Umno: Kenyataan Hadi pelik, boleh makan diri
NOR AZURA MD AMIN
PONTIAN - Kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedia bertanding di Pekan, yang kini disandang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) disifatkan sebagai "pelik".
Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, pihaknya melihat perkara tersebut sebagai pelik memandangkan Parlimen Pekan bukan kubu kuat Pas, DAP mahupun PKR.
Ketiga-tiga parti itu komponen Pakatan Rakyat (PR).
Beliau juga menasihatkan agar Hadi, kini Ahli Parlimen Marang, Terengganu, tidak mengambil tindakan yang boleh 'makan diri' sendiri.
"Adakah tidak ada tokoh (Pas) di kawasan Pekan sehingga perlu mengimport calon luar atau payung terjun.
"Jelas kali, mereka umpama terdesak sehingga terpaksa meletakkan pemimpin utama parti tersebut bagi meraih undi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian jalan baru Parit Betak Darat, Benut, Pontian yang menelan kos RM532,000 di sini, pagi ini.
Ahli Parlimen Pontian ini menegaskan, walau apa pun tindakan yang diambil oleh pembangkang, Umno yakin ia tidak sedikit pun menggoyah keyakinan rakyat kepada kepimpinan yang sedia ada.
"Biarlah apa pun yang mereka (pembangkang) mahu lakukan, itu hak mereka, dan kita (Umno) menghormatinya.
"Umno yakin PM akan mempertahankan kedudukannya kerana pada (Pilihan Raya Umum) PRU lepas, PM telah mendapatkan majoriti yang tertinggi di situ," katanya yang juga Ketua Publisiti dan Penerangan Barisan Nasional (BN).
Beliau turut mengingatkan agar Hadi yang dilihat sebagai payung terjun ini benar-benar yakin dengan keputusannya kerana melihat ia boleh memakan diri sendiri kelak.
"Saya melihat seperti payung terjun, bukan tidak pernah berlaku... payung terjun yang tidak dapat dibuka pada saat saat akhir (terjunan)," katanya.
Ketika ditanya sama ada Umno akan menggunakan taktik yang sama seperti yang oleh diumumkan oleh Hadi, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, parti itu sudah mempunyai calon-calon yang berwibawa.
"Umno mempunyai strategi yang tersendiri, dan mempunyai mempunyai calon-calon yang berwibawa di setiap (bahagian) Parlimen dan Dun.
"Justeru tidak timbul payung terjun dalam Umno," katanya.
No comments
Post a Comment