DAP setia kepada Raja Berperlembagaan, mohon maaf kepada Sultan Selangor

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: DAP hari ini menegaskan kesetiaan kepada institusi Raja Berperlembagaan dan sama sekali tidak berniat menimbulkan rasa dukacita terhadap Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam konflik Menteri Besar Selangor.

Oleh itu, DAP akan menghormati titah Tuanku dan akan mengadakan rundingan semula dengan PKR berhubung calon MB Selangor yang baru, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“Bagi pihak DAP, saya ingin memohon ampun kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan kerana telah menyebabkan Tuanku merasa dukacita terhadap keputusan kami mengemukakan nama Wan Azizah sahaja sebagai calon MB yang baru.

“DAP mengulangi kesetiaan kepada institusi Raja Berperlembagaan yang tidak berbelah bahagi, dan akan berunding dengan YB Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang titah Tuanku DYMM Sultan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Katanya lagi, tindakan menghantar satu nama bukanlah bermaksud untuk menimbulkan rasa dukacita Sultan, sebaliknya berdasaskan ketetapan bersama Pakatan Rakyat serta sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kepada Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

“Keputusan itu dicapai selepas rundingan dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa ia mengikut konvensyen sebelum ini berkaitan dengan lantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada tahun 2013.

Menurutnya lagi keputusan itu turut dibuat berdasarkan sokongan bertulis 30 daripada 56 Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor kepada Wan Azizah sebagai MB, dan keputusan Pakatan bahawa calon MB Selangor adalah daripada PKR.

Kenyataan itu adalah reaksi kepada kenyataan akhbar Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani semalam.

Mohamad Munir berkata Sultan Selangor ‘dukacita di atas tindakan parti-parti DAP dan Keadilan yang engkar dengan titah Baginda bertarikh 27 Ogos 2014’, agar setiap parti komponen Pakatan Rakyat menghantar lebih daripada dua nama sebagai calon MB yang baru. – Roketkini.com

No comments

Powered by Blogger.