RENUNGAN HARI MINGGU: MENCARI KEMAJUAN DAN KEJAYAAN MALAYSIA?

Mohammad Agus Yusoff

RENUNGAN HARI MINGGU: MENCARI KEMAJUAN DAN KEJAYAAN MALAYSIA?

Pada tahun 1970-an, Malaysia lebih maju dari negara Korea Selatan, Taiwan dan Singapura. Ini kerana Korea Selatan baru selesai perangnya dengan Korea Utara, Taiwan pula sering diancam oleh kuasa China dan Singapura pula sekadar sebuah pulau kecil yang baru berpisah dari Malaysia.

Pada tahun 1980, pendapatan perkapita Korea Selatan ialah US$1845.66 dan Malaysia $1804.12, iaitu lebih kurang sama sahaja dengan negara kita. Dan begitulah juga Taiwan dan Singapura.

Tetapi pada tahun 2012, pencapaian ekonomi kita jauh berbeza dengan tiga buah negara tadi. Pendapatan perkapita nominal Singapura ialah US$50,323, Korea Selatan US$25,189, Taiwan US$22,022, dan Malaysia US$12,243.

Apa Bezanya kita dengan Korea, Taiwan dan Singapura?

Memang banyak bezanya. Kita ada sumber alam yang banyak, tetapi mereka tiada. Kita semakin terkebelakang dan mereka semakin ke depan dari kita.

Lihat sahaja pencapaian di Sukan Olimpik musim panas. Korea Selatan juara dalam sukan memanah dan menembak. Kita paling jauh boleh pergi pun dalam sukan badminton sahaja. Sukan Olimpik musim sejuk di Sochi sekarang, Korea Selatan hebat dalam acara speed skating dan figure skating. Kita tidak menyertai pun sukan Olimpik musim sejuk.

Dari segi bola sepak, pada tahun 1970-an dahulu, kita sering berebut untuk menjadi juara Pesta Bola Merdeka dengan Korea Selatan, tetapi sekarang ini usahkan untuk menjadi juara, Pesta Bola Merdeka pun sudah tidak ada lagi, sedangkan dahulunya Pesta Bola inilah dianggap sebagai antara kejohanan paling berprestij di Asia.

Tengok bidang automobil dan kejuruteraan teknologi lain. Kita ada Proton lengkap dengan sistem perlindungannya sekali sehingga harga kereta menjadi mahal, tetapi di luar negara Proton kita bukan pesaing. Bandingkan dengan Hyundai atau jenama elektronik Korea Selatan seperti Samsung dan LG. Kehebatan mereka di luar keupayaan tandingan kita.

Lihat industri hiburan kita, filem Korea dan Taiwan jauh lebih maju. Ada Winter Sonata, muzik ada K-Pop. Tapi kita ada Melodi setiap Hari Minggu yang melaga-lagakan artis kita. Aduhai!

Lihat dari segi industri perkhidmatan. Bandingkan mutu syarikat penerbangan Singapura dengan MAS atau Airasia. Lihat keinginan syarikat perkapalan, sama ada mereka lebih senang berlabuh di Jurong atau di pelabuhan kita?

Lihat dari segi nilai ringgit kita. Berbanding dengan Singapura misalnya, semasa berpisah dengan Malaysia dahulu, ringgit Malaysia dan Singapura sama nilainya. Selepas itu, pada tahun 1990, 1 dollar Singapura adalah sama dengan RM2. Tapi sekarang $1 dollar Singapura sama dengan RM2.58 sen. Mengikut pakar ekonomi, dengan suasana ekonomi sekarang, dalam masa 5-10 tahun akan datang $1 dollar Singapura akan bersamaan dengan RM3.

Begitupun keadaannya, Timbalan Menteri Kewangan kita semasa berucap di Pontian pada 8 November tahun lepas mengatakan kejatuhan nilai ringgit itu: "Bukan satu bebanan yang besar (kejatuhan nilai ringgit berbanding dollar Singapura) kerana apabila mata wang kita rendah ia akan beri faedah kepada pengeksport dan lebih ramai rakyat di republik itu berbelanja di negara ini. " Kita lihat setiap urus niaga antarabangsa juga bersandarkan nilai dolar US dan bukannya dolar Singapura, jadi ia tidak menjejaskan ringgit yang masih kekal kukuh berbanding dolar US."

Masalahnya sekarang ialah kalau dahulunya US1 sama dengan RM3.10, sekarang ini US1 sudah sama dengan RM3.40. Kalau dahulunya 1 Pound British sama dengan RM4.90, sekarang ini 1 Pound British sudah bersamaan dengan RM5.40 kita.

Mengapa begitu merosot tahap pencapaian kita berbanding dengan negara yang saya sebutkan di atas? Banyak sekali sebabnya. Antaranya ialah faktor budaya kerja kita, sikap pegawai kerajaan kita, sikap pemimpin politik kita, sistem politik dan pentadbiran kita dan banyak lagi.

Saya tidak bercadang untuk mengulas faktor-faktor ini. Panjang sangat kupasannya nanti. Yang saya mahu tekankan ialah kita perlu berubah.

Di pihak pemimpin, berubahlah untuk menghargai intelek rakyat, merapatkan jurang hidup rakyat, memastikan semua rakyat mampu selesa di tahap hidup layak, menghormati hak rakyat, memberikan ruang pendidikan dan kesihatan serta sistem kemudahan awam yang sesuai kepada rakyat, mewujudkan sikap kebanggaan rakyat kepada negara, dan mengelakkan perangai denial syndrom seperti kes kemorosotan nilai ringgit di atas. Rakyat sudah bosan sekiranya mereka terus didungukan.

Di pihak rakyat, jadilah rakyat yang kritis, konstruktif dan peka kepada masalah pembangunan negara. Mari kita sama-sama bersikap juur untuk menegur jika pemimpin membuat kesilapan dan memuji jika pemimpin melakukan kebaikan. Kita saling mendokong.

Dengan kekayaan sumber alam yang dimiliki dan keunikan struktur masyarakatnya, Malaysia sepatutnya sudah lama maju melebihi negara-negara di atas. Tetapi nampaknya, sehingga hari ini, tidak begitu keadaannya. Di manakah silap kita? Apakah yang perlu kita lakukan?

Sahabat, berkongsi pandanganlah di hari minggu ini.

No comments

Powered by Blogger.