DAP Minta Kerajaan Iktiraf HAMAS!

Iktiraf pilihanraya Palestin 2006, HAMAS kerajaan sah – Chin Tong

KUALA LUMPUR, 20 NOVEMBER: Kerajaan Malaysia digesa mengiktiraf HAMAS sebagai kerajaan sah Palestin sebagaimana keputusan pilihanraya negara itu pada 2006.

Setiausaha Antrabangsa DAP, Liew Chin Tong dalam satu wawancara berkata, bahawa Amerika Syarikat dan komuniti antarabangsa seharusnya kembali kepada keputusan pilihanraya tahun 2006 dan mengiktiraf kerajaan yang dipilih warga Palestin.

Bagi beliau, pengiktirafan antarabangsa terhadap kerajaan sah pimpinan HAMAS itu akan memberi ruang dan peluang kepada Palestin untuk wujud sebagai negara yang berdaulat serta membolehkan solusi dua negara beroperasi.

Bercakap selepas sidang tergempar Dewan Rakyat yang mengecam serangan Israel terhadap wilayah Gaza di Palestin, Chin Tong berkata, pengiktirafan terhadap HAMAS sebagai kerajaan sah Palestin adalah penting supaya HAMAS tidak lagi dilayan seolah-olah sebuah kumpulan pengganas.

Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera menambah bahawa adalah tidak wajar bagi Amerika untuk bersikap hipokrit dan seharusnya menghormati keputusan pilihanraya Palestin pada 2006 itu dan mengiktiraf proses demokrasi di Palestin.

Selain Chin Tong, mesej yang sama turut disampaikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sewaktu membahaskan usul sama di Dewan Rakyat pagi tadi. Beliau turut menggesa kerajaan Malaysia mengiktiraf kerajaan sah pimpinan HAMAS di Palestin yang dipilih secara demokratik.

Ahli Parlimen PAS Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar pula menambah bahawa selain mengiktiraf HAMAS sebagai kerajaan sah Palestin, Malaysia juga wajar mengisytihar Israel sebagai sebuah negara pengganas dan memutuskan semua hubungan dengan Israel termasuk penjualan kelapa sawit kepada negara itu. – Roketkini.com

No comments

Powered by Blogger.