"KEKALKAN MUAFAKAT, ELAK PROVOKASI"

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
26 Ramadan 1436H / 13 Julai 2015

"KEKALKAN MUAFAKAT, ELAK PROVOKASI"

Oleh: Nik Mohamad Abduh Bin Nik Abdul Aziz
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Pasir Mas.

Dewan Pemuda PAS Malaysia melahirkan rasa dukacita yang mendalam dan begitu perihatin terhadap kejadian pergaduhan yang berlaku di Plaza Low Yatt sejak semalam yang melibatkan anak-anak muda Malaysia yang berjiwa merdeka. Ia dalam apa jua keadaan pun begitu mencemari kemuliaan bulan Ramadhan yang mendidik kita kepada kejernihan, kesabaran, kasih sayang dan kesantunan yang tinggi.
Dengan harapan yang begitu tinggi, kami menyeru semua pihak agar bertenang dan bersama menyokong dan mendorong kepada usaha-usaha penjernihan dan permuafakatan.

Walaupun kita sedih dengan kes jenayah perniagaan yang samada berpunca daripada pihak peniaga atau pun pembeli, ia tidak boleh sama sekali mendorong kepada tindakan beremosi dan merajakan nafsu dalam proses mencapai jalan penyelesaian. Tindakan sedemikian pastinya akan menambahkan lagi kekusutan dan membawa akibat yang lebih buruk.
Justeru Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru anak muda Malaysia agar tidak mudah terpengaruh dengan suara-suara buruk yang bersifat perkauman dan permusuhan. Seperti pesan Rasulullah صلى الله عليه وسلم, dengan kedatangan Islam yang mulia, seruan perkauman dan rasis sudah menjadi bangkai jahiliyah yang ditinggalkan.
Dewan Pemuda PAS Malaysia juga menyeru pihak kerajaan agar segera menjalankan siasatan menyeluruh ke atas kejadian yang berlaku dalam mengenal pasti punca sebenar dan membawa pihak yang bersalah ke muka pengadilan.

Adalah perlu untuk rakyat Malaysia melihat kejadian ini dalam kerangka fikir yang lebih besar. Kerajaan perlulah menjadi contoh dan teladan terbaik ke arah sifat amanah, telus dan benar di dalam menangani isu-isu jenayah perniagaan dan ekonomi yang melanda negara kita. Baik sesebuah kerajaan yang memerintah akan banyak membantu kepada baiknya kehidupan rakyat jelata.

Dewan Pemuda PAS juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada nasihat khas yang telah disampaikan oleh Saudara Afdlin Syauki (https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10155779379060527&id=19005495526) yang menyeru semua pihak agar bertenang. Ia nasihat baik dan benar yang wajar diikuti.

Terima kasih.

No comments

Powered by Blogger.