Terkini! Video Tangkapan Dr Badrulamin Ditahan Oleh JAIS Tersebar. Anda Saksikan!


Badrulamin persoal penahanan JAIS


Aidila Razak

Ahli majlis pimpinan pusat PKR Badrulamin Bahron mempersoalkan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor yang menahannya dalam serbuan ke atas majlis sambutan ulangtahun pengasas Al-Arqam di Rawang pada malam tadi.

Walhal, beliau hanyalah tetamu pada majlis sambutan tersebut – yang menurutnya bukan satu usaha untuk menghidupkan semula gerakan Al-Arqam seperti dilaporkan meluas dalam akhbar hari ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Badrulamin berkata beliau juga tidak ada kena mengena dengan Al-Arqam mahupun Global Ikhwan Sdn Bhd – entiti perniagaan yang ditubuhkan oleh bekas pengikut Al-Arqam selepas pergerakan itu diharamkan pada 1994.

Katanya, beliau hadir bersama anggota keluarganya untuk makan dan menikmati hiburan nasyid serta pantomim pada majlis berkenaan.

"Tiba-tiba JAIS datang, ambil tetamu dan ahli jawatankuasa sekali. Jika nak siasat bangunkan Arqam, tamu tak ada kena mengena. Kalau nak siasat AJK, ada justifikasi, tapi (siasat) tetamu kenapa?

"Ada enam meja (tetapi mengapa individu di) meja saya saja yang kena (tahan dan siasat)," katanya lagi.

Beliau juga hadir sebagai pelanggan Global Ikhwan dan bukan untuk menyambut ulangtahun kelahiran Ashaari ke-75 di majlis tersebut.

Tambahnya, beliau tidak beranggapan bahawa majlis berkenaan dibuat untuk menghidupkan semula ajaran bekas tahanan ISA itu.

Beliau mengakui bahawa terdapat kain rentang di majlis berkenaan yang menyatakan Ashaari masih memimpin mereka "walaupun ghaib", dan perkara itu, kata Badrulamin boleh ditafsirkan meluas.

"Dia dah mati tapi perjuangan masih lagi berterusan... Ya, (pengikut) sayang pada Abuya (pengasas Al-Arqam Allahyarham Ashaari Muhammad), tapi nak kata nak hidupkan semula Arqam, saya tidak fikir begitu. Guru mereka sudah tak ada," katanya.

Walaupun Global Ikhwan dibangunkan oleh bekas pengikut Ashaari, ia hanyalah perusahaan perniagaan dan berbeza dengan Arqam, kata Badrulamin yang menjadi pelanggan syarikat tersebut sejak kira-kira enam tahun lalu.

"...Tapi (saya) tak ikut upacara, majlis atau meditasi. Hanya untuk membeli belah. Suasana dia bagus, semuanya di satu tempat," katanya.

Jelasnya lagi, beliau tidak dijemput secara khusus untuk hadir ke majlis berkenaan dan hanya hadir atas kapasiti individu.

"Saya pergi atas kapasiti individu yang suka pada Ikhwan dari segi bisnes. Mereka ada segalanya dari kedai kecil hinggalah hospital. Saya bangga dengan mereka, seronok bila membeli belah barang dapur di sana."

Laporan Utusan Malaysia hari ini menyebut, beliau merupakan antara beberapa individu yang ditahan dalam serbuan ke atas majlis konsert bertemakan "Abuya Terus Memimpin Walaupun Ghaib" itu.

Sumber yang dipetik dalam laporan itu berkata, konsert berkenaan didapati "membantu menghidupkan fahaman Al-Arqam" dan melanggar arahan mufti mengikut Seksyen 12C Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

No comments

Powered by Blogger.