahman, kepada The Malaysian Insider hari ini.

“Bila jejakkan kaki ke kawasan orang lain, macam-macam perkara boleh berlaku dan kita tidak boleh menyalahkan sesiapa.

“Kita perlu menghormati proses perundangan. Jika mereka mahu bawa anak saya ke mahkamah, silakan.

“Jangan paksa dia ke istana kerana kita tiada kuasa mengawalnya,” tambahnya. “Kami orang Pulau Pinang. Kami tidak biasa mempunyai Sultan dan telah mendengar banyak kejadian yang ‘menakutkan’, ini hak kami.”

Pesara kerajaan berusia 60 tahun itu berkata pihak polis setakat ini enggan memberikan kebenaran untuk keluarganya melawat Ahmad, yang telah ditahan di Kuala Lumpur pada jam 8 malam Jumaat lalu, dan dipindahkan kepada polis Johor malam sama.

Tengahari tadi, Abdul Jalil berkata beliau akan bertemu dengan pegawai penyiasat yang bertanggungjawab menyiasat kes Ahmad.

“Kami mengharapkan akan ada perkembangan positif ... kami hanya mahu melihat anak kami,” katanya, dan menambah imej polis akan kelihatan teruk sekiranya melarang beliau bertemu anaknya.

Dalam SMS kepada The Malaysian Insider, abang Ahmad turut menyokong kenyataan bapanya yang mana remaja itu perlu dijauhkan daripada kawasan istana.

“Adalah salah untuk membawanya keluar dari balai atau lokap ... kami akan meminta maaf tetapi melalui prosedur yang betul. Ahmad akan membuat permohonan maaf secara rasmi di mahkamah.

“Ataupun, kami merasakan sistem ini digunakan sebagai ‘mode of ugutan’,” katanya melalui khidmat pesanan ringkas.

Ahmad disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, dipercayai mengeluarkan kenyataan menghasut terhadap Sultan Johor di laman Facebook miliknya.

Dia ditahan di pejabatnya di Cheras semalam oleh pihak polis sebelum di bawa ke Balai Polis Wangsa Maju untuk sesi soal jawab.

Menurut peguamnya, Mohd Zakwan Adenan, remaja itu pada mulanya tidak dinyatakan kesalahannya, kecuali didakwa disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.

Seksyen 4 (1) memperuntukkan mana-mana pihak mengeluarkan, menerbitkan, atau mencetak aman-mana perkataan berunsur hasutan, jika disabitkan kesalahan, untuk kesalahan pertama kali didenda tidak lebih RM5,000, atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya.

Selepas disoal siasat, polis menyerbu kediaman keluarganya di Damansara Damai sebelum membawa remaja terbabit ke Johor.

Jam 3 petang semalam Ahmad di bawa ke Majistret Johor oleh pihak polis untuk mendapat tempoh tiga hari arahan reman.

No comments

Powered by Blogger.