Wan Rosdi calon Pakatan PRK Pengkalan Kubor

TUMPAT, 11 Sept: Setiausaha PAS Tumpat, Wan Rosdi Wan Ibrahim, 57, akan membawa cabaran Pakatan Rakyat dalam misi merampas Dun Pengkalan Kubor yang dikuasai Umno sejak 2004.

Pemilihan beliau diumumkan oleh pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Datuk Ahmad Yakob pada satu majlis malam ini.

Antara yang hadir ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Siti Zailah Mohd Yusoff, Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar.

Beliau merupakan anak tempatan Kampung Bendang Pak Yong. Pernah mengikuti kursus pentadbiran perniagaan di Tokyo, Jepun pada 1984.

Wan Rosdi pernah menimba ilmu di Institut Kemahiran Mara di Sungai Petani, Kedah dalam binaan bangunan (1978-1980).

Pendidikan peringkat menengah di Maahad Muhamadi Pasir Mas sehingga lulus SPM. Pernah juga belajar di Sekolah Menengah Agama (Arab) Al Ihsan, Tanah Merah.

Pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Tanah Merah. Susur galur keluarganya terbabit dengan PAS. Ibunya, Wan Esah Wan Deris merupakan Ketua Muslimat PAS Tanah Merah.

Beliau berhijrah ke Tumpat selepas berkahwin dengan Saadiah Salleh yang juga bekas Ketua Muslimat PAS Tumpat. Bagaimanapun isterinya meninggal dunia pada 14 Julai 2013.

Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan 5 anak. Wan Muhammad Khairul Amili bertugas sebagai jurutera, Wan Nor Hayani lulusan master di UiTM, Wan Shakikah lepasan ijazah USIM. Wan Mohd Shafiq (Ijazah Universiti Islam Sultan Shariff Riau, Pekan Baru Indonesia) dan Wan Najibah lepasan ijazah USIM.

Wan Rosdi juga merupakan Ketua Unit Amal Tumpat ketika peringkat awal diwujudkan.

Sebelum terbabit sepenuh masa dengan parti beliau mengurus perniagaan sendiri sebagai kontraktor binaan.

Kegiatannya dalam parti bermula sebagai ahli jawatankuasa Pemuda PAS Tumpat pada 1991 dan 1997 dilantik sebagai ahli jawatankuasa PAS Tumpat.

Selepas pilihan raya umum 1999 Wan Rosdi bertugas sebagai setiausaha Adun Pengkalan Kubor, Wan Hussin Wan Ahmad.

Pernah juga dilantik sebagai Penolong Setiausaha PAS Tumpat dan Setiausaha Penerangan PAS kawasan. Dan mulai tahun lepas dilantik sebagai Setiausaha PAS Tumpat.

Hubungannya dengan masyarakat di Pengkalan Kubor tambah akrab selepas dilantik sebagai Penyelia Dun Pengkalan Kubor sejak 2009.

Beliau juga dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Kompleks Perkayuan Kelantan pada 2013 dan ahli majlis Majlis Daerah Tumpat pada 1997-2007. - HARAKAHDAILY 11/9/2014

No comments

Powered by Blogger.