TAHNIAH YB AZMIN, TERIMA KASIH TAN SRI KHALID, SYUKUR PAKATAN RAKYAT MASIH MENTADBIR SELANGOR.

Kami mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kemelut politik yang melanda Negeri Selangor telah berakhir.

Kami juga mengucapkan tahniah kepada YAB Tuan Mohd Azmin Ali yang telah dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

Mesyuarat PAS Pusat pada 17 Ogos lepas telah bersetuju untuk mencalonkan YAB Tuan Azmin sebagai salah seorang calon Menteri Besar Selangor.

Oleh yang demikian, PAS Selangor yakin kami akan dapat sama-sama bekerja dengan beliau demi kebaikan dan kemajuan rakyat negeri Selangor.

Kami berharap di bawah pentadbiran beliau, prestasi cemerlang yang dicapai di bawah pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim akan dapat diteruskan.

Semoga Allah SWT akan menganugerahkan beliau kekuatan dan petunjuk untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang berat ini.

Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Khalid yang telah sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di tempat yang paling atas dan telah membawa banyak pembaharuan ke negeri ini.

Semoga Allah SWT memberikan ganjaran yang setimpal kepada beliau.

Kami juga mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana Pakatan Rakyat masih mentadbir negeri Selangor.

Terdapat saat dan ketika sepanjang satu setengah bulan yang lepas di mana kerajaan negeri hampir tumbang.

Tetapi 4 orang Exco PAS di atas arahan PAS Pusat telah terus bersama di dalam kerajaan dan sekaligus telah berjaya menyelamatkan kerajaan negeri.

Pada hakikatnya 4 orang Exco ini telah menghalang dari berlakunya satu pilihan raya negeri.

Walaupun kesemua 4 Exco ini dari PAS tetapi mereka telah membawa semangat dan prinsip Pakatan Rakyat ke dalam kerajaan sepanjang tempoh tersebut.

Mereka juga telah mempertahankan kepentingan-kepentingan Pakatan Rakyat di dalam kerajaan.

Contohnya mereka telah memastikan perkhidmatan Ahli-Ahli Majlis PKR dan DAP diteruskan dan semua program-program yang dirancang oleh Exco yang diberhentikan perkhidmatan dapat berjalan dengan lancar.

4 orang Exco ini juga dengan tegas menolak sebarang kerjasama dengan UMNO apabila menyatakan akan meletakkan jawatan jika UMNO dibawa masuk ke dalam kerajaan.

Walau bagaimanapun sekarang bukanlah masanya untuk memandang ke belakang tetapi untuk melangkah ke hadapan dan berusaha untuk mengembalikan keyakinan penuh rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Masanya untuk kembali meletakkan perjuangan memartabatkan rakyat di pentas utama.

Bagi pihak 4 orang Exco yang menurut amalan perlu meletakkan jawatan bersama-sama Tan Sri Khalid, PAS Selangor mengucapkan terima kasih di atas sokongan dan dorongan yang telah diberikan oleh semua pihak.

Iskandar A Samad
Pesuruhjaya PAS
Negeri Selangor
23 September 2014

No comments

Powered by Blogger.