Sandiwara anak Malaysia ultra kiasu (Sinar Harian 27.6.16)



Sandiwara anak Malaysia ultra kiasu (Sinar Harian 27.6.16)

Saya dilabel sebagai pengkhianat bangsa hanya kerana bercakap benar mengenai bangsa saya sendiri. Dituduh mahu menjadi orang Melayu atau lebih Melayu daripada Melayu. Nasib baiklah selepas saya keluar daripada MCA, baharu ultra kiasu sedar bahawa selama ini saya berada dalam parti Cina. Adakah saya rasis atau seksis sebagaimana yang dituduh?

MCA tidak putus-putus menyerang saya. Sepatutnya sasaran MCA adalah DAP. Tetapi perkara itu tidak berlaku, mereka sangat berpakat. Saya yakin majoriti ahli mereka yang didakwa seramai 1.07 juta tidak mengundi BN, sebaliknya DAP.

Sebelum ini saya ada menulis mengenai seorang pemimpin wanita ultra kiasu Kristian Evangelis yang berkahwin dengan lelaki India. Setelah mendapat anak, pasangan ini pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi tujuan pendaftaran kelahiran. Peliknya dalam ruangan keturunan (bangsa) dia menulis ‘anak Malaysia’ iaitu bangsa yang tidak pernah wujud dalam kamus pendaftaran kelahiran JPN. Sudah tentu JPN menolak.

Perkara ini sengaja dirancang supaya menjadi kecoh dan heboh, agar JPN dipersalahkan. Muslihatnya, bagi mengelakkan dia menulis keturunan India iaitu keturunan suaminya. JPN dikutuk dan dituduh tidak patriotik menolak keturunan anak Malaysia atas alasan kita semua anak Malaysia. Liciknya ultra kiasu ini mengkambinghitamkan JPN bagi melunaskan cita-cita jahatnya.

Sebagai orang Cina yang sangat berpegang teguh kepada budaya bangsa seperti ultra kiasu, dia sepatutnya menulis keturunan India mengikut nasab suaminya. Tetapi ia tidak berlaku. Jika mengikut budaya Cina yang amat memuliakan nasab bapa, sepatutnya keturunan anak pasangan ini ditulis bangsa INDIA mengikut bapa. Tetapi keadaan tersebut tidak berlaku, dia menyalahkan JPN menulis keturunan CINA.

Di manakah semangat anak Malaysia yang pada awalnya mahu digunakan jika dia benar-benar meraikan kepelbagaian. Apatah lagi ultra kiasu selalu mendakwa ia parti berbilang kaum. Jika begitu, kenapa tidak meraikan bangsa India mengikut keturunan suaminya? Kenapa dalam kepala dia hanya ada Cina? Hinakah meletakkan keturunan bangsa India? Bukankah India juga dijadikan oleh Allah SWT? Siapa rasis? Apakah pemimpin sebegini boleh diharap memimpin negara?

Baik pulak saya, saya Cina, isteri saya Melayu, keturunan saya, saya letakkan Cina kepada anak saya. Kenapa? Sebab saya orang Cina. JPN memberi pilihan sama ada memilih bangsa ibu atau bapa. Siapa hipokrit sebenarnya? Beginilah liciknya mereka.

Pertama, memahami bangsa saya, mereka lebih mahukan anak lelaki daripada anak perempuan kerana anak lelaki akan memanjangkan nasab keturunan mengikut surname yang dibawa, berbanding anak perempuan. Anak perempuan akan berkahwin mengikut keturunan suaminya. Anak perempuan dianggap sebagai menghabiskan beras kerana akan menjadi milik orang lain atau keturunan lain.

Kedua, mengenali ultra kiasu sekian lama, mereka memandang rendah orang yang lebih gelap kulitnya. Mereka cuba mengelak untuk berjiran dengan orang sebegini. Mereka lebih selesa dengan kalangan yang lebih cerah seperti orang putih. Sebab itu, mereka lebih suka berhijrah ke negara kulit putih daripada kulit hitam.

Kehidupan mereka hari ini lebih orang putih daripada orang putih. Sebab itu MCA begitu marah apabila saya menegurkan soal pakaian seksi dan singkat. MCA menyerang saya dengan mengatakan saya ini sakit mental dan perlu meminta maaf kepada orang Cina. Siapa perempuan palsu ini? Kenapa saya perlu minta maaf. Hipokrit sungguh. Pergi telek dan belek pakaian budaya Cina sebenar.

Ketiga, ultra kiasu Kristian Evangelis jugalah yang setiap kali bulan puasa akan dibenarkan masuk ke surau dan masjid berbaju kurung dan bertudung menyampaikan bantuan kepada umat Islam yang berpuasa, bagi menunjukkan dia ‘sayang’ dan ‘menghormati’ bulan puasa. Cuba dekati hati budi mereka, apakah mereka rela berpakaian sedemikian saban kali ketika dewan bersidang misalnya. Jawabnya, tidak. Ultra kiasu lebih suka pakaian orang putih yang didakwa itu pakaian budaya mereka.

Malang sekali umat Islam mempertahankan ultra kiasu ini, hanya dengan bantuan RM2000, kopi, teh dan susu di bulan Ramadan dan memuji pula mereka dengan kata-kata “cantiknya amoi-amoi ini”. Murah sungguh hargai diri dan maruah kita.

Ternyata ultra kiasu ini cakap lain, buat lain. Peliknya, MCA dan akhbar the Star langsung tidak pernah langsung menyerang wanita ultra kiasu ini seperti dia menyerang saya, sedangkan saya juga ‘menyayangi’ Cina seperti yang ‘diperjuangkan’ MCA, DAP dan Gerakan. Bukan begitu MCA?

Wahai umatku, bangunlah, lihatlah kebobrokan ultra kiasu yang bersatu dalam terang dan senyap. Saya akan terus diserang dan diserang lagi. Tetapi saya jenis yang tidak menyerang jika tidak diserang. Tidak menyerang tanpa tentangan.

Saya akan terus dilabel lebih Melayu daripada Melayu supaya orang Cina membenci dan menganggap saya sebagai pengkhianat. Sehingga ada yang meludah dan menjegilkan mata bila bersua muka. Begitu juga ugutan bunuh. Tidak mustahil akan ditembak. Saya bertawakkal kepada Allah akan takdir ini.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1043845049039911&id=797212753703143

No comments

Powered by Blogger.