HIKAYAT 1MDB YANG SUDAH SETAHUN DIKISAHKAN (Khas untuk sang penyokong dan tukang sorak 1MDB)



HIKAYAT 1MDB YANG SUDAH SETAHUN DIKISAHKAN
(Khas untuk sang penyokong dan tukang sorak 1MDB)

08 Jun 2015

Adapun hikayat ini terlalu amat lanjut. Jika dihikayatkan lagi, jemu orang yang membacanya. Maka asalnya disimpankan juga, kerana hikayat yang amat lanjut itu tiada gemar bagi orang yang berakal adanya.

Syahadan maka setelah melihat kesungguhan akan sekumpulan penyokong, yang siangnya berkata, malamnya bertinta akan sebuah syarikat pelaburan strategik bernama 1MDB, hikayat ini diriwayatkan kembali.

Disebutlah akan penyokong ini yang begitu hebat dalam menangkis sebarang tohmahan ke mana wang pinjaman RM42,000,000,000 telah pergi.

Menurut hikayat dari komen ke komen, apabila diasak dan didesak dengan timbunan soalan, diberikanlah jawapan bahawa ‘tunggulah laporan audit dan PAC dahulu’.

Disebutlah juga bahawa butiran perbelanjaan tidak boleh didedahkan kerana terikat dengan perjanjian kewangan.

Kendatipun begitu, sang Menteri Kewangan 2 serta Presiden 1MDB tidaklah perlu menunggu laporan siasatan atau disekat dengan sebarang perjanjian rahsia.

Arakian maka diadakan sesi soal jawab di TV dan ringkasan perbelanjaan disebarkan ke pelusuk media.

Amatlah kasihan melihat akan nasib penyokong-penyokong ini. Tuan sendiri telah ingkar hatta tidak menurut apa yang telah dikarut.

Adapun hikayat penyokong 1MDB ini terlalu jauh lanjutnya, tidak bernoktah setakat itu.

Kerana kebijaksanaan akal sang penyokong 1MDB, dikatakanlah akan perkara yang tidak terjangkau dek akal fikiran orang kebanyakan.

Setelah itu maka segera dikeluarkan cerita sesungguhnya rakyat jelata beruntung membayar bil elektrik murah. Dikisahkan bahawa bayaran elektrik hanya berjaya dikurangkan hasil pembelian IPP oleh 1MDB.

Syahadan apabila didengar oleh orang ramai akan hal-ehwal itu, bertambah hairanlah mereka dan lalu bertanya- tidakkah keuntungan pemilik-pemilik IPP sudah semakin berkurangan lamanya sebelum kewujudan 1MDB?

Tidakkah sebermula rundingan perjanjian IPP telah lama dilakukan sebelum tarikh 2012 yakni tahun 1MDB menjadi IPP?

Adapun dilondehkan pembohongan akan kisah elektrik ini, si penyokong 1MDB seraya berkata ‘1MDB ini baktinya pada masyarakat tidak kurang Lima Ratus juta ringgit’.

Gegak gempitalah sekalian negara terdengar hal tersebut. Apakah mungkin belanja menaja 2,300 jemaah haji, menukar tayar 67,740 teksi dan memberi 314 pelajar cermin mata adalah separuh belanja urus negeri Johor?

Hatta adanya syarikat gergasi seperti Maybank dan CIMB pun hanyalah melakukan kerja-kerja bakti tidak lebih RM22.7 juta dan RM11.1 juta setahun.

Wujudnya kisah kebaikan 1MDB ini, ianya hanya diketahui melalui hebahan sang penyokong. Tidak terlihat walau sekali pun akan kisah ini dihebah hebohkan oleh pihak pengurusan 1MDB. Tidak jua ia disebut oleh Tuan Presiden sendiri di dalam rumusan perbelanjaan.

Demikianlah betapa hebatnya sang penyokong 1MDB. Ilmunya melebihi pihak 1MDB sendiri. Cerdiknya tidak boleh diikut dan dungunya tidak boleh diajar.

Benarlah kata pujangga:

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Bisikkanlah kepada penyokong 1MDB akan petua orang tua-tua, bahawa kiambang adalah kiambang, biduk berlalu bertautlah ia.

Pesankanlah, jangan terlalu cepat menyokong kerana zaman berzaman, terlalu banyak musang yang berbulu ayam, yang banyak menyokong membawa rebah.

MatRodi

(https://matrodi.my/2015/06/08/hikayat-penyokong-1mdb/)

No comments

Powered by Blogger.