AKU, UNIT AMAL DAN KEPANDUAN JAMAAH.

Oleh:Dr Riduan Mohd Nor.

Aku menoleh kiri dan kanan pada anak-anak muda yang berdesakan mengiringi Tuan Guru Haji Abdul Awang, Timbalan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang. Senario ini pada tahun 1992, saat aku masih menyandang gelaran mahasiswa UM, masa terluang mengikuti Unit Amal Lembah Pantai yang dipimpin oleh Haji Uzir Ahmad. Tak ramai anak-anak kampus UM yang terlibat dengan Unit Amal kerana gerakan pelajar Islam lebih mempunyai tarikan pesona berbanding gerakan kepemudaan di kawasan Lembah Pantai.

Pada masa itu Unit Amal masih lagi begitu baru di medan masyarakat, walaupun Pemuda PAS mempunyai gerakan kepanduan mereka sendiri smenjak era dekad 1960an dan 1970an. Aku teringat almarhum Ustaz Hasan Shukri yang menceritakan bagaimana gerakan pemuda Syuhada di zamannya yang mengadakan mukhaiyam , aktiviti berkawad, juga aktiviti seni silat. Apatah lagi pemuda UMNO yang terkenal dengan pemuda tahan lasak,mengganggu aktiviti yang diadakan oleh PAS. Kewujudan gerakan kepanduan Pemuda PAS ini dibuktikan dengan gambar-gambar kawad dan perbarisan setiap kali majlis besar yang diadakan oleh PAS.

Kewujudan gerakan kepanduan berteraskan khidmat kebajikan dan sukarela bagi gerakan Islam, bukanlah sesuatu yang baru atau hanya muncul di negara ini. Gerakan feomenal dunia seperti Ikhwanul Muslimin, jauh lebih awal mempunyai sayap kepanduan Syabab Ikhwan ( Abdul Muiz :2001 ). Begitu juga Jamiat Islami di belahan sub continent, mempunyai gerakan kepanduan yang berkhidmat untuk membantu masyarakat dan juga sebagai sayap gerakan yang penting. Di Indonesia pula, Masyumi ( Majlis Syura Muslimin Indonesia), mempunyai gerakan kepanduan tersendiri yang menghimpunkan ramai anak muda, sehinggalah wadah politik Islam ini diharamkan oleh Soekarno.

Unit Amal terus mengorak langkah menjuarai bidang kebajikan, membantu program-program PAS disemua peringkat, menghimpunkan anak muda yang cenderung dalam bidang kepanduan (pengakap), menarik anak muda kepada fikrah perjugan Islam bahkan terlibat dengan misi-misi bantuan di seluruh dunia. Tak sedikit ujian yang melanda badan sukarela ini, termasuk cuba mengaitkan mereka dengan tujuan ketenteraan , namun Unit Amal membuktikan mereka hadir ditengah masyarakat untuk berbakti dan berbudi. Apabila negara di landa musibah banjir, mereka "beruniform merah" ini berada dibarisan hadapan, jauh lebih awal daripada Agensi kerajaan sendiri.
Kelompok relawan berbaju merah ini berjaya memecahkan tembok kaca PAS dengan masyarakat, mengikis imej parti eklusif pak lebai dan agamawan. Unit Amal dengan pelbagai kepakaran dan latarbelakang keanggotaan, daripada buruh sehinggalah ahli akademik, usahawan, profesional muda. Mereka bekerja tanpa upah, mampu diarah, berdisiplin tinggi, menjaga reputasi sebagai barisan hadapan jamaah Islam, berembun dan berpanasan untuk program PAS dan masyarakat.

Negara ini tak mampu berbohong tentang jasa dan kepakaran Unit Amal, mereka mengawal peserta-peserta bantahan awam daripada bertindak liar, menjaga keselamatan peserta dan juga mendisiplinkan para demonstran. Unit Amal membantu pihak keselamatan, bomba dan penyelamat jika berlaku kes kemalangan, hilang di hutan atau sungai, bencana kebakaran besar, malah turut menjadi aktiviti ko kurikulum di sekolah-sekolah Islam.

Unit Amal tak mudah digertak, aku teringatkan pada tahun 2002 apabila berlangsung Jambori Amal Peringkat Kebangsaan di Taman Templer , sekitar tapak jambori dikepung oleh FRU. Aku menjadi Pengarah Jambori tersebut , program berlangsung dengan berjaya walaupun digertak untuk ditahan semua peserta Jambori Amal.

Kepada Zahid Hamidi, abaikan mimpi kamu untuk melenyapkan Unit Amal, kerana hadirnya Unit Amal bersama denyut nafas kami , seluruh ahli-ahli Parti Islam. Mereka tidak menagih upah dan tanda jasa diatas khidmat bakti mereka, motto gerakan kepanduan PAS ini, "dimana ada kesusahan, disitulah adanya kami". Tugas kamu Zahid dan pihak keselamatan negara ialah membanteras jenayah dan mewujudkan suasana kondusif untuk rakyat, mewujudkan Malaysia yang aman. Biarkan Unit Amal terus berbakti kepada watan dan tanah leluhur ini!

(Penulis ialah AJK PAS Pusat dan juga mantan Penaung Unit Amal Wilayah Persekutuan 1999-2006)

No comments

Powered by Blogger.