Kenyataan IKRAM Berkaitan Dengan Kenyataan Kasim Ahmad

Mus'ab Nasihah

18 Rabi’ul Akhir 1435 Hijrah bersamaan 18 Februari 2014

Kassim Ahmad, seorang pemikir yang pernah menggemparkan negara suatu ketika dahulu dengan idea penolakan terhadap hadis sebagai sebahagian daripada sumber rujukan utama umat Islam telah sekali lagi mencetus kontroversi apabila sebuah seminar tentang pemikiran beliau telah dianjurkan baru-baru ini pada 15 dan 16 Februari bertempat di Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya.

Seminar ini telah mendapat banyak reaksi dan maklum balas daripada masyarakat dan pertubuhan-pertubuhan yang sensitif dengan isu umat Islam. Sebagai mewakili sebahagian daripada golongan mahasiswa Islam di Malaysia, Ikram Siswa juga amat memandang serius terhadap penganjuran seminar ini dan mengikuti perkembangan aliran ini dengan teliti. Sebagai mahasiswa yang telah diasuh dengan nilai-nilai ilmu dan intelektual yang tinggi, Ikram Siswa mengakui bahawa seminar, wacana dan perbincangan ilmiah merupakan antara medium perkembangan ilmu dan percambahan idea yang baik dan berkesan.

Namun begitu, perkembangan ilmu ini tidak mungkin akan berlaku jika medium -medium yang digunakan ini tidak disertai dengan tokoh-tokoh atau sarjana-sarjana yang benar-benar ahli dalam bidang yang dibincangkan, dalam hal ini, tokoh atau sarjana dalam bidang hadis.

Tambahan pula, diskusi tersebut adalah tentang status penerimaan hadis yang diterima sejak berkurun lama sebagai salah satu daripada sumber-sumber hukum Islam, sudah pasti apa-apa pandangan yang bertentangan dengan apa yang telah dipegang umat Islam sejak sekian lama ini sangat dipandang serius oleh masyarakat.

Setelah meneliti hujah-hujah yang dikemukakan oleh Kassim Ahmad dan pendokong-pendokong aliran beliau, Ikram Siswa dengan yakin menyatakan bahawa hujah-hujah yang diguna pakai oleh beliau adalah tidak kukuh serta tidak boleh dijadikan sandaran dan sama sekali bertentangan dengan displin ilmu yang diterima pakai oleh ahli cerdik pandai.

Jika ditelusuri sejarah penurunan Al-Quran, pengumpulannya, penulisannya, penyimpanannya sehinggalah sampai kepada kita hari ini, kita akan mendapati bahawa ianya telah melalui satu disiplin ilmu yang sangat ketat dan teliti oleh orang-orang yang cukup amanah dan berkredibiliti. Setiap ayat yang hendak ditulis ketika pengumpulannya di zaman saiyidina Abu Bakar
hendaklah didatangkan dengan dua orang saksi yang adil dan dipercayai malah diperakui kesaksiannya.

Begitu juga dengan hadis. Keprihatinan tokoh-tokoh ilmu dalam menjaga keaslian ilmu hadis telah mencambahkan pelbagai disiplin perbincangan ilmu sehingga terbitlah ilmu al-jarh wa at-ta’dil iaitu satu susunan ilmu tentang penelitian ke atas keperibadian, keilmuan dan akhlak setiap yang meriwayatkan hadis. Malah berdasarkan ilmu ini, pandangan masyarakat terhadap setiap yang menyampaikan hadis itu turut diambil kira. Setiap hadis yang sampai kepada kita ada kaedah penentuan keasliannya, bukan ditolak atau diterima pakai sewenang-wenangnya.

Inilah kehebatan tradisi keilmuan Islam yang sangat teliti, peka dan cermat sehingga telah mengembangkan lagi disiplin-disiplin ilmu yang lebih luas dan berkualiti yang telah diwarisi umat sejak temurun dan juga diakui oleh tokoh-tokoh dan sarjana-sarjana bukan Islam. Sungguh ironi bagaimana seseorang itu boleh menolak hadis tetapi menerima al-Quran sedangkan banyak ayat dalam al-Quran sendiri yang menyeru umat Islam supaya mentaati dan mencontohi Nabi Muhammad s.a.w.

Oleh yang demikian, Ikram Siswa menyeru masyarakat Malaysia supaya:

1. Menolak idea pemikiran yang dibawa oleh Kasim Ahmad dan menegaskan bahawa
Hadis merupakan sebahagian daripada sumber utama rujukan umat Islam bersama-sama dengan al-Quran berdasarkan hujah-hujah yang kuat disertai dengan disiplin ilmu yang jelas dan diterima ahli bijak pandai.

2. Mematuhi fatwa yang telah dibuat di peringkat pusat atau negeri-negeri berkenaan kesesatan pemikiran golongan anti hadis yang antaranya termasuklah Kassim Ahmad.

(Sila rujuk fatwa tersebut di sini http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/fatwa-mengenai-kumpulan-anti-hadis-0 dan http://www.e-fatwa.gov.my/senarai-fatwa-negeri?title=kassim&group_nid=All&field_status_penwartaann_value_many_to_one=All&field_tarikh_keputusan_neg_value%5Bvalue%5D%5Bdate%5D=3. Menyeru badan-badan agama dan pertubuhan-pertubuhan Islam untuk bersama-sama berganding bahu dalam menangani pemikiran ini melalui pendekatan pembudayaan ilmu yang sahih dan jelas yakni hujah bertemu dengan hujah seperti menganjurkan program-program kesedaran kepada masyarakat tentang kecelaruan pemikiran Kassim Ahmad dan golongan yang menolak hadis dan sebagainya. Malah adalah sangat baik jika sebuah dialog dapat diadakan antara sarjana-sarjana hadis dengan Kassim Ahmad sendiri kerana ianya mampu membantu menjelaskan kepada masyarakat tentang yang
manakah pandangan yang benar dan yang manakah pandangan yang salah.

4. Menyeru kepada masyarakat terutamanya golongan mahasiswa untuk meneliti dan mendalami agama Islam melalui displin ilmu yang benar, bukan hanya bergantung kepada logik akal semata-mata.

Marwan bin Abdullah
Presiden IKRAM Siswa Nasional

http://www.ikramsiswa.com/archives/118
Like·Comment·Share
2 people like this.

No comments

Powered by Blogger.