TAHAJUD AMALAN SEJAK MUDA (DATIN TUAN SABARIAH TUAN ISHAK)



Oleh: Zafrullah Zafrullah

Tok Guru sangat suka membaca. Masanya juga dipenuhi dengan menelaah kitab-kitab agama. Jarang sekali Tok Guru duduk berehat begitu sahaja tanpa melakukan apa-apa yang bermanfaat untuknya. Setiap kali waktu solat, Tok Guru akan berjemaah di masjid. Waktu malamnya juga diisi dengan amalan ibadat dan seumpamanya.

"Dia seorang yang sangat sederhana. Hidup kami sekeluarga macam orang lain juga. Dia selalu ingatkan saya dan anak-anak bahawa ilmulah harta yang sangat mahal. Ilmu jugalah darjat yang paling tinggi di akhirat."

Tok Guru juga seorang suami yang memudahkan. Dia akan menyediakan keperluan rumah tangga secukupnya. Tapi untuk pakaian isteri dan anak-anak, dia akan beri sejumlah wang dan pandai-pandai Tuan Sabariah memilih apa yang diminati. Dia tidak akan komen tapi sekadar senyum sahaja.

Selain daripada kaut berpegang pada prinsip agama, Tok Guru juga seorang yang zuhud, tidak suka membazir, penyayang dan bercakap perkara yang baik-baik sahaja. Kesederhanaan ini juga dipraktikkan ketika menjadi ketua dan pemimpin dalam masyarakat.

"Sewaktu menjadi menteri besar, pernah sekali Tok Guru membawa saya menghadiri majlis makan malam. Saya memang teruja. Tetapi selepas habis mesyuarat, dia terus ajak saya balik. Saya tanya, kenapa tidak makan terlebih dahulu. Dia cakap, mesyuarat tu sekejap saja tapi jamuan yang diadakan itu belanjanya beratus ribu ringgit. Membazir! Dia tidak mahu bersubahat makan duit rakyat."

Sebagai isteri, Tuan Sabariah juga kagum dengan ketegasan suaminya yang sangat menjaga solat tahajud sejak muda lagi. Dalam keadaan sakit dan tidak bermaya, Tok Guru gagahkan diri untuk bangun se pertiga malam bagi melakukan rutin itu.

"Setiap jam 3.00 pagi, saya dengar Tok Guru sedang mengaji sebelum bertahajud. Pernah satu ketika, bacaannya sengaja dikuatkan untuk bangunkan saya agar kami sama-sama bertahajud. Inilah amalannya. Walaupun kadangkala balik lambat namun solat tahajud tetap dilakukan."

No comments

Powered by Blogger.