HUDUD MEMBAWA SAYA KEPADA PAS DAN TERUS KEKAL BERSAMANYA

Teringat saya ketika mula-mula mendengar kehendak kerajaan Kelantan melaksanakan Hudud. Dek kerana kurang ilmu berkaitan dengan undang-undang Islam maka saya memilih untuk menyokong pandangan bahawa Hudud tidak sesuai pada zaman ini.

Peluang melanjutkan pengajian di UTM Jalan Semarak telah membuka ruang kepada saya untuk memahami apa itu hudud yang sebenarnya. Walaupun pengajian saya di UTM dalam bidang Kejuruteraan namun saya berpeluang untuk mengenali Hudud melalui subjek Pengajian Islam dan kuliah-kuliah agama di tempat lain.

Saya mula menyedari bahawa Hudud itu adalah undang-undang dari Allah S.W.T, Tuhan saya dan Tuhan kepada seluruh makhluk di atas dunia ini. Tidak mungkin Hudud akan menzalimi manusia kerana Islam itu adil untuk semua.

Saya memilih untuk menyertai PAS selepas tamat pengajian di UTM pada tahun 1997 walaupun keluarga saya adalah penggerak UMNO di Kluang. Saya akui bahawa Hudud membawa saya menyertai PAS walaupun saya sedar pada ketika itu, PAS adalah parti kerdil jika dilihat dari sudut bilangan ahli dan cawangannya jika nak dibandingkan dengan UMNO.

Saya membesar dengan pelbagai aktiviti UMNO dan tidak kekok untuk menyertai program UMNO pada ketika itu. Namun di atas sikap dan pendirian kepimpinan UMNO yang mempermain-mainkan Hudud dan menjadikan Hudud sebagai bahan kempen politik maka hati saya tidak cenderung lagi kepada parti cap keris tak bersarung ini.

Saya percaya kepada kepimpinan almarhum tok guru Nik Aziz di Kelantan yang serius untuk melaksanakan undang-undang ciptaan Allah. Saya percaya kepada kepimpinan PAS Pusat yang terus mendokong kerajaan Kelantan untuk melaksanakan Hudud.

PAS terus konsisten memperjuangkan Hudud walaupun ditekan dan diinjak dalam pelbagai bentuk serangan yang menguji kesabaran.

Kekonsistenan PAS untuk memperjuangkan Hudud masih utuh walaupun adakalanya ia tidak mendapat sokongan yang baik daripada pelbagai pihak termasuklah daripada anggota dalam parti.

Saya akui kadang-kadang terasa juga kesedihan di dalam hati apabila ada di kalangan sahabat-sahabat seangkatan saya mahu meninggalkan PAS kerana marah, tidak puas hati, kecewa, geram dan apa jua yang sewaktu dengannya apabila berhadapan dengan situasi dalaman ketika ini.

Kerana itu wahai para sahabat, saya akan terus kekal bersama PAS kerana Hudud telah membawa saya ke dalam jamaah dan parti ini. Saya sertai PAS bukan kerana pemimpin tertentu tetapi percaya kepada dasar perjuangannya. Selagi dasarnya tidak berubah maka disinilah saya akan terus berjuang, insya Allah.

Usaha untuk merealisasikan Hudud mungkin jalannya akan lebih sukar selepas ini namun saya percaya bahawa Allah akan sentiasa ada bersama.

Semoga Allah kuatkan dan semangat serta tetapkan pendirian saya dan para sahabat semua.

‪#‎TerusBeristiqamah‬
‪#‎BeristiqamahHinggaKemenangan‬

Wassalam

Khairul Faizi Ahmad Kamil
www.khairulfaizi.net
25 Ramadhan 1436

No comments

Powered by Blogger.